Selasa, 23 Oktober 2018 | 10:33am
DR Siti Wira (tiga dari kiri) bersama pasukan yang terbabit dalam operasi Te Auraki untuk membawa pulang mayat warga New Zealand.

Lali bedah siasat pelbagai rupa mayat

KUALA LUMPUR: “Jangan cakap besar,” itu yang sentiasa diingati apabila ada bertanya mengenai perasaan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siti Wira Md Yaro, sama ada pernah berhadapan benda pelik setiap kali menjalankan tugas membedah siasat mayat.

Dr Siti Wira, 39, berkata beliau sudah lali dengan soalan itu, sebaliknya bersyukur dan sentiasa bersiap sedia dari segi mental untuk berdepan dengan apa sahaja rupa mayat yang datang.

Beliau mengakui sejak dulu mengamalkan membaca ayat tiga Qul setiap kali menghadapi kes yang dianggap pelik atau mencabar dan berharap semuanya berjalan lancar.

“Awal kerjaya dahulu memang tidak dinafikan rasa gemuruh, tetapi sebagai doktor tanpa mengira bidang, kita perlu kuat dan tabah menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya kepada BH.

Kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun, setakat ini beliau belum pernah mengalami sebarang gangguan usai tugasan diberikan.

Pengalaman mencabar

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini berkata, pengalaman paling mencabar apabila membantu pakar senior menjalankan bedah siasat ke atas mayat seorang wanita dipercayai warga asing yang anggota badannya dikerat beberapa bahagian dan disumbat ke dalam sebuah beg.

Selepas mayat berkenaan diperiksa dan setiap butiran direkodkan, bahagian anggota itu cuba dicantumkan dengan sebaiknya.

“Sepanjang kerjaya ini itulah keadaan mayat yang paling menge-rikan pernah saya lihat. Ketika itu saya hanya membantu doktor senior yang lebih pakar.

“Anggotanya terpisah selepas dipotong, tetapi sudah tidak banyak darah lagi ketika ia dibawa ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat.

“Sebelum ini, kebanyakan mayat yang diterimanya dalam bentuk sempurna atau paling ngeri pun mayat patah riuk akibat jatuh dari bangunan,” kata beliau yang mula menjalankan tugas sebagai Pegawai Perubatan Forensik pada 2011, di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Dr Siti Wira berkata, antara pengalaman sepanjang menjadi doktor forensik, beliau pernah terpilih menyertai Operasi Te Auraki untuk mengenal pasti 27 mayat warga New Zealand yang disemadikan di negara ini sejak 63 tahun lalu.

Operasi dengan New Zealand

Operasi itu adalah kerjasama kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan New Zealand untuk membawa pulang rangka anggota Tentera New Zealand dan seorang kanak-kanak yang dikebumikan di negara ini, antara 1955 hingga 1971.

Ia membabitkan pakar tempatan dan New Zealand, termasuk pakar antropologi, forensik patologi, radiologi, arkeologi dan forensik odontologi dari dua negara.

“Saya berasa bangga kerana kali pertama menyertai operasi seperti ini, selain berpeluang mencari pengalaman bekerja dengan pakar forensik dari New Zealand.

“Mayat digali dari tiga lokasi, iaitu di Perkuburan Perang Tentera Kem Terendak, Melaka, Perkuburan Perang Komanwel di Cheras dan Perkuburan Kristian Kamunting. Ini antara tugas kami dan tak kisah menghadap tulang manusia untuk dianalisis,” katanya.

Katanya, mayat digali dikenal pasti dan dianalisis, kemudian hasil analisis dibandingkan sama ada sepadan dengan rekod semasa hidup (antemortem).

Dr Siti Wira berkata, bedah siasat pada mayat bukan sahaja untuk mengetahui punca kematian, tetapi membantu mengesahkan identiti si mati, menganggarkan jangka masa kematian, merekodkan kecederaan pada tubuh, menganalisis jenis kecederaan dan memberi pendapat apakah senjata yang menyebabkan kecederaan.

Semua maklumat berkenaan penting untuk membantu penyiasat kes bagi mendapatkan bahan bukti, khususnya jika membabitkan kes jenayah.

Keputusan makmal bedah siasat itu juga boleh membantu individu yang masih hidup sebagai contoh, sekiranya mayat disyaki ada dijangkiti tibi, sampel akan diambil untuk mengesahkan punca kematian akibat penyakit terbabit.

Perkara itu akan dimaklumkan kepada inspektor kesihatan bagi membolehkan ahli keluarga lain menjalani pemeriksaan saringan tibi sebelum rawatan diberikan.

Latihan kepada pelajar

“Bedah siasat juga adalah satu proses pembelajaran yang membolehkan pakar forensik, pegawai perubatan serta pelajar perubatan mempelajari penyakit yang ada di dalam tubuh.

“Antara sebab bedah siasat dijalankan untuk memulihkan keadaan si mati. Sebagai contoh, koyak yang besar atau muka remuk, akan cuba diperbetulkan semula sebelum mayat diserahkan kepada waris bagi mengelakkan waris mengalami trauma,” katanya.

Tugas Dr Siti Wira bukan saja terhad kepada bedah siasat mayat, tetapi juga bertanggung jawab memberikan latihan kepada pelajar perubatan dari pelbagai institut pengajian swasta, kerajaan, doktor dalam program Sarjana Patologi dan pegawai perubatan siswazah.

Mereka akan memerhatikan bedah siasat, membantu atau menjalankan bedah siasat di bawah pemantauan pakar forensik.

“Latihan juga dijalankan ke atas pelatih polis, termasuk kadet sarjan atau inspektor yang mana bakal ditugaskan untuk mengendalikan kes bedah siasat,” katanya.

Info

BEDAH SIASAT

1. Klinikal

Bukan di bawah siasatan polisContoh: Kes mati di dalam wad dan doktor yang merawat tidak dapat sahkan penyakit.

Memerlukan kebenaran waris.

2. Medico-legal forensik

Membabitkan kes di bawah siasatan polis, contoh: Kemalangan seperti mati lemas, terjatuh, bunuh diri, bunuh atau mati mengejut yang mencurigakan dan tidak tahu puncanya.

Memerlukan borang permintaan pemeriksaan mayat daripada polis atau majistret.

Tidak memerlukan kebenaran waris atas dasar peruntukan dan keperluan undang-undang.

18 dibaca
Berita Harian X