Rabu, 30 Januari 2019 | 9:46am
Usahawan pakaian musim sejuk, Eri Asrar (tengah) melayan pelanggan, Najmuddin Azik (kiri) dan Mohd Hafiz Hashim di kedainya di Kampung Pasir Baru, Puchong. - Foto Amirudin Sahib

Usahawan pakaian musim sejuk teruja hulur bantuan kemanusiaan

PUCHONG: Kisah penderitaan mangsa pelarian di Syria dan Lubnan begitu menyentuh lubuk hati usahawan pakaian musim sejuk, Eri Asrar pada setiap kali menatap perkembangan berkenaan menerusi media massa.

Bagi Eri, dirinya terpanggil untuk menghulurkan bantuan pakaian musim sejuk kerana tidak sanggup melihat mangsa pelarian yang meninggal dunia akibat kesejukan terutama kanak-kanak.

Beliau yang mula menghantar bantuan itu secara sedikit demi sedikit sejak tiga tahun lalu sentiasa menjadikan aspek kemanusiaan mengatasi segala-galanya sambil tidak mengharapkan sebarang balasan.

“Ilham untuk membantu mangsa pelarian yang kesejukan ini terdetik apabila saya melihat lebihan pakaian musim sejuk yang dihantar dari luar negara dengan kontena ke kedai saya.

“Banyak lebihan pakaian, mungkin bagi sesetengah orang mereka buang saja dan bakar tapi saya fikir saya tidak suka membazir. Lagipun pakaian ini dibeli pada harga yang agak mahal.

“Mulai saat itu, saya bulatkan tekad untuk menghantar bantuan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada ke Lubnan, Syria dan tidak ketinggalan untuk pelarian Rohingya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.


Usahawan Eri Asrar dan isteri, Izzati Maisarah Mohammad mengumpul sumbangan di kedai menjual pakaian musim sejuk di Kampung Pasir Baru, Puchong untuk dihantar ke kem pelarian Syria dan Lubnan. - Foto Amirudin Sahib

Eri yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan hampir 22 tahun berkata, biarpun dirinya belum berpeluang untuk menyerahkan sendiri pakaian musim sejuk kepada mangsa pelarian tetapi tetap merasakan kepuasan yang sukar digambarkan.

“Saya jadi seronok apabila dapat menghantar bantuan dan makin seronok jika jumlah pakaian itu bertambah banyak pada setiap kali penghantaran dan ini sebenarnya yang mencetuskan rasa puas hati.

“Saya buat semua ini kerana keprihatinan dan keikhlasan. Baju ini mungkin tak cantik pada kita tapi untuk mangsa yang memerlukan sangat sesuai,” katanya.

Eri berkata, beliau memberikan sokongan penuh apabila mana-mana NGO menghubunginya untuk mendapatkan tajaan pakaian musim sejuk.

“Saya ikhlas bagi sumbangan walaupun nama saya tidak disebut, janji saya ikhlas. Saya juga tidak tanya ke mana pakaian ini dihantar, cuma mereka kata akan dibawa ke pusat pelarian.

“Apabila hantar untuk misi kemanusiaan, saya tak buat kerja sambil lewa. Kalau ada pakaian yang rosak saya tak bagi...saya bagi yang betul-betul boleh pakai.

“Kalau koyak dan butang tak ada, saya tak hantar. Saya akan pastikan semua dalam keadaan baik dan selagi kontena tidak penuh saya akan terus isi dengan pakaian,” katanya.


Kanak-kanak pelarian Rohingya menerima bantuan pakaian musim sejuk yang diserahkan sempena misi kemanusiaan, tahun lalu. - Foto ihsan Misi Kemanusiaan Rohingya

Eri juga biasa menerima tempahan pakaian sejuk daripada pihak penyumbang untuk dihantar bagi tujuan misi kemanusiaan.

Biarpun beliau tidak menganggotai mana-mana NGO, namun itu tidak mematahkan semangat untuk terus menghantar bantuan.

“Apa yang saya buat ini adalah duit pelanggan saya. Kalau ada pihak penyumbang bagi duit, saya siapkan pakaian dan hantar. Ada NGO beberapa kali minta bantuan dan kalau ada ustaz buat persendirian untuk misi kemanusiaan, saya bagi saja,” katanya.

Katanya, jumlah pakaian yang dihantar ke pusat pelarian biasanya membabitkan kira-kira 400 kotak untuk satu kontena.

Eri turut bercita-cita untuk membuka sebuah pusat sehenti untuk membolehkan orang ramai menyumbang dan bersedekah pakaian termasuk kegunaan pada musim sejuk.

“Saya juga berhasrat untuk menganjurkan acara berkonsepkan misi kemanusiaan dan membabitkan mana-mana NGO yang berminat,” katanya.

223 dibaca
Berita Harian X