Khamis, 10 Januari 2019 | 1:43pm
Antara Misi Bantuan Kemanusiaan disertai Maziiana
Menyediakan sajian juga sebahagian daripada aktiviti misi bantuan.

"Tidur beralaskan kotak, hidu bau busuk..."

KUALA LUMPUR: Naluri sukarelawan, Maziiana Mohd Azahari mudah tersentuh melihat kemelaratan hidup insan di sekelilingnya, membuatkan beliau sanggup menghabiskan masa muda melakukan kerja kebajikan sepenuh masa di dalam dan luar negara.

Maziiana, 36, Ikon Wanita (Belia) Tanjung Karang, Selangor, sudah biasa tidur beralaskan kotak, menghirup udara kotor, menghidu bau busuk, wajah dimamah panas mentari dan meredah hujan ribut, demi memenuhi misi bantuan.

Beliau sudah didedahkan dengan kerja amal sejak berusia tujuh tahun dengan mengikut arwah ibunya yang kerap membantu asnaf di kampungnya, di Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, sifat itu tertanam dalam dirinya sehingga kini.

Jika kanak-kanak lain ketika itu masih seronok bermain, Maziiana mengikut arwah ibunya, Kamisah Temin memasuki kampung bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Semangat pemegang ijazah perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM), begitu ampuh menabur bakti misalnya, memasak pelbagai makanan untuk disedekahkan kepada warga tua yang tinggal bersendirian, selain membantu membasuh pakaian mereka.

“Sejak dulu saya membantu ibu mengumpulkan pakaian terpakai untuk disedekahkan kepada asnaf yang mempunyai anak ramai.

“Perkara yang mendorong saya menjadi aktivis kemanusiaan sepenuh masa selepas melihat pelbagai kisah kehidupan, penderitaan, kemelaratan dan kesengsaraan masyarakat di seluruh dunia,” katanya ditemui, baru-baru ini.

Beliau bertugas mengendalikan aktiviti media dan projek kemanusiaan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Al-I'tisam Relief Program, memulakan kerja kesukarelawanan secara serius di peringkat antarabangsa, sejak 2011 yang dianggap sebagai terapi diri.

“Saya menjadi pengurus media cetak dan elektronik di Al-I'tisam Relief Program, menggalas tanggungjawab sebagai pengurus projek Misi Cambodia. Selain mengurus projek ekonomi dengan menyediakan bengkel jahitan dan kelas komputer kepada masyarakat di negara itu.

“Saya mengurus dan menyelaras projek misi khidmat masyarakat bersama sukarelawan, dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan memasuki kampung di pedalaman.

“Kami menguruskan misi korban akikah berkaitan pengurusan lembu. Tugas di kendalikan sejak tujuh tahun lalu bermula penubuhan awalnya pada 2011, selain menjalankan projek khas tahunan seperti iftar Ramadan dan Aidilfitri untuk misi bantuan makanan kering,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggalas pelbagai tanggungjawab seperti pengurus projek atau misi, jurugambar, juruvideo khas misi, ketua misi, pembantu kesihatan dan juruteknik.

Alah bisa tegal biasa, apatah lagi sebelum ini beliau pernah bekerja selama empat tahun dalam bidang penyiaran yang banyak mengendalikan program amal dan memberi peluang membina kerjaya dalam bidang kemanusiaan secara sepenuh masa.

“Bidang kemanusiaan serasi dengan diri kerana usaha sedemikian mengajar erti hidup. Bukan mudah untuk dilaksanakan kerana cabaran dan ujian sentiasa ada, terutama dalam mengumpul dana.

“Masa perlu dikorbankan untuk membantu insan lain. Saya sudah biasa tidur pada waktu tidak menentu dan berhadapan dengan pelbagai kekurangan.

“Malah, saya juga biasa bekerja dalam gelap-gelita apabila terputus bekalan elektrik, digigit nyamuk, selain perlu meneruskan program dalam keadaan kesihatan tidak berapa sihat,” katanya yang melihat semua keadaan itu yang mendorong semangatnya bertahan dalam bidang ini.

Maziiana berkata, sepanjang pembabitan dalam bidang ini, enam negara sudah dijelajahi bagi menjayakan misi bantuan.

“Sepanjang tujuh tahun ini, negara yang dikunjungi antaranya di Palestin (Semenanjung Utara Gaza) untuk misi bantuan kemanusiaan dana pendidikan dan pembinaan masjid (2013).

“Bantuan di Tacloban Filipina pula memenuhi keperluan perubatan dan video kemanusiaan taufan hayyan (2014), di Bangladesh menjayakan misi bantuan pelarian Rohingya dan misi bantuan di Wilayah Cham dan Thom di Kemboja.

“Di Guangzhou, China pula fokus kami membantu golongan Muslim di sana, manakala di Indonesia terbabit menjayakan bantuan tsunami di Aceh dan gempa bumi serta tsunami di Palu, Donggala,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun skop misi bantuan tidak terhad kepada masyarakat Islam, sebaliknya membantu bukan Islam mengikut kesesuaian.

“Biasanya, tumpuan setiap bantuan memfokuskan bantuan ekonomi dengan memberikan ilmu untuk golongan ini terus berdikari.

“Bantuan bergantung kepada kesesuaian sesebuah negara. Jika negara yang tidak sesuai dibangunkan lagi bantuan ekonomi skala kecil, jadi bantuan singkat diberikan seperti makanan asas, pembinaan madrasah dan kemudahan tandas,” katanya.

Dianugerahkan sebagai Ikon Wanita (Belia) Tanjung Karang, pada 2016, kata beliau, antara pengalaman paling sukar dilalui ketika misi bantuan di Filipina dan Indonesia membabitkan mangsa bencana gempa bumi, tsunami dan ribut taufan.

“Ketika berada di negara konflik perang, saya dapat melihat depan mata aksi tembak menembak antara tentera dengan orang awam, walau hanya dari jauh, namun bunyi tembakan begitu menyeksakan jiwa,” katanya.

214 dibaca
Berita Harian X