Jumaat, 21 Disember 2018 | 3:43pm
SHERIZATUL Nadia memilih pelbagai barangan basah yang ditempah pelanggan di Pasar Borong Selangor.

Sanggup hidu bau busuk, redah pasar

KUALA LUMPUR: Khidmat pembeli peribadi atau personal shopper lazimnya hanya popular menerima pesanan bagi barangan berkaitan produk gaya hidup seperti fesyen, kecantikan, kelengkapan rumah, namun agak jarang mendapat permintaan membeli keperluan barangan segar di pasar basah.

Bagaimanapun, berbeza bagi Sherizatul Nadia Roslan, 31, menawarkan khidmat itu untuk membelikan pelbagai keperluan barangan, makanan segar seperti ikan, udang, daging, sayur-sayuran dan tidak kisah bau busuk meredah Pasar Borong Selangor atau pasar raya, sejak tiga tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Dokumentasi Perkapalan, keluar seawal pagi khususnya pada hujung minggu untuk membeli semua pesanan dan kemudian dibersihkan sebelum dihantar ke rumah pelanggan dengan caj yang minimum.

Katanya, dengan adanya perkhidmatan itu pelanggan tidak perlu lagi memandu atau beratur panjang semata-mata untuk mencari barangan yang diperlukan.

Sebelum ini beliau berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan segar terutama ketikanya dalam tempoh berpantang kira-kira tiga tahun lalu.

Kesukaran ke pasar atau keluar meninggalkan bayinya di rumah, mencetuskan idea menjadi perantara untuk ke pasar dengan pelanggan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Seri Kembangan, Nilai, Seremban, Sepang atau berdekatan kediamannya di Bandar Kinrara, Puchong.

“Bertitik tolak daripada kesukaran itu memberikan ilham kepada saya dan suami memulakan perkhidmatan dengan penghantaran dibuat sekitar jam 9 hingga 11 malam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu atau pada hari kelepasan umum penghantarannya, pada waktu siang.

“Saya akan ‘menyiang’ dan membersihkan ikan, udang, daging supaya apabila sampai ke tangan pelanggan ia sedia dimasak dan dalam keadaan segar ketika penghantaran berikutan semuanya sudah dibersihkan,” katanya kepada BH.

Selain makanan segar, Sherizatul Nadia juga membeli sayur-sayuran dan bahan masakan lain, malah turut menyediakan pes atau ramuan masakan yang dikisar bagi kemudahan pelanggan.

“Alhamdulillah ini adalah cara membantu suri rumah atau wanita berkerjaya yang gemar memasak di rumah, tetapi mereka tidak mempunyai masa untuk ke pasar iaitu dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran sebegini.


SHERIZATUL Nadia memilih pelbagai barangan basah yang ditempah pelanggan di Pasar Borong Selangor.

“Kebiasaan Pasar Borong Selangor menjadi tempat kami mendapatkan bekalan segar kerana lokasinya berhampiran rumah, jadi masa untuk memprosesnya menjadi singkat sekali gus boleh sampai ke tangan pelanggan tepat pada masanya.

“Setiap tempahan kami kenakan caj antara RM8 hingga RM12 dengan kebanyakan pesanan dikumpul dari Facebook, Nadia Grocer selain menawarkan pembelian mengikut pakej,” katanya.

Sherizatul Nadia berkata, dengan caj RM100, pelanggannya boleh memperoleh seekor ayam, seekor tenggiri bunga, 500 gram (g) ikan kembung, 500 g daging, 500g lala dan 500g udang.

Kebiasaan tawaran ini dibuat secara mingguan dan lebih memudahkan pelanggan memilih apa yang mereka mahukan dengan sejumlah harga.

“Selain itu, saya juga memberikan bahan tumis percuma misalnya 200 g bawang merah, bawang putih dan cili kering yang sudah dikisar bagi memudahkan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran dilakukan dengan segera dan kebanyakan pelanggannya adalah dalam kalangan penduduk di sekitar Sepang, Cyberjaya, Putrajaya, Seri Kembangan, Bukit Jalil, Puchong dan Putra Heights.

Selain itu, perkhidmatan sama juga meliputi Subang Jaya, Kelana Jaya, Damansara, Petaling Jaya dan Bangsar.

Katanya, setakat ini pelanggannya berpuas hati dan sebilangannya pelanggan yang sama kerana selesa dengan perkhidmatan diberikan.

“Dengan pakej perkhidmatan disediakan menjadikan pelanggan juga rasa lebih berbaloi kerana dapat memenuhi keperluan dipesan meliputi meliputi makanan laut, ayam dan daging dengan harga berpatutan.

“Lebih memudahkan semua bahan mentah ini sudah dibersihkan sebelum dihantar kepada pelanggan, sekali gus membolehkan mereka terus memasak tanpa perlu lagi bersesak di pasar,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam bidang ini, beliau menegaskan khidmat pembeli peribadi dilihat semakin terkenal berikutan sambutan menggalakkan, selain mempunyai kelompok pelanggan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka.

“Selalunya, kita dapat lihat perkhidmatan ini sering ditawarkan untuk membeli pakaian, beg tangan, aksesori, kelengkapan dan perhiasan rumah atau permintaan ketika ekspo jualan. Minat orang ramai membeli-belah memang tidak batasan.

“Setakat ini, saya memang memberi tumpuan menawarkan khidmat untuk barangan basah kerana ia tidak ramai yang buat berbanding produk kecantikan dan fesyen,” katanya.

1184 dibaca
Berita Harian X