Isnin, 3 September 2018 | 12:29pm
SEBAHAGIAN daripada peserta bergambar selepas berjaya menamatkan larian menerusi Fat Boys Run di Taman Botani. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Operasi Fat Boys, Mohamed Zahid Yon (kanan) bersama Pengarah Urusan Columbia Asia Hospital Puchong, Intan Mahzalinda Abdullah (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama kategori wanita, Inayah Shahidan (dua dari kiri) menerusi Fat Boys Run di Taman Botani. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sahut cabaran kuruskan badan

KUALA LUMPUR: Untuk julung kalinya 500 peserta yang memiliki berat badan antara 90 hingga 150 kilogram (kg) menyertai larian Fat Boys Run 2018 sebagai menyahut cabaran menurunkan berat badan dan mengubah cara hidup sihat, di Taman Botani Perdana, dekat sini, semalam.

Semua peserta 287 lelaki dan 111 wanita termasuk selebriti terkenal, Abam Bocey dan Angah Raja Lawak menamatkan cabaran itu walaupun ada yang hampir putus asa menamatkan larian.

Ketua Pegawai Operasi Fat Boys, Mohamed Zahid Yon, berkata penganjuran kali pertama di negara ini memberi peluang peserta menyahut cabaran dan motivasi untuk berubah mengamalkan gaya hidup sihat.

“Semua orang berbadan besar mahu berubah demi kesihatan, tapi kami faham tidak semua mampu melawan cabaran dan mendisiplinkan diri.

“Apabila mereka senasib berada di tempat sama, keyakinan dan semangat itu lebih kuat untuk memulakan perubahan, yang kita mahu dengan peserta terakhir menamatkan dalam tempoh satu jam lima minit,” katanya ditemui selepas larian Fat Boys Run 2018, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Hospital Columbia Asia Puchong, Intan Mahzalinda Abdullah dan selebriti tanah air seperti Daphne Iking dan Rahim Sepahtu.

Mohamed Zahid berkata, penganjuran larian membabitkan peserta yang berbadan itu memperlihatkan komitmen padu daripada semua peserta yang sanggup bangun seawal pagi untuk menyahut cabaran berkenaan.

“Penyertaan ini amat mengejutkan dan kami tidak menyangka semua peserta berjaya menamatkan larian dengan semangat walaupun ada beberapa peserta hampir berputus asa kerana kepenatan.

“Namun habuannya, semua peserta yang berdaftar untuk larian ini mendapat perkhidmatan percuma penggunaan gimnasium untuk lapan hari yang ditaja oleh Fitness First.

“Sebelum itu, mereka juga sudah mendapat perkhidmatan ujian kesihatan percuma yang ditaja oleh Hospital Columbia Asia, Puchong.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, pihaknya mengambil keputusan untuk menganjurkan acara sama pada tahun depan bagi memberi peluang lebih ramai menyertainya.

Sementara itu, peserta wanita, Nor Inayah Shahidan, 28, yang memenangi tempat pertama bagi kategori Terbuka Wanita 100 kg bagi acara itu, memuji inisiatif penganjur mengadakan acara ini. khusus untuk peserta melebihi 90 kg.


SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Fat Boys Run di Taman Botani. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Katanya, program itu dapat menggalakkan peserta berbadan besar menyertai tanpa rasa malu dan memberi semangat mereka untuk menurunkan berat badan.

Melihat gambar lima tahun lalu ketika masih menuntut menjadi motivasi paling kuat melakukan perubahan demi kesihatan.

“Awal tahun lalu saya terjumpa kembali gambar lama ketika masih belajar dan ia menjadi semangat untuk saya berubah memandangkan badan saya naik selepas menamatkan pengajian beberapa tahun lalu.

“Ketika itu berat badan hanya 75 kg dan meningkat kepada 110 kg hingga awal tahun lalu.

“Jarang mengambil tahu pasal berat badan tetapi selepas semakin sudah nak berjalan dan bergerak, saya perlu lakukan sesuatu elak penyakit kritikal,” katanya.

33 dibaca
Berita Harian X