Rabu, 16 Januari 2019 | 10:37am
PADZILAH (tiga dari kiri) bersama model ketika majlis Pelancaran DahSedekat.com sempena ulang tahun ke-10 Siti Khadijah di Putrajaya. - foto Mohd Fadli Hamzah

Sedekad penuh berliku perjuangan jenama SK

PUTRAJAYA: Perjalanan sedekad perniagaan telekung premium jenama Siti Khadijah (SK) berhadapan pelbagai cabaran dalam memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman, berkata penerokaan penuh liku itu mengajar beliau terus gigih menawarkan yang terbaik dan berkualiti.

Katanya, banyak yang sudah dilalui dan berbangga apabila bukan saja dapat membina jenama ini ke peringkat antarabangsa dan memartabatkan penggunaan telekung, malah membantu ramai wanita seperti suri rumah mendapat pekerjaan.

Malah, SK membantu wanita yang pada asalnya tiada pekerjaan, mengalami masalah kewangan dan tiada kemahiran menjadi golongan itu mengubah hidup mereka selepas terbabit sebagai tukang jahit.

Kini jenama ini mempunyai 30 butik di negara ini dengan jumlah kakitangan wanita seramai 265 orang, iaitu 95 peratus pekerja bahagian jahitan adalah wanita dan mereka ini dulunya adalah suri rumah.

“SK bukan saja mengeluarkan telekung untuk dijual di pasaran tetapi turut menyumbang kembali kepada masyarakat dalam industri pekerjaan,” katanya.

“Antara yang kekal di ingatan saya membantu wanita India yang mengalami kesusahan kerana suami menghidap strok untuk bekerja dengan SK. Dia bekerja dengan kami sehingga hari ini,” katanya pada majlis pelancaran Dahsedekad.com sempena ulang tahun Ke-10 jenama itu, di sini, semalam.


MOHAMMAD Munzir dan Padzilah melancarkan logo baharu sempena ulang tahun ke-10 Siti Khadijah di Putrajaya. - foto Mohd Fadli Hamzah

Pada majlis itu, SK turut melancarkan lima koleksi telekung baharunya yang bakal berada di pasaran April ini.

Bagi memperkukuhkan jenama Siti Khadijah (SK) di pasaran tempatan dan antarabangsa, syarikat telekung premium itu melabur RM3.5 juta di negara ini termasuk Indonesia sepanjang tahun ini.

Mulai tahun ini SK menambahkan lagi 12 rangkaian butik di Indonesia dan lima di Malaysia.

Pengarah Pemasarannya, Mohammad Munzir Aminuddin, berkata pelaburan itu bagi memastikan SK berada di landasan tepat memperkukuhkan syarikat sebagai jenama telekung premium pertama di negara ini.

“Tahun ini antara strategi perniagaan kita adalah menambah rangkaian butik kepada 40 di seluruh negeri.

“Berikutan pasaran luas di Indonesia, SK melabur di lima butik di negara itu," katanya.

Muhammad Munzir berkata, bagi tahun ini, jaringan perniagaan diperluaskan di negara luar seperti Singapura, Brunei dan negara Asia Barat, Makkah.

“Sokongan peminat telekung ini mendorong SK mengintai pasaran luar negara dan bertapak di sana. Kami yakin permintaan memberangsangkan tahun ini memandangkan setiap hari, kita perlu mengeluarkan 1,800 sehingga 2,000 helai telekung,” katanya.


MODEL memperagakan koleksi baharu telekung yang akan berada di pasaran mulai April, sempena ulang tahun ke-10 SK.

Beliau berkata, fokus SK bukan saja kepada telekung tetapi lebih serius meneroka pakaian Muslim, jubah, tudung dan produk penjagaan peribadi.

“Kerjasama juga akan dijalankan dengan pengeluar industri pakaian luar negara sebagai suntikan jaringan perniagaan." SK juga akan menjalankan penjenamaan semula yang mana logo kita menggunakan logo SK supaya menjadi jenama gaya hidup Islamik yang lebih relevan dalam industri ini," katanya.

Antara aktiviti dijalankan sepanjang kempen Dahsedekad.com adalah pemberian 1000 helai telekung SK menerusi pertandingan di laman mini sesawangnya dan Malam Sedekad SK yang akan diadakan, pada 5 April ini di Marriot Putrajaya sempena ulang tahun itu.

Berita Harian X