Selasa, 12 Februari 2019 | 10:19am
ANGGOTA JPPM banyak berkorban melakukan pelbagai tugas SAR dan lain-lain. - Foto Asyraf Hamzah

Kudrat sehebat lelaki

SHAH ALAM: Jurang gender bukan penghalang anggota wanita di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPPM) berbakti mengikut bidang masing-masing seiring kudrat pasukan lelaki seperti operasi khas mencari dan menyelamat (SAR) serta bertindak cepat mengekang sebarang kes kebakaran.

Bagi Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor, Wan Irlinda Wan Haron, 36, tidak harus dipandang remeh kerana bertanggungjawab memeriksa semua bangunan dalam keadaan baik bagi mengelakkan kes kebakaran.

Beliau yang juga ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 14 bulan hingga 14 tahun, menyifatkan tiada perbandingan membabitkan gender kerana kedua-dua pihak memikul amanah dan bekerja dalam pasukan sama.

Wan Irlinda yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam, berkata sokongan keluarga memberikan semangat untuk terus berkhidmat dalam pasukan dan menguruskan keluarga dengan seimbang.

“Di ibu pejabat ini kami dibahagikan kepada tujuh zon dengan Isnin hingga Khamis untuk pemeriksaan premis dan Jumaat untuk menyediakan laporan pemeriksaan.

“Meskipun sudah jarang mengikuti operasi, semua anggota bomba tidak terkecuali melengkapkan latihan kerana pasukan perlu sentiasa bersiap siaga dan mampu digerakkan dalam operasinya.


WAN Irlinda - bidang tugas anggota bomba wanita sehebat lelaki. - Foto Faiz Anuar

“Setiap calon yang mahu menyertai bomba perlu melepasi ujian angkat berat 46 kilogram (kg) bagi wanita dan 54 kg untuk lelaki, berat badan ideal antara 19 hingga 26 indeks jisim badan (BMI) dan beberapa kriteria lain,” katanya.

Mengenai bidang tugasnya, beliau bersama pasukannya berdepan cabaran apabila banyak pihak tidak mengambil berat memastikan keperluan keselamatan premis dipatuhi hingga ada antaranya lebih rela membayar kompaun berbanding mematuhi sistem keselamatan yang dikeluarkan JBPM.

“Sebenarnya hotel, gudang, kilang, pusat beli-belah, rumah ibadat, sekolah atau bangunan yang mempunyai keluasan melebihi 2000 meter persegi seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), pindaan 2018 mesti dalam keadaan balik dan memastikan keselamatan nyawa orang awam terjaga.

“Misalnya di Selangor terdapat lebih 2,000 premis, namun hanya 1,600 berdaftar, sekali gus direkodkan tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) atau sistem keselamatan yang diselia secara berkala.

“Keadaan ini dikhuatiri meninggikan risiko kebakaran antaranya disebabkan usia bangunan lama, sekali gus tiada sistem keselamatan kebakaran yang lengkap berserta Sijil FC,” katanya ketika ditemubual BH, baru-baru ini.

Wan Irlinda yang tujuh tahun berkhidmat berkata, tujuan keselamatan kebakaran menghapuskan bahaya, selain pemeriksaan premis dalam tempoh setahun itu bertujuan memastikan tempat terbabit selamat, sistem aktif dan pasif berada dalam keadaan baik dan berfungsi semasa kecemasan, mempunyai kelulusan arkitek selain aspek keselamatan lain.

“Antara pemeriksaan dilakukan adalah kita akan meneliti pelan arkitek, pelan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang merangkumi keluasan bangunan, laluan semasa kecemasan, sistem pancur air automatik gelung hos serta pili bomba.

Pemeriksaan itu juga memastikan premis itu mempunyai panel amaran kebakaran untuk mengawal punca punca kebakaran daripada terus merebak supaya apabila pasukan bomba tiba dapat memberikan bantuan dengan lebih cekap.

“Kita sentiasa memeriksa premis termasuk memeriksa laluan laluan kecemasan dan laluan kecemasan di lindungi dengan sistem aktif dan pasif yang digunakan di premis dalam keadaan baik dan tiada halangan serta selamat berikutan bangunan sentiasa mempunyai pekerja dan juga orang awam,” katanya.


Memeriksa semua bangunan dalam keadaan baik bagi mengelak kebakaran antara tugas Wan Irlinda. Foto Faiz Anuar

Bagaimanapun, selepas kerajaan menaikkan kompaun RM5,000 kepada RM50,000, kesedaran pemilik premis semakin meningkat sekali gus menyaksikan lebih ramai majikan mula menyediakan sistem keselamatan berikutan enggan membayar denda yang tinggi.

“Kenaikan kompaun itu susulan kepada pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (341) pertengahan tahun lalu (2018),” katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat mungkin sesetengah orang tugas utama pasukan bomba dan penyelamat adalah memadamkan kebakaran, namun sebenarnya bidang kerja mereka cukup jauh melencong daripada mata orang awam.

Bertugas pasukan itu, katanya, tidak kira udara, dasar air mahupun dalam tanah, belum termasuk operasi khas seperti menangkap reptilia berbahaya demi menyelamatkan nyawa, hidupan lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelbagai tragedi menyayat hati pasukan bomba seperti kematian Muhammad Adib, 24, selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh di tapak Kuil Sri Maha Mariamman dan enam anggota lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Puchong, tahun lalu, ia tidak mematahkan semangat terus berbakti kepada masyarakat.

144 dibaca
Berita Harian X