Khamis, 27 Disember 2018 | 1:11pm
SR Asia Resources menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ampang serta Madrasah Tahfiz Arruqaiyyah, baru-baru ini.

Pelbagai pihak digesa beri sumbangan

KUALA LUMPUR: Meskipun sesi persekolahan bermula 2 Januari depan pelbagai pihak digesa menyumbang barangan sekolah seperti baju, kasut, beg dan alat tulis bagi membantu meringankan bebanan serta emosi golongan sasaran khususnya anak yatim dan keluarga miskin.

Pengerusi Pertubuhan Nur Kasih Klang, Maryam Shafie, berkata setiap tahun mereka memerlukan lebih RM10,000 bagi menampung perbelanjaan sekolah untuk kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan sekitar Lembah Klang.

Katanya, sebagai contoh pertubuhan itu memerlukan RM10,000 untuk perbelanjaan sekolah 40 kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun yang mendiami premis itu.

Badan korporat dan agensi swasta perlu memikul tanggungjawab bersama membantu membangun dan menyempurnakan pendidikan anak yatim dan golongan sasaran.

“Kita harap lebih ramai menghulurkan bantuan. Rumah itu sentiasa terbuka menerima sebarang sumbangan bagi perbelanjaan anak yatim kerana mereka belum berjaya mengumpul dana yang besar.

“Pelbagai aktiviti giat dijalankan untuk menjana pendapatan tambahan, termasuk projek bakeri, kedai kebajikan, rumah cendawan dan menjual donut menerusi sistem penghantaran ke rumah. Sebahagian pendapatan hasil jualan kita bantu golongan memerlukan,” katanya kepada BH.

Kesempitan hidup ibu tunggal

Maryam berkata, inspirasi semua projek diusahakan itu juga bertujuan menampung perbelanjaan anak di rumah itu.

Katanya, setiap hari RM3 seorang diberi sebagai perbelanjaan persekolahan sesi pagi dan petang.

“Jadi, ini sahaja cara untuk menambah pendapatan dengan mengadakan pelbagai kaedah jualan barangan dan projek yang kami usahakan.” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman, berkata keadaan ekonomi kian menghimpit sehingga memberi tekanan emosi dan mental kepada ibu tunggal, terutama yang tinggal di ibu kota.

Katanya, kebanyakan ibu tunggal berdepan masalah diberhentikan kerja menyebabkan hilang sumber pendapatan dan keadaan itu lebih terasa apabila hujung tahun mereka perlu menyediakan pelbagai kelengkapan sekolah anak.

“Sumbangan itu secara tidak langsung dapat memberikan harapan baru kepada anak ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata pihaknya turut menyumbang dari segi kewangan untuk kali kedua bertujuan meringankan beban keluarga pesakit yang kurang berkemampuan.

Katanya, 140 penghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hidrosefalus diberi kelengkapan persekolahan menerusi program jelajah kembali ke sekolah.

“Program kerjasama dengan pihak Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia itu diagihkan kepada 100 murid sekolah rendah dan 40 pelajar menengah di Semenanjung.

“Bertemakan ‘Bersama Menghargai’ program ini memberi sumbangan kelengkapan seperti alat tulis, pakaian dan kasut,” katanya.

Megat Shahriman berkata, pihaknya juga menyumbang RM50 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 140 penerima.

Pengarah Urusan Syarikat Pengeluar Produk Pencuci Jenama Top 5, SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia Resources), Mohd Syukri Ibrahim, berkata objektif program menyasarkan kanak-kanak kurang bernasib baik untuk persiapan kembali ke sekolah.

Katanya, sempena ulang tahun syarikat yang keempat, 40 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ampang dan Madrasah Tahfiz Arruqaiyyah menerima sumbangan wang, masing-masing berjumlah RM1,000 untuk membeli kelengkapan sekolah.

77 dibaca
Berita Harian X