Rabu, 31 Oktober 2018 | 8:21am
NOOR Hayati memperjuangkan seni Mak Yong yang semakin dilupakan generasi muda.

Pewaris mahu bawa Mak Yong ke pentas global

KUALA LUMPUR: Generasi ketiga aktivis seni Mak Yong dari Kelantan, Noor Hayati Zakaria mahu meneruskan legasi keluarganya bagi melakar sejarah memartabatkan bidang berkenaan sehingga ke pentas global.

Darah seni mengalir dalam darah anak bongsu primadona Mak Yong, negara, Allahyarham Khatijah Awang, berazam memperjuangkan bidang itu yang semakin dilupakan generasi muda.

Beliau yang juga Pegawai Kebudayaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berkata legasi Mak Yong dibawanya kini sudah masuk generasi keempat apabila anaknya juga terbabit dalam kegiatan seni ini.

Katanya, usahanya itu juga sebagai inisiatif beliau memperkenalkan budaya warisan berkenaan kepada generasi muda.

“Perjuangan saya dan minat ini sudah melekat dalam jiwa sejak berusia tujuh tahun. Zaman kanak-kanak saya dilatari dengan gesekan rebab, gendang, serunai dan nyanyian dalam Mak Yong.

“Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal daripada arwah ibu mengenai Mak Yong. Saya mempelajarinya secara tidak formal dan membuat persembahan penuh ketika berusia 13 tahun.

“Keturunan kami semuanya mahir bermain Mak Yong. Penggiat seni Mak Yong di Kota Baharu ketika itu boleh dikatakan hampir semuanya terdiri daripada saudara-mara,” katanya kepada BH.

Kembang seni budaya

Noor Hayati berkata, selain itu beliau yang juga cucu kepada primadona diraja, Che Kemala Che Muhamad menyimpan hasrat untuk mengembangkan seni budaya itu ke tempat lain meskipun di negeri kelahirannya, Kelantan agak terbatas untuk membuat persembahan budaya sebegitu.

Malah, ia bukan halangan utama beliau memajukan seni budaya itu dalam kalangan penggiat seni.

“Saya mengambil inisiatif menghidupkan seni budaya ini dalam kalangan anak muda di universiti dan institut pengajian di negara termasuk di UMK.

“Ini kaedah terbaik anak muda mengetahui keistimewaan Mak Yong kerana ia bukan sekadar seni tetapi lebih daripada itu. Seni tradisi ini menjadi sebahagian daripada santapan jiwa masyarakat setempat suatu ketika dulu dan kini,” katanya.

Perjuangan seni

Beliau berkata, neneknya, Che Kemala mempunyai kumpulan Mak Yong sendiri, iaitu Kumpulan Makyong Diraja Che Kemala manakala, arwah ibunya aktif menubuhkan Kumpulan Budaya Seri Temenggung.

“Saya pula aktif meneruskan perjuangan ini sejak 1969 yang disertai ramai penggiat seni Mak Yong.

“Saya berharap lebih ramai anak muda mahu belajar Mak Yong yang bukan saja seni budaya yang perlu dilindungi, tetapi diangkat martabatnya sehingga ke peringkat global, katanya.

Bagi mengembalikan kegemilangan Mak Yong dan memperkenalkan seni budaya ini, beliau berhasrat menjalankan aktiviti dan pengenalan budaya unik itu dalam kalangan kanak-kanak.

“Inisiatif lain yang saya cadangkan untuk memartabatkan budaya ini dengan memperkenalkan secara dekat Mak Yong menerusi pementasan dan bengkel tetapi kaedahnya perlu interaktif dan ringkas", katanya.

Terus relevan pada era digital

Noor Hayati berkata, bukan semua yang dilahirkan dalam keluarga seni akan menjadi pewaris bidang itu dan sanggup berjuang untuk menghidupkan warisan budaya berkenaan supaya terus relevan dalam era digital.

“Memperjuangkan kesenian tradisi menuntut kecekalan dan keyakinan tinggi. Tanpa kecekalan dan kecintaan yang luar biasa individu mungkin gagal mengelakkan warisan budaya itu," katanya.

Malah, tidak dinafikan perjuangan dalam kesenian tradisi jarang atau tidak memberikan pulangan material yang banyak dan baginya yang dididik dengan jiwa seni, ia bukan perkara utama yang perlu diharapkan.

21 dibaca
Berita Harian X