Selasa, 10 Julai 2018 | 10:12am
FOTO hiasan.

Undang-undang ketat wanita berani buat laporan

KUALA LUMPUR: Keyakinan terhadap perlindungan undang-undang yang ketat menggalakkan mangsa keganasan rumah tangga membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pegawai Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Tan Heang-Lee, berkata, senario itu menunjukkan perkembangan positif dan memperlihatkan tahap kesedaran dan memahami hak mereka yang perlu dilindungi semakin tinggi.

Katanya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 5,796 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2016, manakala 2010 mencatatkan 3,173 kes.

"WAO dan kumpulan wanita lain sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha meningkatkan perlindungan terutama kepada mangsa. Ini terbukti melalui pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga, pada 2017.

"Ramai mangsa keganasan rumah tangga kini semakin berani membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan pembelaan, sejak kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberikan perkhidmatan kaunseling, rumah perlindungan dan sokongan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan.

"Menerusi perkhidmatan itu, menunjukkan sokongan kita terhadap wanita dan kanak-kanak mereka membina kehidupan semula selepas mengharungi keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan dan keganasan lain," katanya.

Berita Harian X