Ahad, 30 Disember 2018 | 12:39pm
Noor Anis Noor Azmi (kiri) bersama rakan kongsinya, Fidyatul Alyaa Hafizi Affandi menunjukkan produk yang dihasilkan mereka. - Foto Akma Bakar

Kongsi kemahiran berniaga dengan modal awal RM80

KUALA LUMPUR: Memilih untuk berdikari selepas bergelar ibu tunggal, dua wanita memulakan perniagaan sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

Pada masa sama berazam membantu ibu tunggal dan suri rumah menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Usahawan Noor Anis Noor Azmi, berkata usaha bertujuan memberi peluang ramai wanita menceburi bidang perniagaan dengan modal mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau memulakan perniagaan bersama rakan kongsi Fidyatul Alyaa Hafizi Affandi, berkata peluang perniagaan yang ditawarkan boleh dimulakan dengan modal awal berjumlah RM80.

“Sebagai pengasas air minuman kesihatan berasaskan lemon Prime Detox Lemon, produk ini dijadikan antara jualan utama kepada semua peniaga baharu yang hendak memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Pilihan barangan lain termasuk makanan tradisional antaranya kuih siput, kuih kapit. Kami juga memasarkan pelembap bibir berasaskan bahan organik.

“Semua bahan ini menjadi komoditi awal bagi memulakan perniagaan dengan modal minimum,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Inisiatif membantu golongan sasar ini kata Noor Anis, bertujuan membolehkan mereka lebih tekun dalam meneroka peluang perniagaan bagi meneruskan kehidupan lebih selesa.

“Kami tidak mahu ibu tunggal merasa beban untuk memulakan perniagaan, apabila mereka sudah mendapat keuntungan, produk jualan boleh ditambah untuk meraih keuntungan seterusnya.

“Saya sebagai ibu kepada tiga anak memahami keperitan kehilangan suami akibat kemalangan dan bagi saya, ini antara bantuan yang dapat diturunkan untuk dimanfaatkan bersama.

“Sebelum memulakan perniagaan, mereka seharusnya percaya dengan diri yang mampu menyara keluarga untuk menikmati hidup lebih selesa,” katanya.

Kini usaha kedua-dua mereka sudah menampakkan hasilnya dengan pengeluaran minuman berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Minuman Prime Detox Lemon sudah dijual di Malaysia, Singapura dan Brunei, seramai hampir 50 ejen dilantik yang terdiri daripada ibu tunggal serta suri rumah. Produk ini boleh didapati di semua 30 stesen minyak Petronas sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Produk sama juga dijual di pasar raya terpilih, kedai serbaneka Hospital Sungai Buloh dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan di Jalan Kebun, Klang, Selangor.

964 dibaca
Berita Harian X