Selasa, 20 November 2018 | 8:01pm
FATIN aktif berlatih untuk memantapkan teknik persembahan. NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Fatin ekstrem di sebalik ayu bertudung

• Di sebalik penampilannya yang bertudung dan berbaju kurung, tiada siapa menyangka tersembunyi sisi ekstrem dalam diri Fatin Syahirah Roszizi.

• Bukan sekadar aktif sebagai hobi, gadis berusia 16 tahun ini adalah antara empat atlit papan selaju atau ‘skateboard’ kebangsaan yang menggalas misi negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 baru-baru ini.

• Sudah lama aktif bermain papan selaju, namun restu kedua ibu bapa baru diterima dua tahun lalu.

• Bermula dengan ‘fingerboard’ sebelum beralih kepada ‘skateboard’ untuk lebih cabaran

• Pencapaian tertinggi menyertai Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dalam kategori ‘street’ dan ‘park’


FATIN aktif berlatih di Mont Kiara Skate Park untuk memantapkan teknik bermain papan selaju. NSTP/ Nurul Shafina Jemenon


FATIN sering menjalani latihan sama ada di Mont Kiara Skate Park atau Kajang Skatepark. - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Bagi Fatin Syahirah Roszizi, 16,imej bertudung langsung tidak menjadi kekangan buatnya untuk beraksi dalam sukan lasak, apatah lagi untuk menjadikan ‘skateboard’ atau papan selaju sebagai hobi utama atau kerjaya.

Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian di Kajang ini, mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita bertudung supaya tidak menilai mereka berdasarkan penampilan, tetapi minat dan kebolehan.

“Ramai kawan perempuan saya minat dengan sukan ekstrem, tetapi malu untuk tampil ke depan. Diharap saya dapat jadi pencetus kepada mereka bahawa bertudung bukanlah penghalang untuk kita lakukan apa yang kita minati.

“Tidak adil untuk melabel wanita bertudung kerana tidak semestinya pakai tudung tak boleh buat banyak benda. Jika lelaki boleh main papan selaju, perempuan juga boleh kerana ia aktiviti sukan sihat yang mampu mengeluarkan peluh,” katanya.

Fatin bagaimanapun mengakui beliau sendiri mendapat tentangan keluarga di peringkat awal berikutan hobi bermain papan selaju dikatakan terlalu lasak dan tidak sesuai dengan perempuan bertudung sepertinya.

Bagaimanapun, beliau nekad mencabar diri sehinggalah minatnya bermain papan selaju diterima.

“Keluarga tidak yakin saya boleh main (papan selaju) kerana setiap kali pulang ke rumah, saya asyik cedera dan luka di sana sini.

“Persepsi mereka berubah ketika saya di tingkatan dua, apabila ada syarikat menawarkan untuk menaja baju selepas melihat rakaman aksi saya bermain di akaun Instagram.

“Sejak itu, ibu dan bapa sedar saya serius dalam bidang ini dan mula memberikan sokongan, malah mereka belikan segala kelengkapan yang saya perlukan,” katanya.


FATIN berazam ubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan wanita bertudung. - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon


WALAUPUN berbaju kurung dan bertudung, Fatin tidak kekok beraksi ekstrem bermain papan selaju. - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Jatuh cinta pada papan selaju

Ditanya kenapa memilih papan selaju, anak kelahiran Kajang ini berkata, dia mula jatuh cinta terhadap sukan itu ketika di sekolah rendah selepas melihat beberapa rakan lelaki beraksi di taman rekreasi bersebelahan sekolah.

“Kebanyakan kawan saya lelaki, jadi mungkin ia sedikit sebanyak mempengaruhi minat saya terhadap sukan lasak dan di sekolah saya memang aktif bersukan seperti berlari, lompat tinggi dan bermain sofbol.

“Saya sebenarnya bermula dengan ‘fingerboard’ (papan selaju versi mini) ketika di darjah empat dan pada masa sama, tertarik melihat kawan bermain skateboard (papan selaju). Dari situ timbul minat untuk mencuba kerana merasakan ia menyeronokkan, selain mahu mencabar kemampuan diri,” katanya.

Ditanya mengenai latihan, katanya dia memanfaatkan sepenuhnya cuti hujung minggu untuk berlatih dengan segala teknik atau ‘trick’ banyak dipelajari daripada rakan, selain menonton aksi pemain profesional wanita di laman Youtube.

“Sebelum ini, saya dan rakan banyak berlatih di Kajang Skatepark, tetapi kadang kala kami turun ke Mont Kiara Skatepark. Kami berlatih berjam-jam sehari, ada ketika dari pagi hingga malam.

“Sukan ini tidak mengganggu pelajaran, kerana pada hari biasa saya akan berehat (dari bermain papan selaju) dan memberi fokus di sekolah,” katanya.

Mengenai penyertaan dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata peluang diberikan kepadanya amat bermakna, namun pada masa sama tidak menolak perasaan gementar kerana ia penyertaan pertamanya di luar negara.

Fatin terpilih mewakili negara selepas menjuarai kategori wanita dalam sesi pemilihan diadakan pada Disember tahun lalu. Beliau menyertai kategori ‘street’ dan ‘park’.


PENDEDAHAN jurulatih dan rakan membuatkan Fatin tidak kekok mempamerkan aksi ketika bermain papan selaju. - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon


KESERONOKAN ketika mempamerkan aksi membuatkan Fatin jatuh cinta dengan papan selaju - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Azam lakukan yang terbaik

Selain itu, Fatin aktif menyertai beberapa pertandingan papan selaju dalam negara termasuk menduduki tempat kedua dalam Temerloh Skate Jantan Warrior 2016 bagi kategori bawah 15 tahun, walaupun tampil selaku satu-satunya peserta wanita.

Fatin berkata, untuk persiapan ke Indonesia, beliau aktif menjalani latihan intensif di Mont Kiara Skate Park dan beruntung diberi pelepasan oleh pihak sekolah, dengan sepanjang tempoh latihan ditempatkan bersama atlit lain di Institut Sukan Negara (ISN).

“Kami berlatih empat jam sehari setiap Isnin hingga Jumaat di bawah pemantauan jurulatih dari Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA).

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana ia penyertaan sulung, namun tetap melakukan yang terbaik. Ada antara peserta saya kenal, jadi saya tahu tahap dan kemampuan saya.

“Jika diikutkan, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk ke Indonesia kerana baru tiga minggu kembali berlatih selepas pulih dari kecederaan buku lali,” katanya.

Mengenai masa depan, Fatin berkata dia akan terus berlatih untuk memperbaiki serta memperkemas teknik termasuk mencari peluang untuk beraksi di mana-mana pertandingan lain.


FATIN berazam ubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan wanita bertudung. - NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

BIODATA:

Fatin Syahirah Roszizi

• Umur: 16 tahun

• Asal: Kajang, Selangor

• Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang

• Acara: Papan selaju

• Penyertaan:

- Naib juara Temerloh Skate Jantan Warrior 2016 (kategori bawah 15 tahun)

- Mewakili negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 (kategori ‘street’ dan ‘park’)

Berita Harian X