Khamis, 25 Oktober 2018 | 1:23pm
(DARI kiri) Selebriti Sokongan Reben Merah Yayasan AIDS Malaysia, Fahrin Ahmad; Mead; Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah dan Pengarah Urusan Tatler Malaysia, Florence Fang pada sidang media Anugerah Tun Dr Siti Hasmah.

Iktiraf individu, organisasi cemerlang tangani isu AIDS

KUALA LUMPUR: Yayasan AIDS Malaysia (YAM) mewujudkan semula Anugerah Tun Dr Siti Hasmah selepas penganjuran terakhirnya pada 2012, bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan organisasi menangani isu AIDS di negara ini.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata anugerah itu juga diadakan semula sebagai simbol memaparkan perjuangan pelbagai perkara berkaitan menangani HIV/AIDS, selain mengumpul dana bagi tujuan rawatan dan pencegahan.

Katanya, rawatan dan pencegahan bagi menangani HIV/AIDS yang sudah ada dan ia amat penting bagi untuk memastikan pelaksanaannya secara menyeluruh.

“Kita perlu kurangkan stigma dan tidak diskriminasi kepada golongan itu. Ini penting bagi supaya isu berkaitan AIDS di negara ini dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Isu stigma dan diskriminasi menjadikan lebih ramai orang takut untuk tampil ke hadapan .

“Tanpa diskriminasi mereka akan merasa yakin dan mengambil langkah penting untuk membuat ujian saringan HIV sebagai langkah pertama bagi mengetahui status serta mendapatkan rawatan lanjutan sekiranya perlu.” katanya dalam satu kenyataannya, di sini.

Dengan penganjuran semula anugerah itu ia sebagai mengiktiraf pelbagai pihak yang memberi komitmen, berdedikasi dan berani menangani isu terbabit dengan cemerlang.

Kriteria penilaian anugerah

Dr Adeeba berkata, pemenang anugerah akan dinilai membabitkan bidang kerja berkaitan pencegahan HIV, peningkatan kesedaran mengenai isu HIV/AIDS dan pemberian rawatan, penjagaan serta sokongan kepada penghidap HIV.

Kriteria lain dinilai turut mencakupi program pengurangan kesan HIV/AIDS kepada orang ramai, kerja advokasi, perlindungan hak asasi manusia kepada penghidap HIV dan yang mengumpul untuk HIV/AIDS.

“Anugerah itu sebagai ucapan terima kasih kepada organisasi, individu yang berjuang dan memberi komitmen mampan terhadap komuniti paling terjejas disebabkan HIV/AIDS,” katanya.

Pada masa sama, ia bagi memberi impak yang positif terhadap komuniti yang terjejas dan terkesan disebabkan HIV/AIDS.

Sementara itu, Pengurus Besar Hilton Malaysia, Jamie Mead, berkata rantaian hotel itu sentiasa komited menyokong usaha dilakukan YAM dalam menangani isu berkaitan HIV/AIDS di negara ini.

Bantu komuniti terpinggir

Beliau berkata, pihaknya sudah lama bekerjasama dengan YAM dan berbangga menjadi sebahagian daripada badan korporat yang memberi sokongan untuk menghapuskan isu AIDS di Malaysia.

“Kami berharap hubungan baik dengan YAM ini akan terus berkembang dan sumbangan kami memberi makna yang besar dalam membantu golongan komuniti yang terpinggir,” katanya.

Beliau berkata, Anugerah Tun Dr Siti Hasmah akan diadakan, pada satu majlis makan malam gala yang sebelum ini dikenali sebagai Gala Reben Merah di Hilton Kuala Lumpur, pada 16 Disember depan.

Majlis eksklusif ini bertujuan mengumpul dana menerusi penjualan meja, penajaan korporat dan sesi lelongan barang eksklusif.

Dana yang dikumpul menerusi majlis makan malam gala akan disalurkan ke tabung Yayasan AIDS Malaysia untuk rawatan, penjagaan dan program sokong bantu terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Pada majlis itu turut diadakan perbincangan mengenai senario HIV/AIDS di negara ini, selain tetamu akan dihiburkan dengan persembahan artis popular, Dayang Nurfaizah.

Info

Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Pencalonan dibuka sehingga 25 Oktober 2018.

Borang pencalonan boleh didapati di laman web dan rangkaian media sosial YAM atau Majlis AIDS Malaysia.

Juga diadakan jualan meja.

Berita Harian X