Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:34am

Tugas lasak, periksa mayat bukan halangan

SHAH ALAM: Meskipun bidang kerja lasak dan melihat mayat dalam pelbagai rupa akibat kebakaran atau kemalangan jiwa, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nor Najila Budin, tetap jitu mencintai kerjaya digalas dengan penuh berdedikasi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor ini berkata, bidang itu bukan tugas mudah kerana perlu menyiasat, mendapatkan bukti dan fakta kukuh terutama kejadian kemalangan jiwa dan kerugian akibat kebakaran besar.

Nor Najila, 40, berkata berhadapan dengan mayat mangsa kebakaran perlu ada caranya untuk mengelak terkejut atau mendapat badi mayat.

Lazim apa yang beliau lakukan adalah tidak merenung terus mayat bagi mengelakkan sebarang tidak diingini.

“Ini antara yang dipraktikkan kerana ramai mengingatkan saya mengenai badi mayat. Saya dapat kendalikan dengan baik. Tugas di bahagian forensik memerlukan memeriksa keadaan mayat,” katanya kepada BH.

Nor Najila, berkata walaupun hanya kira-kira 10 peratus pembabitan wanita dalam kerjaya bomba, beliau sudah membuktikan 21 tahun pengalaman termasuk enam tahun ditugaskan di Bahagian Penyiasatan Kebakaran, penuh cabaran.

“Saya tidak pernah merasakan jurang jantina kerana masing-masing terlatih, berkepakaran dan bekerja dalam satu pasukan bagi mengetahui punca kebakaran dan kematian supaya laporan lengkap disediakan.

“Tugas anggota bomba bukan hanya memadamkan kebakaran tetapi merangkumi pelbagai aspek yang tidak dijangkakan termasuk membuat penyiasatan bagi memperoleh bukti dan punca kejadian hingga menangani bahan kimia berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, pasukan forensik kebakaran JBPM adalah antara pasukan terbaik di rantau ASEAN yang memiliki kepakaran dan aset lengkap dalam menentukan punca kebakaran.

“Ini tahun keenam saya dalam bidang forensik iaitu bidang yang bukan sahaja memerlukan ketelitian, kepakaran tetapi membabitkan penyiasatan berasaskan kaedah saintifik, fakta secara sistematik dan berkesan,” katanya.

Beliau yang perlu bekerja mengikut shif, berkata tempoh siasatan forensik itu bergantung kepada kesukaran kes.

“Kebiasaan penyiasatan kebakaran dilakukan pegawai di bahagian Penyiasatan Kebakaran mengambil tempoh sehingga 14 hari atau kurang bergantung kepada sesuatu kes yang berlaku.

"Tempoh siasatan boleh lebih panjang bergantung kepada tahap kesukaran sesuatu kes,” katanya.

Beliau yang juga antara Penguji Ujian Fizikal dan Pancaindera bagi kemasukan anggota baru dalam JBPM.

Ketika ditanyakan pengalaman paling rumit ditempuhi sepanjang berkhidmat, beliau menyatakan pengalaman ketika dalam Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) adalah ketika menangani kebakaran bahan radioaktif, Cobalt 60, pada 2014 membabitkan kilang di Rawang.

Katanya, pengalaman yang tidak akan dilupakan kes berkenaan adalah kali pertama berlaku di dunia hinggakan memerlukan pakar bahan radioaktif berkenaan dari United Kingdom bekerjasama menyelesaikannya.

Nor Najila berkata, pasukan melakukan penyiasatan hampir dua bulan di lokasi.

“Pancaran radioaktif mengeluarkan haba mengakibatkan dinding konkrit runtuh dan sarung tangan getah yang berada di dalam kotak untuk tujuan pensterilan dalam bilik berkenaan terbakar,” katanya sambil memberitahu pancaran bahan radioaktif Cobalt 60 boleh membunuh dalam jarak tertentu jika tidak ditangani dengan betul.

Bercerita mengenai insiden itu, pasukan HAZMAT terpaksa menunggu sehingga bahan terbabit tidak aktif sepenuhnya sebelum dibenarkan memasuki bilik berkenaan bagi mengelak terkena pancaran bahan berkenaan yang boleh membawa maut.

“Masyarakat perlu tahu mengenai punca kebakaran dan memastikan ‘zero fire’ di dalam premis masing-masing. Ini memerlukan mereka memahami mengenai keselamatan kebakaran kerana dalam Bahasa Melayu ‘safety dan security’ ada sama iaitu ‘keselamatan dan keselamatan’ sebenarnya perkara itu bertentangan di mana apabila kita menitikberatkan ‘security’ bererti ‘safety’ diabaikan.

“Mereka perlu bijak membahagikan hal keselamatan supaya jika berlaku kecemasan atau kebakaran boleh menanganinya dengan teratur dan tidak panik mengikut saranan diberikan oleh JBPM,” katanya.

Jika berlaku kebakaran atau kecemasan ‘Golden Hours’ iaitu lima minit pertama masyarakat perlu membuat penilaian dan tindakan bersesuaian manakala ketibaan pasukan penyelamat termasuk kebakaran, letupan dan kebocoran gas, pertolongan cemas, memberhentikan pendarahan, pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan lain-lain.

Beliau berkata, kebanyakan pengalaman siasatan kebakaran, api di rumah kediaman bermula daripada kecuaian tidak menutup suis peralatan elektrik selepas digunakan atau membiarkan perkakasan elektrik dalam keadaan terbuka apabila meninggalkan rumah.

Misalnya, mengecas power bank ataupun telefon tanpa pengawasan boleh menyebabkan berlakunya kebakaran. Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 tidak mewajibkan rumah kediaman mempunyai peralatan keselamatan kebakaran yang boleh mengesan dan memadamkan kebakaran secara automatik.

Oleh itu, masyarakat perlu menyediakan minimum satu unit alat pemadam api di premis kediaman masing-masing dan perlu tahu menggunakannya apabila berlaku kebakaran.

“Dari pengamatan saya, masyarakat kita tidak tahu menggunakan alat pemadam api dan tidak prihatin mengenai ‘Zero Fire’ berbanding dengan negara maju,” katanya.

s

446 dibaca
Temubual Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM, Nor Najila Budin di Ibu Pejabat JBPM Selangor, Bukit Jelutong, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X