Khamis, 8 November 2018 | 2:52pm

Usia 5 tahun dah pandai masak sup ayam

Oleh Nor Hatina Shuib

hatina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sejak berusia lima tahun Cef Selebriti dan hos rancangan masakan Asian Food Channel (AFC), Sarah Benjamin sudah tangkas di dapur, lantas minat itu terus menyerap dalam dirinya sehingga sekarang.

Pada usia lima tahun beliau boleh menyediakan masakan sup ayam halia dan ayam gajus.

Minat yang dipupuk sejak kecil itu terus berkembang dan tidak mustahil berjaya menunjukkan kehebatan dalam bidang kulinari apabila menjuarai pertandingan Food Hero yang dianjurkan oleh AFC.

Sarah menjadikan cef terkenal dunia seperti Jamie Oliver, Anthony Bourdain dan Nigella Lawson sebagai idola sehingga membakar semangatnya untuk menjadi wanita dikenali dalam bidang itu.

“Malah, ketika menuntut di Scotland, United Kingdom saya mencuba pelbagai resipi dan mula serius dengan dunia masakan,” katanya.


SARAH menunjukkan kecekapannya memasakan yang dipupuk sejak berusia lima tahun. - Foto Owee Ah ChunWEE AH CHUN.

Bagi beliau jurang lelaki memonopoli bidang kulinari sebagai kerjaya profesional semakin luas berbanding wanita berikutan persepsi masyarakat dan industri itu masih menganggap profesion berkenaan lebih layak dipelopori golongan terbabit.

Katanya, aliran kerjaya itu akan statik jika masyarakat atau industri terbabit tidak memberi peluang kepada wanita menonjolkan keupayaan mereka.

Beliau berkata stigma kerjaya cef profesional hanya sesuai untuk lelaki perlu diubah kerana wanita juga berkelayakan sama.

“Contohnya, industri kulinari, termasuk hotel menganggap lelaki memiliki kemahiran menyediakan pelbagai hidangan berat seperti memasak daging berbanding wanita hanya sesuai membakar kek atau membuat pastri.

“Wanita dipotretkan sebagai suri rumah yang sesuai memasak di dapur rumah, manakala lelaki boleh menghidangkan masakan di dapur restoran mahupun hotel. Ia persepsi salah.


WANITA tidak hanya sesuai membakar kek atau membuat pastri, sebaliknya mampu menandingi cef lelaki dengan menyediakan pelbagai jenis masakan. - Foto Owee Ah Chun

“Golongan hawa sebenarnya boleh melakukan kemahiran sama dan berbakat seperti lelaki jika mereka diberi peluang mampu pergi jauh dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di Studio NSTP, baru-baru ini.

Anak kelahiran Singapura ini berkata, beliau yakin wanita yang meminati bidang kulinari mampu menyerlahkan bakat dan kemahiran sebagai cef profesional.

“Kewibawaan, keupayaan dan kelayakan mereka tidak seharusnya dipertikaikan untuk cef lelaki.

“Sebenarnya semua bergantung kepada bakat, kebolehan dan keinginan individu untuk ke hadapan. Apatah lagi, setiap cef sama ada wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kemahiran memasak menu dan resipi makanan berbeza,” katanya.

Stigma dan perhatian hanya tertumpu kepada kepakaran lelaki dalam dunia masakan menyebabkan wanita yang meminati bidang ini tidak diberi perhatian dan ketinggalan.

“Senario itu menjadikan lelaki lebih cenderung menceburi dunia masakan,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih ramai wanita membuktikan mereka berbakat dan mampu mencapai ke tahap lebih baik dalam bidang ini.


ASPEK penting menyediakan sajian makanan adalah rasa yang enak baru disusuli perkara lain seperti hiasan dan persembahan makanan. - Foto Owew Ah Chun

“Sebenarnya bidang kulinari dan masakan ini cukup luas. Bagi wanita yang ingin berada dalam bidang ini, kerjaya ini tidak terhad sebagai cef sahaja, tetapi melangkaui bidang lain seperti penulis buku, blog atau pengacara masakan di stesen televisyen,” katanya.

Beliau berkata, untuk menjadi tukang masak yang baik mereka mesti suka pada makanan.

“Apabila suka makan, anda tahu membezakan rasa sedap atau sebaliknya. Aspek paling utama pada sajian makanan adalah rasa yang enak baru disusuli perkara lain seperti hiasan dan persembahan makanan,” katanya.

Berkisar minatnya dalam dunia masakan, wanita yang fasih berbahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu ini, berkata sejak usia lima tahun beliau sudah ligat di dapur.

“Saya bukan sahaja belajar ilmu sosiologi, tetapi memahirkan kemahiran memasak pelbagai jenis masakan dunia ketika menuntut di sana,” katanya.

Graduan pengajian Sosiologi dan Politik, Universiti Edinburgh ini, berkata walaupun memiliki pendidikan dan kerjaya berbeza, baginya apa yang dipelajari di universiti dimanfaatkan dengan apa yang dilakukan hari ini.

“Sosiologi berkaitan masyarakat dan budaya. Ia juga mempunyai hubungan kuat dengan masakan, kaedah masakan dan resipi sesuatu budaya.

“Apabila memiliki kedua-dua cabang ilmu ini, saya sedari ia mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Sebagai contoh, masakan Itali seperti pasta dihasilkan masyarakat di China,” katanya.

Kata Sarah, beliau suka berkongsi air tangan menerusi resipi ciptaannya kerana menganggap ia sebagai kepuasan dan perkongsian dengan masyarakat menerusi masakan.

“Saya bercadang menyediakan makan malam kepada individu yang ingin merasai masakan saya di Singapura.

“Ini adalah impian yang akan dijadikan kenyataan,” katanya.


SARAH Benjamin. - Foto MAhzir Mat Isa

454 dibaca
Berita Harian X