Khamis, 31 Januari 2019 | 11:10am
RAKYAT palestin berdepan penjajahan Israel selama 70 tahun. - foto hiasan

'Saya mahu mati di tanah air sendiri'

AMPANG: “Biarpun sekadar mati dalam tidur, asalkan dapat mati di tanah air sendiri, iaitu Palestin,” luah Abeer Alhossary.

Ibu kepada empat anak berusia 10 sehingga 13 tahun ini sebak seketika ketika ditanya mengapa masih berharap untuk pulang ke tanah airnya selepas menamatkan pengajian Bahasa Inggeris peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM), kira kira dua tahun lagi.

Abeer, 38, berada di negara ini sejak dua tahun lalu sama seperti warga Palestin lain, beliau tidak sesekali meninggalkan negara itu walaupun setiap hari mereka berdepan pelbagai bentuk seksaan dan sekatan daripada Yahudi.

“Saya akan pulang sebaik menamatkan pengajian untuk menabur bakti pada anak bangsa Palestin dengan mengajar ilmu yang saya pelajari di sini.

“Suami saya juga sudah berkorban dengan membenarkan saya ke Malaysia bersama anak bagi menimba ilmu demi membela bangsa kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pada majlis pelancaran kempen #WeAreAllMary anjuran Malaysia Women's Coalition for Al-Quds and Palestin (MWCQP), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi MWCQP, Dr Fauziah Mohd Hassan; Duta Palestin, Walid Abu Ali; isteri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datin Seri Shamsidar Tahrin dan selebriti, Datin Diana Danielle Danny Beeson.

Kempen berkenaan bertujuan menunjukkan sokongan berterusan kepada wanita Al-Quds yang berdepan penjajahan Israel selama 70 tahun.

Yang nyata, banyak cabaran dilalui Abeer sebelum tiba di negara ini pada Julai tahun lalu.

Beliau terpaksa menunggu sehingga setahun untuk keluar dari Gaza kerana pintu sempadan di Mesir hanya dibuka tiga bulan sekali, iaitu hanya untuk tiga hari sahaja.

Mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk sampai ke sempadan pada waktu pintu dibuka.

“Mereka yang ingin meninggalkan Gaza perlu mempunyai bukti seperti visa sambung belajar, bekerja atau mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan berbuat demikian.


ABEER Alhossary berkongsi pengalaman mengenai penderitaan ditindas rejim penjajah ketika program #WeAreAllmary MWCQP. foto Mahzir Mat Isa

“Kerenah Yahudi itu menyebabkan saya terlewat mendaftar dan tertinggal dua semester tetapi saya bersyukur kerana pihak universiti memahami keadaan saya dan memastikan saya dapat meneruskan pengajian,” katanya.

Sementara itu, Dr Fauziah, berkata #WeAreAllMary adalah kempen peringkat global, disertai 30 negara termasuk Malaysia.

Katanya, wanita Palestin sering berdepan keganasan, ancaman, ugutan, sekatan perjalanan dan diskriminasi akibat polisi Israel yang bertentangan undang-undang kemanusiaan serta hak asasi.

“Antara objektif kempen adalah memberikan pendidikan kepada wanita bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat berbakti kepada negara mereka semula,” katanya.

Antara projek yang bakal dijalankan adalah menaja pendidikan pelajar wanita Palestin pada peringkat sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Sekurang-kurangnya lima wanita disasarkan setiap negara dan setiap tahun untuk menyambung pelajaran mereka dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tempatan.

Tajaan merangkumi keseluruhan tempoh pengajian berjalan.

“Selain itu, kami menyeru pihak berkuasa antarabangsa dan berkenaan supaya mengambil tindakan segera ke atas Israel bagi menghentikan keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak seperti serbuan pada waktu malam.

“Sekatan perlu ditamatkan bagi menjamin akses penuh warganya kepada keperluan asas seperti makanan, air bersih, sistem pembentungan dan khidmat kesihatan," katanya.

Kempen itu juga mahukan jaminan ke atas keselamatan dan akses penuh bagi petugas bantuan kemanusiaan termasuk membenarkan wanita mengandung, sakit atau cedera mendapatkan rawatan.

Selain itu, tindakan merobohkan rumah rakyat Palestin dan mengiktiraf hak ke atas harta mereka serta menghentikan aktiviti pembinaan penempatan haram seperti ditegaskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016).

Sementara itu, Diana berkata beliau cukup terkesan dengan kisah wanita Palestin yang tetap berusaha menambah ilmu biarpun dalam serba kekurangan.

“Kisah penderitaan mereka dan kesanggupan untuk keluar meninggalkan keluarga demi pendidikan cukup menyentuh hati saya.

“Saya terasa amat kerdil apabila berdiri sebaris dengan wanita tabah ini kerana tidak berdaya membantu melainkan dengan sokongan serta doa untuk mereka,” katanya.

Beliau mengakui ia memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian peringkat ijazah dalam bidang perniagaan.

Info

Kempen #WeAreAllMary

* Disertai 30 negara

* Antaranya Palestin, Malaysia, Indonesia, Brazil, Jerman, Kanada United Kingdom, Russia dan Switzerland

* Kempen bertujuan memberi sokongan berterusan kepada wanita Al-Quds yang berdepan penjajahan Israel selama 70 tahun

407 dibaca
Berita Harian X