Sabtu, 9 Februari 2019 | 10:01am

Soda penaik rawat penyakit

Soda penaik (baking soda) lazimnya digunakan untuk dalam masakan khususnya membuat kuih-muih. Mengandungi serbuk soda, garam asid (aluminium krim tartar dan natrium sulfat) dan ditambah tepung jagung yang berfungsi menyerap sebarang lembapan.

Kepentingan bahan itu untuk melengkapkan proses memasak menjadikan kek atau biskut gebu dan lembut.

Bagaimanapun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahan pelbagai guna ini mempunyai manfaat untuk kesihatan melangkaui kegunaan biasa di dapur.

Berikut antara fungsi soda penaik untuk manfaat kesihatan:

1. Meredakan sakit sendi

Menurut kajian baru-baru ini, serbuk penaik dipercayai boleh membantu merawat gejala sakit sendi yang kebiasaannya berlaku kalangan orang sudah berusia apabila lutut mulai membengkak, kemerahan dan radang pada sendi.

Dengan menggunakan serbuk penaik kesakitan akan berkurangan sekali gus memberikan tindak balas badan yang lebih menenangkan.

Soda penaik ini bertindak sebagai bahan anti-radang bagi merangsang sel badan tidak begitu aktif. Ia berguna jika anda mempunyai penyakit autoimune seperti arthritis rheumatoid.

2. Meningkatkan kesihatan buah pinggang

Ginjal bahagian penting yang berfungsi memberikan tubuh yang sihat. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Hospital Diraja London Hospital, kira-kira 134 pesakit buah pinggang kronik dengan tahap bikarbonat yang rendah dalam darah diberikan rawatan serbuk penaik dalam dos biasa dan sekumpulan lagi hanya bergantung rawatan biasa.

Penyelidik mendapati pesakit yang mengambil minuman mengandungi serbuk penaik dilihat dapat menghentikan penurunan fungsi buah pinggang hingga dua pertiga. Secara amnya dalam kalangan pesakit buah pinggang, keupayaan fungsi ginjal akan menurun dari masa ke masa.

3. Mengurangkan kembung perut

Mengambil jus minum lemon dengan campuran serbuk penaik bukan saja baik untuk sistem penghadaman tetapi berupaya mengurangkan kembung perut. Ini kerana serbuk penaik bertindak sebagai antacid, berupaya menstabilkan gas dalam tubuh.

Ini melancarkan proses pencernaan dan dapat mengembalikan enzim dalam keadaan semula jadi. Bagaimanapun pengguna diingatkan berhati-hati supaya tidak menambah terlalu banyak serbuk penaik dalam minuman lemon.

Apa yang disarankan adalah memasukkan setengah sudu teh serbuk serbuk penaik dalam minuman air lemon.

4. Membantu pencernaan

Gangguan terhadap pencernaan menunjukkan pelbagai gejala termasuk sebu dalam perut sebelum atau sesudah makan, merasa loya, dan kembung perut.

Oleh kerana masalah pencernaan biasa dalam kalangan orang dewasa, serbuk penaik adalah penyelesaian yang mudah dan berpatutan.

Soda penaik berupaya meneutralkan asid dalam perut yang membuatkan pedih ulu hati dan senak. Selepas dua minggu, jika gejala penghadaman tidak pulih, segera mendapatkan rawatan dengan doktor.

5. Meningkatkan daya kekuatan senaman

Salah satu faktor yang mengehadkan kepada senaman yang berpanjangan adalah pembentukan asid dalam otot, memaksa kita untuk berehat terutama ketika bekerja.

Bagaimanapun, kajian mencadangkan pengambilan serbuk penaik ketika permulaan senaman supaya membina keasidan dalam tubuh sekali gus mempertingkatkan daya tahan senaman.

Kesimpulannya, penggunaan serbuk soda adalah penyelesaian mudah untuk kaedah rawatan secara semula jadi. Bagaimanapun hadkan penggunaan termasuk serbuk soda mengandungi kandungan tinggi sodium melebihi 1, 259 miligram dalam satu sudu teh.

Ini sekali gus menunjukkan pengambilan berlebihan adalah tidak selamat, berisiko meningkatkan tekanan darah dan membuatkan tubuh bengkak.

Ikuti saranan dengan hanya mengambil satu sudu atau kurang dengan sekurang-kurangan lapan gelas air kosong.

1016 dibaca
Berita Harian X