Jumaat, 8 Februari 2019 | 2:08pm
SUE bersama anaknya di Ipoh diselamatkan oleh NGO sebelum dihantar ke RSK, Silibin, Ipoh. Foto - Abdullah Yusof

Suami pemabuk dera isteri

IPOH: Akibat tidak tahan suami kerap melakukan penderaan fizikal dan emosi, seorang wanita nekad melarikan diri sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan di tempatkan di pusat perlindungan dikenali, Rumah Singgah Kita (RSK) di Silibin, dekat sini.

Hanya mahu dikenali sebagai Sue, 31, berkata suami seorang pemabuk, tidak bertanggungjawab, mengabaikan nafkah dan dua anaknya sejak berkahwin empat tahun lalu.

Katanya, hampir setiap hari pulang ke rumah dalam keadaan mabuk membuatkan mereka bergaduh, selain sering dimaki hamun dengan menggunakan bahasa kesat dan kotor.

“Saya tidak tahan dengan penderaan fizikal dan emosi yang keterlaluan dan terpaksa meninggalkan suami.

“Hari-hari saya bersabar dan ingat dia boleh berubah, tetapi semakin hari semakin teruk.

“Setiap bulan mesti ada satu masa yang dia akan mengamuk dengan teruk secara tiba-tiba dan sampai satu tahap pernah menggertak saya menggunakan pisau,” katanya ketika ditemui di rumah perlindungan berkenaan di sini.


RUMAH Singgah Kita, turut menempatkan kanak-kanak sebagai tempat perlindungan. - Foto Abdullah Yusof

Sue yang berasal dari Terengganu, sebelum ini menetap di rumah mentua di Sungai Siput, tetapi akibat perbuatan suami, tidak mempedulikan keluarga dan perbelanjaan dia dan dua anaknya ditanggung ibu mentua.

Katanya, tidak cukup dengan itu dia yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya terpaksa berhenti kerja kerana setiap bulan semua gaji terpaksa diserah kepada suaminya untuk membeli minuman keras

“Sudah lama saya bertahan dan macam-macam perkara pahit dilalui, demi anak saya nekad membawa diri, hingga dibantu sebuah NGO,” katanya.

Sue berkata, ketika melarikan diri, dia tiada arah tuju, tidak ada wang di tangan dan berada dalam keadaan buntu, namun dia bersyukur dipertemukan dengan seorang individu yang akhirnya membantunya mendapatkan perlindungan.

Individu terbabit membawanya ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan seterusnya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat laporan sebelum akhirnya ditempatkan di RSK.

Katanya, buat sementara waktu, dia bersama anak berteduh di bawah RSK dan akan mencari pekerjaan bagi memastikan masa depan anaknya terjamin.

“Sudah seminggu di sini dan saya berasa lebih tenang, selepas ini saya mahu bekerja untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan dapat membesarkan anak dengan lebih baik,” katanya.


SUE lalui pelbagai kepahitan sehingga nekad melarikan diri berikutan kerap didera suami. - Foto Abdullah Yusof

RSK juga turut menempatkan kira-kira 30 penghuni lain termasuk dua anak kecil berusia tujuh tahun, Nur Qaseh dan Nur Aleesya yang ditempatkan di rumah perlindungan itu kerana kedua-dua ibu bapa mereka adalah penagih dadah.

Nur Qaseh yang ditemui tanpa segan silu menceritakan perihal bapanya yang sering kali pulang lewat malam dan ada kalanya langsung tidak pulang kerana menagih dadah.

“Abah selalu balik lewat malam, kadang-kadang Subuh baru balik atau langsung tak balik tidur di rumah kawannya.

“Saya dan adik jalan-jalan ke rumah kawan, bantu buat kerja dan mereka beri kami makanan,” katanya.

Nur Aleesya pula berkata, dia tidak dapat melupakan saat ibu dan ayahnya di bawa pergi oleh pihak polis.

“Kawan ayah sempat lari, saya nampak polis bawa mak dengan ayah masuk trak polis,” katanya.

Kedua-duanya mereka turut meluahkan hasrat mahu bersekolah kerana hendak belajar dan memiliki ramai kawan.

570 dibaca
Berita Harian X