Selasa, 5 Februari 2019 | 10:02am
Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

300 wanita terlanjur diselamatkan

KUALA LUMPUR: Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati menerima lebih 20 panggilan telefon setiap bulan bagi permohonan baharu kemasukan remaja terlanjur sementara menunggu saat kelahiran.

Presidennya, Mohamad Zaid Mohamad Shah, berkata pihaknya menerima panggilan terbanyak pada Januari dan pertengahan tahun antara Jun hingga Ogos setiap tahun.

Katanya, pusat perlindungan itu menyediakan ruang transit sementara untuk remaja terlanjur dan setakat ini, rumah kebajikan itu berjaya menyelamatkan lebih 300 wanita terlanjur dengan penjagaan rapi sehingga mereka selamat bersalin.


Mohamad Zaid Mohamad Shah. - NSTP/Aziah Azmee

“Lazimnya, dua hari sekali kita menerima panggilan telefon daripada remaja bermasalah ini. Walaupun jumlahnya tidak besar tetapi angka itu amat membimbangkan dan ia perlu diberi perhatian semua pihak kerana keruntuhan sosial membabitkan generasi muda.

“Apa yang mengejutkan, kebanyakan remaja yang memohon untuk transit sementara sehingga menunggu kelahiran adalah dalam kalangan pelajar cemerlang di pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

“Tidak dinafikan, sejak transit ini dibuka, golongan pelajar adalah paling ramai. Berdasarkan data yang dikumpul sejak transit ini dibuka, mereka adalah penyumbang paling ramai kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengikut pemerhatian, permohonan untuk transit pada musim itu berikutan ramai remaja berani mengadakan hubungan seks bersama kekasih, terutama ketika sambutan malam Kemerdekaan dan sambutan ambang tahun baharu.

Mohamad Zaid berkata, apabila sudah mengandung, ada yang dihantar ibu bapa kerana malu atas keterlanjuran anak mereka, tetapi tidak kurang juga yang transit tanpa pengetahuan keluarga.

“Pihak kami tidak boleh menerima terlalu ramai kemasukan pada satu masa kerana ruang yang terhad. Hanya enam orang ditempatkan pada satu masa. Namun, selalunya pusat transit ini penuh antara Februari hingga Mac serta September hingga Oktober.

“Kebanyakan mereka yang datang pada bulan keenam kehamilan atau menunggu kira-kira antara tiga atau empat bulan sebelum kelahiran. Bagaimanapun mereka hanya menetap di sini selama sebulan sahaja selepas melahirkan anak,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berada di rumah perlindungan yang terletak di Ampang, Selangor itu ditubuhkan, beberapa tahun lalu, semua mempunyai tugas masing-masing termasuk menjadi tenaga pengajar kepada kanak-kanak yang juga anak tidak sah taraf di sini.

“Tidak duduk sahaja, mereka akan diberi jadual untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik serta kemahiran menulis dan mewarna.

Selain itu, bagi mengisi ruang kekosongan, banyak aktiviti keagamaan seperti ceramah serta usrah dijalankan bagi mengembalikan semula keyakinan diri mereka,” katanya.

“Rumah transit ini adalah pendekatan terbaik bagi membantu mengurangkan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Selepas mendapat penjagaan dengan betul, menerusi rumah transit ini juga memudahkan cara untuk membuat dokumentasi untuk anak yang dilahirkan. Apabila adanya sijil kelahiran, ia akan memudahkan dan melancarkan perjalanan masa depan mereka.

“Bagaimanapun sekiranya anak itu dibuang, sukar bagi anak itu meneruskan kehidupan, terutama mencari waris keluarga, malah berdepan dengan pelbagai kesukaran terutama membabitkan persekolahan,” katanya.

Selain menyediakan ruang transit untuk enam remaja terlanjur untuk satu masa, rumah perlindungan itu turut menempatkan seramai hampir 50 lagi penghuni lain termasuk ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak berstatus anak tidak sah taraf.

Mohamad Zaid berkata, kesemua penghuni kanak-kanak yang memasuki usia tujuh tahun akan dihantar ke pusat pengajian tahfiz swasta sebagai persediaan mental, pada masa depan.

Beliau berkata, bagi menguruskan semua penghuni, rumah perlindungan berkenaan memerlukan perbelanjaan sehingga RM2,500 sebulan termasuk persekolahan anak ini.

1243 dibaca
Berita Harian X