Isnin, 29 Oktober 2018 | 8:51am
PERKHIDMATAN e-hailing dikendalikan pemandu wanita memberi keyakinan terhadap pengguna dari segi keselamatan dan risiko kejadian jenayah. - Foto hiasan

Wanita tak takut lagi guna e-hailing

Gambar Saifulizan Tamadi

 

Kuala Lumpur: Penumpang wanita mempunyai banyak pilihan memilih perkhidmatan e-hailing apabila kini semakin ramai pemandu wanita menceburi bidang itu sekali gus menghapuskan kebimbangan terhadap keselamatan atau risiko kejadian jenayah yang sering menghantui fikiran mereka.

Dengan pelbagai kemelut membelenggu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya teksi yang dikatakan harga lebih tinggi, kurang cekap dan sebagainya memberi peluang kepada e-hailing perkhidmatan sebaliknya sebagai pilihan pelanggan.

Malah, kewujudan e-hailing dilihat memang-menang bagi kedua-dua belah pihak sama ada pemandu sendiri mahupun penumpang termasuk wanita yang acap kali kurang selesa dengan khidmat teksi biasa lazimnya didominasi lelaki.

Justeru, perkhidmatan e-hailing dikhususkan untuk wanita, antaranya Riding Pink, Ladies Only Riders and Drivers (LORD) dan terbaru, Spedy Lady yang diperkenalkan sejak Ogos lalu, selain Grab dan MyCar sesiapa saja boleh dinaiki.

Pengarah Urusan Spedy, Nor Hamzie Hambali, berkata pihaknya memperkenalkan Spedy yang beroperasi 24 jam, lebih selesa dan penumpang boleh memilih pemandu dengan menggunakan aplikasi Spedy melalui akaun Play Store mahupun App Store di telefon bimbit anda.


NOR Hamzie menunjukkan aplikasi Spedy kepada pemandu wanita. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Katanya, sejak diperkenalkan perkhidmatan itu sudah merekodkan kira-kira 1,000 pemandu dalam talian dan sebilangannya adalah kalangan pemandu wanita.

Katanya, hari pertama dilancarkan, kira-kira 600 penumpang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

"Kita menyediakan Spedy Lady sebagai platform kepada mereka yang mahu membuat kerja sampingan atau sepenuh masa, selain menonjolkan masa fleksibel dan mampu disertai pemandu wanita," katanya sambil mempromosikan caj perkhidmatan e-hailing itu termurah dari Kuala Lumpur-KLIA, iaitu hanya RM56 sehala.

Beliau berkata, pihaknya menyaring rekod pemandu bagi memastikan bebas jenayah, disenarai hitam oleh pihak berkuasa dan sebagainya manakala pelanggan wanita boleh memilih pemandu Spedy Lady.

Justeru, beliau yakin lebih ramai pemandu wanita menyertai syarikat itu kerana mereka bebas menentukan masa sendiri, menjanjikan pendapatan menguntungkan menyuntik minat ramai ibu tunggal, suri rumah serta pemandu sambilan wanita.

Pemandu e-hailing Wanita, Roziyanty Juhari, 32 dari Cheras, berkata sejak tiga tahun beliau menjadi pemandu e-hailing seperti Grab dan Mycar yang memberikan banyak manfaat kepadanya terutama dari segi menyusun masa untuk mengurus keluarga.

Katanya, beliau Spedy sejak tiga minggu lalu bertujuan menambah pendapatan dan dianggap bersesuaian dengan dirinya sebagai suri rumah.

Selepas menghantar anaknya berusia lima dan tujuh tahun ke sekolah, beliau akan memulakan kerjanya dengan menerima tempahan antara jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

“Lazimnya saya mengambil penumpang ke destinasi jauh seperti dari ibu kota ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana pulangannya lebih lumayan.

“Saya gembira pekerjaan ini kerana kita sendiri menetapkan masa bekerja dan secara tidak langsung tidak mengganggu tugas hakiki di rumah. Cuma saya jarang keluar bekerja di hujung minggu kerana itu masa bersama keluarga.

"Sebagai pemandu saya tetap berwaspada dengan mengaktifkan kamera dalam kenderaan bagi tujuan keselamatan, membawa penyembur lada dan tidak menyimpan wang tunai yang banyak," katanya kepada BH.

Ibu tunggal, Eema Muhammad, 36, dari Ampang mula menceburi perkhidmatan ini selepas berpantang anak kedua pada Mei tahun lalu, sekadar mahu mencuba dan tambahan pula beliau memang suka memandu.


NOR Hamzie mengalu-alukan penyertaan pemandu wanita sebagai Spedy Lady untuk menambah pendapatan. NSTP/Saifullizan Tamadi

"Secara peribadi, saya lihat menerusi perkhidmatan ini memberikan situasi menang-menang kepada pemandu dan penumpang kerana sudah ada tempahan untuk wanita. Malah mereka dengan senang hati duduk di kerusi depan bersama pemandu wanita.

"Jadi masing-masing selesa dan mudah memulakan perbualan dan saya sendiri suka berjumpa orang ramai dan berkongsi pendapat tentang apa saja perkara," kata yang mempunyai dua anak berusia empat tahun dan 17 bulan.

Sebelum menyertai Spedy, tiga minggu lalu, beliau juga sudah menawarkan khidmat e-hailing dengan Grab bagi menambah pendapatan.

Beliau tidak kisah habiskan masa di jalan raya dengan menawarkan mana-mana sahaja perkhidmatan e-hailing ini asal sahaja ia memudahkan dan diterima masyarakat khususnya untuk keperluan penumpang wanita.

Bagi Siti Salmanita Ismail Liow, 32, dari Seremban, memilih perkhidmatan pemanduan e-hailing, ini awal tahun lalu dengan waktu bekerja seawal jam 6.30 pagi hingga 9 malam.

Kerja itu kena dengan jiwanya yang sebelum ini bertugas sebagai telepemasaran yang kerap dibelenggu tekanan, apatah lagi dengan status dirinya sebagai ibu tunggal.

"Sebelum ini saya suri rumah, tidak ada pengalaman bekerja seperti wanita lain. Jadi bidang ini serasi dan memberikan pendapatan harian yang meningkatkan motivasi diri untuk bekerja keras meskipun perlu menempuh perjalanan setiap hari merentasi dua negeri.

"Paling penting kenderaan perlu diselenggara dengan baik sebagai langkah keselamatan. Pemandu harus mengaktifkan rakaman kamera supaya ada bukti jika perkara tidak diingini berlaku," katanya

Info

Kelainan spedy

* Penumpang boleh memilih pemandu

* Beroperasi 24 Jam perjalanan sekitar ibu negara

* Kadar pembayaran berpatutan

* Peluang pekerjaan sebagai pemandu

Berita Harian X