Ahad, 13 Januari 2019 | 10:00am
Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak. - Arkib NSTP

Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan

KUALA LUMPUR: Persepsi wanita kurang cekap memandu berbanding lelaki kurang tepat, sebaliknya golongan itu lebih mematuhi undang-undang jalan raya, peka dan bersistematik dalam merancang perjalanan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata tabiat pemanduan bukan pengukur bagi menentukan kecekapan antara lelaki dan wanita yang mempunyai kelebihan serta kelemahan tertentu berkaitannya.

Katanya, selain jantina, sikap individu juga menjadi pendorong kepada masalah kemalangan dan kematian pengguna jalan raya.

“Berdasarkan kajian MIROS mendapati bilangan pemandu lelaki yang terbabit dalam nahas jalan raya tujuh kali lebih tinggi berbanding wanita.

“Statistik pada 2017, umpamanya menunjukkan jumlah kematian pemandu lelaki adalah

seramai 5,885 orang berbanding pemandu wanita hanya 854 orang.

“Angka berkenaan jelas mempamerkan corak pemandu lelaki terbukti lebih berbahaya dan kurang berhemah jika dibandingkan dengan wanita.

Oleh itu, stigma mengenai kegagalan wanita untuk menguasai kecekapan pemanduan dan tidak berhati-hati di jalan raya sebenarnya adalah tidak benar,” katanya ditemui pada majlis advokasi keselamatan jalan raya, di sini, baru-baru ini.

Siti Zaharah berkata, wanita mempunyai kekurangan dalam keupayaan spatial (ruang dan jarak) berbanding lelaki terutama ketika memandu di jalan raya.

“Masalah anggaran jarak mengakibatkan pemandu wanita akan bertindak terlalu berhati-hati dan menyukarkan kenderaan lain dan dianggap mengundang risiko kemalangan.

“Ia termasuk sewaktu mereka memandu untuk melintas persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat, memotong dan ketika meletakkan kenderaan.

“Tindakan wanita yang banyak berfikir menghilangkan fokus pemanduan membuatkan mereka tidak konsisten dan ada kala lambat membuat keputusan untuk mengubah arah,” katanya.

Siti Zaharah berkata, wanita juga suka melakukan pelbagai tugas sepanjang pemanduan juga menjadi faktor hilang daya tumpuan.

“Dalam satu masa, wanita boleh memandu sambil lakukan aktiviti lain termasuk bersembang, menggunakan telefon dan berswafoto dalam kenderaan boleh mengundang kepada kecuaian pemanduan.

“Sungguhpun nisbah kes kemalangan antara pemandu lelaki dan wanita ada besar namun angka kemalangan membabitkan pengguna jalan raya wanita meningkat,” katanya.

Siti Zaharah berkata, ciri pemanduan lelaki dan wanita berbeza lantas mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

Katanya, pemandu lelaki pula mempunyai kemahiran dalam pergerakan tubuh badan (psikomotor) yang lebih tinggi berbanding wanita.

“Dari aspek kecekapan pemanduan, pemandu lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita.

“Kelebihan dimiliki ini menjadikan lelaki berkeyakinan dan mengambil sikap tidak endah sehinggakan kebanyakannya mengambil risiko dengan memandu laju serta dengan secara berbahaya,” katanya.

Selain kecekapan pemanduan wanita juga semakin cekap tentang masalah pengendalian kenderaan.

Katanya, dalam usaha membina komuniti mengutamakan keselamatan kenderaan pelbagai program giat diperkenalkan terutama dalam kalangan wanita.

“Banyak cara boleh untuk meningkatkan kualiti pemandu wanita termasuk penganjuran program keselamatan jalan raya daripada pelbagai organisasi.

“Wanita perlu diberikan pendedahan mengenai asas menyelenggara kereta terutama membabitkan perkara kecil seperti kerosakan dan cara meletakkan kon keselamatan apabila kereta rosak.

“Pendedahan seperti ini mampu menjadikan mereka pengguna jalan raya yang lebih bagus dan mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

725 dibaca
Berita Harian X