Rabu, 2 Januari 2019 | 1:05pm
Kakitangan Petron mengabadikan kenang-kenangan bersama murid di SK Bandar Tawau Sabah.

Kakitangan Petron jayakan program tingkat membaca bacaan bahasa Inggeris

Tawau: Sekumpulan kakitangan syarikat berasaskan minyak dan gas Petron mengambil inisiatif mengagih-agihkan bahan bacaan kepada kanak-kanak di sini dalam usaha meningkatkan kesedaran pentingnya aktiviti membaca seawal usia.

Program Petron Give A Kid A Book, dijayakan pasukan Volunteerism In Action (VIA), meluangkan masa menganjurkan sesi bacaan secara interaktif bersama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tawau Sabah, baru-baru ini.

Guru Besar SK Bandar Tawau, Chumi Angan, berkata pihaknya gembira menerima 50 buku cerita bahasa Inggeris yang sesuai untuk bacaan golongan sasar dibiaya menerusi sumbangan kakitangan.

Katanya, sukarelawan turut mengadakan sesi bacaan kepada 30 murid Tahun Satu hingga Tiga.

Ketua Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Zaimi Harun, berkata aktiviti sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat pihaknya memberi peluang semua peringkat meningkatkan kemahiran membaca terutama dalam bahasa Inggeris.

Menerusi program ini, beliau berkata, pihaknya berharap kanak-kanak berminat membaca dengan kaedah menyeronokkan, terutama dalam kalangan mereka yang begitu memerlukan.

Sesi bacaan secara santai tingkat semangat membaca

Katanya, ini program kedua Petron sepanjang tahun ini, bertujuan meningkatkan literasi dalam kalangan kanak-kanak di kawasan pedalaman selain menawarkan kemudahan lebih baik dengan membekalkan bahan bacaan bermutu.

“Terdahulu program sama berlangsung di Pahang bersama 34 penghuni Rumah Anak Yatim dan Fakir Miskin, Baitul Husna di Kuantan. Setakat ini, sukarelawan menyumbangkan 100 buku cerita bahasa Inggeris untuk tujuan itu,” katanya.

56 dibaca
Berita Harian X