Khamis, 7 Februari 2019 | 10:31am
RUMAH Perlindungan Nur Hati, di Ampang, Selangor yang menjadi pusat transit sementara remaja yang terlanjur - foto Aziah Azme

'Saya hamil anak luar nikah'

AMPANG: Andai masa boleh diputar Hawa (bukan nama sebenar), 20, yang kini menjalani kehidupan di Rumah Perlindungan Nur Hati, dekat sini, mahu mengembalikan maruah yang sudah tergadai akibat mengandung anak luar nikah.

Kerana terlalu percaya janji manis dan mengikut ‘darah muda’ membuatkan pelajar Tahun Dua, sebuah universiti swasta di ibu kota menyesal tidak terkata, selain kini menunggu saat kelahiran bayi hasil keterlanjuran dengan bekas kekasih.

Hawa dijangka bakal melahirkan bayi pada bulan ini, berkata apa yang berlaku bukan salah keluarga, sebaliknya atas kesilapannya yang terlalu mahukan kehidupan bebas.

“Kisah berlaku pada tahun lalu. Sehari sebelum pulang ke kampung untuk menyambut hari raya, saya menginap di sebuah hotel di ibu kota ditemani teman lelaki yang dikenali 10 bulan ketika aktif bermain bola tampar.

“Pelbagai janji manis ditaburkan malah, dia mengatakan akan mengahwini saya, membuatkan saya percaya. Dua bulan kemudian apabila memaklumkan saya mengandung dia langsung tidak mengaku dan berubah hati, malah bertemu perempuan lain di tempat belajarnya.

“Hancur hati saya hanya Tuhan yang tahu. Rasa seperti tidak lagi mahu hidup kerana sudah mencalarkan maruah keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Hawa antara puluhan remaja yang menginap di Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, yang didirikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan sebagai rumah perlindungan orang tua, remaja bermasalah, terlanjur dan anak yatim, selain menerima isteri yang didera.

Sebelum ini, BH Online melaporkan pusat berkenaan dikatakan menerima lebih 20 panggilan telefon setiap bulan bagi permohonan baharu kemasukan remaja terlanjur sementara menunggu saat kelahiran.

Pusat perlindungan menyediakan ruang transit sementara untuk remaja terlanjur dan setakat ini, rumah kebajikan itu berjaya menyelamatkan lebih 300 wanita terlanjur dengan penjagaan rapi sehingga mereka selamat bersalin.


ANTARA penghuni Rumah Perlindungan Nur Hati yang menempatkan kanak-kanak. foto Nurul Shafina Jemenon

Hawa berkata, naluri ibu seakan mengetahui apa yang berlaku terhadapnya, namun bersyukur dan bernasib baik kerana diterima keluarga atas ketentuan Ilahi dan menempatkannya di rumah perlindungan itu sementara menunggu kelahiran.

“Tanpa sokongan ibu, saya tidak mampu berdiri sendiri. Mungkin saya akan melakukan tindakan tidak sepatutnya terhadap bayi ini.

“Sokongan moral daripada ibu, tenaga pengajar agama dan penghuni lain di sini membuatkan saya terus positif. Saya nekad menjaga anak yang akan dilahirkan ini dengan baik dan kembali meneruskan pelajaran selepas semua selesai,” katanya.

Seorang lagi penghuni di pusat perlindungan berkenaan, Hanis (bukan nama sebenar), 28, menganggap dirinya tidak berguna apabila sudah menconteng arang ke muka mereka apabila mengandung anak luar nikah.

“Sebelum ini, saya alpa dan liar. Langsung tidak solat, apatah lagi mengenal huruf dan membaca al-Quran. Saya terlanjur dengan teman lelaki sehingga hamil anak luar nikah.

“Kejadian itu berlaku tiga tahun lalu. Saya sedih kerana teman lelaki tidak mahu mengaku hasil hubungan terlarang itu.

“Berikutan kejadian itu, keluarga menghantar saya ke rumah ini. Saya menghabiskan masa di sini. Kini anak saya ini sudah berusia dua tahun setengah,” katanya.

Hanis berkata, dia mahu tenang di sini kerana dapat mengikut pelbagai aktiviti termasuk belajar al-Quran dan mengikuti pelbagai ceramah agama.

“Saya sudah konsisten mengerjakan solat lima waktu, malah sudah boleh mengaji.

“Kini saya juga boleh memasak dan mengemas rumah kerana ia adalah aktiviti wajib yang perlu dilakukan setiap hari di sini.

“Walaupun ibu dan ayah sudah lama meninggal dunia, jauh di sudut hati ingin mengembalikan semula kepercayaan abang dan kakak, yang saya sudah sudah berubah sepenuhnya. Tetapi saya masih lagi malu dan bimbang akan menyusahkan mereka,” katanya.

Mengimbas detik hitam, Hanis yang pernah melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu kota sebelum ini juga pernah mengandung selepas diperkosa oleh kenalan baharu, kira-kira tujuh tahun lalu.

Ketika kejadian itu, keluarga dapat menerima apa yang berlaku ke atasnya. Bagaimanapun, selepas empat tahun kemudian dia pula disahkan mengandung anak luar nikah akibat tersasar dengan cabaran kehidupan membuatkan keluarga nekad m menghantar Hanis ke pusat berkenaan.

“Anak pertama saya dihantar ke sebuah sekolah tahfiz di ibu kota. Saya mahu dia mendapatkan pendidikan yang baik.

“Ini kesalahan saya dan mahu menjadi insan lebih positif dan membuang jauh episod hitam itu. Saya bersyukur dengan adanya pelbagai aktiviti keagamaan dan kekeluargaan sebagai program wajib harian di sini mengubah diri saya 360 darjah.

“Di sini ada lebih 50 penghuni lain yang mempunyai pelbagai kisah hitam dan sedih. Hubungan kami menjadi rapat dan rasa selesa dengan kehidupan sekarang di rumah ini. "Kisah hitam menjadikan kami semakin tabah. Malah, kini sudah mampu menguruskan diri termasuk solat dan mengaji.," katanya.

8014 dibaca
Berita Harian X