Isnin, 22 Oktober 2018 | 11:20am
PELUANG menyertai pameran perdagangan di peringkat global langkah terbaik usahawan wanita membina jaringan perniagaan lebih luas. - Foto hiasan

Usahawan wanita teroka pasaran global

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan nilai jualan syarikat di bawah Program Pembangunan Eksport Wanita (WEDP) yang diperkenalkan bagi meneroka pasaran global mampu mencecah RM10 juta, sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif MATRADE II, Sharimahton Mat Saleh, berkata 21 syarikat diterajui wanita dilahirkan di bawah WEDP sekali gus menunjukkan pencapaian yang baik dengan meraih nilai jualan eksport kira-kira RM 7.12 juta, sepanjang tahun lalu.

Katanya, sejak program itu diperkenalkan pada 2005, ia membuka peluang kepada usahawan wanita tempatan memperluaskan perniagaan produk dan perkhidmatan ke peringkat global.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, MATRADE berjaya membimbing dan memberi insentif kepada 130 syarikat daripada pelbagai sektor di bawah WEDP.

“Daripada jumlah itu, 109 syarikat sudah menamatkan program, manakala 21 syarikat lagi masih dalam tempoh bimbingan. Sektor berkaitan minyak dan gas serta barangan farmasi adalah sektor yang memberi impak tinggi kepada mereka.

“Bagi terus membantu usahawan wanita meluaskan empayar perniagaan, mereka mengeksport produk dan perkhidmatan serta menerokai pasaran antarabangsa.

“MATRADE berharap lebih banyak syarikat dimiliki wanita mendaftar di bawah agensi ini bagi memudahkan mereka menyertai beberapa program latihan lain yang disediakan,” katanya kepada

Sharimahton berkata, MATRADE mempunyai peruntukan terhad menerusi WEDP menyebabkan
jumlah ambilan syarikat dilakukan Jawatankuasa Pemilihan yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan bimbingan terbatas.

Bagaimanapun, MATRADE turun padang mengadakan pelbagai program seperti pameran, seminar, bengkel dan kemudahan teknologi maklumat (IT) serta media sosial di seluruh negara sebagai usaha mencari syarikat berpotensi.

“Syarikat terpilih diberi bimbingan menerusi pelbagai seminar dan bengkel selama tiga tahun. Kita dedahkan maklumat dan pengetahuan mengenai dunia pengeksportan seperti persediaan praeksport, pensijilan dan piawaian, aliran pasaran, label dan pembungkusan, pembiayaan perdagangan serta skim insurans eksport.


MATRADE berjaya membimbing dan memberi insentif kepada 130 syarikat daripada pelbagai sektor di bawah WEDP. - Foto Arkib

“Program itu bertujuan meningkatkan kepercayaan diri dan menghadapi pesaing usahawan tempatan dan asing,” katanya.

Syarikat terpilih dalam WEDP berpeluang menyertai pameran perdagangan antarabangsa, misi galakan eksport ke negara dikenal pasti bersesuaian dengan produk dikeluarkan atau perkhidmatan ditawarkan.

Bersama misi membawa syarikat tempatan ke arena global, MATRADE menyediakan banyak saluran dalam promosi mahupun pembangunan eksport dengan menyediakan platform seperti menyertai aktiviti disediakan.

Beliau berkata, selain WEDP, antara platform utama dalam pengeksportan yang disediakan MATRADE ialah Going Export (Go-Ex, iaitu perusahaan industri kecil sederhana (PKS) mengeksport produk ke luar negara, e-Trade meningkatkan jualan dalam talian melalui e-market places dan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) syarikat milik wanita serta program Mid-Tere.

“Dianggarkan lebih kurang 25 peratus syarikat wanita menyertai program yang disediakan MATRADE. Kita mengharapkan jumlah itu terus meningkat dan menggalakkan wanita mengambil kesempatan dengan program disediakan.

“Walaupun jumlah ada peningkatan, masih banyak lagi syarikat tempatan milik wanita tidak memanfaatkan program yang MATRADE itu.

“Kita mahu lebih ramai wanita mendaftarkan syarikat di MATRADE yang diberi percuma bagi memudahkan mengikuti program latihan, selain bantuan mendapatkan dana dan geran untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global,”katanya.

Beliau berkata, banyak syarikat perbankan yakin dengan wanita kerana mereka lebih berdaya saing dan bertanggungjawab, termasuk membayar hutang perniagaan.

Katanya, lebih 40 program diadakan MATRADE setiap tahun berbentuk pameran perdagangan, misi akselarasi eksport dan penyumberan antarabangsa (bawa pengimport luar negara berjumpa dengan syarikat tempatan).

Untuk program pembangunan, lima pejabat MATRADE beroperasi di seluruh negara mengadakan seminar dan latihan untuk menggalakkan penyertaan wanita.

Berita Harian X