Jumaat, 22 Disember 2017 | 12:39am
TIMBALAN Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (lima, kanan) bersama Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua, kanan) dan Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita Malaysia Berhad (KOWIMA) Tan Sri Dr. Siti Zahrah Sulaiman (tiga, kiri) bergambar bersama para peserta selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Desa Antarabangsa di sebuah hotel malam ini. - Foto BERNAMA

Wanita mampu perkasa sektor koperasi

KUALA LUMPUR: Pembabitan aktif wanita dalam gerakan koperasi penting bagi memastikan sektor itu terus berdaya saing.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata peranan wanita mampu memberi impak besar serta melonjak sektor koperasi negara untuk sama-sama menyumbang kepada pendapatan negara.

Katanya, 40 peratus daripada lapan juta ahli koperasi adalah wanita. Mereka adalah pengguna dan tenaga kerja utama sektor koperasi.

"Bagaimanapun, di peringkat kepimpinan koperasi, pembabitan wanita hanya dua peratus, justeru ia masih perlu diperkasa," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada sambutan Hari Wanita Desa Antarabangsa 2017 dan pelancaran Konsortium Koperasi Wanita Malaysia Bhd (KOWIMA) di sini, malam ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

KOWIMA adalah gabungan koperasi wanita, koperasi ibu tunggal dan koperasi kaum ibu seluruh negara.

Abdul Fattah berkata, hingga Disember 2016 ada 246 koperasi wanita berdaftar, yang mana 177 dengan keanggotaan lebih 31,000 bernaung dengan ANGKASA.

27 dibaca
Berita Harian X