Sabtu, 9 November 2019 | 1:03pm

Kerusi keselamatan kurangkan risiko kematian bayi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) penting bagi memastikan penumpang kecil berada dalam keadaan selamat sepanjang tempoh pemanduan.

Kerusi ini juga berfungsi melindungi anak daripada mengalami kecederaan parah jika berlaku kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Mohd Nasri Ishak, berkata berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sejumlah 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak pada usia 10 tahun sepanjang tempoh 10 tahun bermula 2007.

Beliau berkata, laporan bersamaan kehilangan satu nyawa bagi setiap 84 minit disebabkan nahas jalan raya, keadaan lebih kritikal kerana anak kecil ini berdepan risiko kematian kesan kemalangan.

“Justeru, Child Restraint System (CSR) atau kerusi keselamatan kanak-kanak, melindungi mereka daripada kecederaan parah. Kemudahan ini melindungi kanak-kanak di dalam kenderaan ketika berlakunya pelanggaran.

“Penggunaan CRS di negara maju berjaya mengurangkan impak pelanggaran, seterusnya mengelakkan kecederaan parah serta kematian,” katanya dalam kenyataan kepada BH.

Peruntukan sedia ada menerusi Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerajaan menguatkuasakan peraturan penggunaan tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang sejak 1 Januari 2009.

Sebelum ini, kerajaan memberi tempoh tiga tahun (1 Januari hingga 31 Disember 2011) kepada kenderaan didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 untuk memasang tali pinggang keledar pada tempat duduk belakang. Mulai Januari 2020, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak diwajibkan.

Mohd Nasri berkata, MIROS menetapkan kedudukan CRS diletak di hadapan dan belakang mengikut jenis kerusi serta kategori kumpulan,

Beliau berkata, kanak-kanak berusia 0 hingga 18 bulan dikategorikan dalam Kumpulan 0/0+, kerusi CSR dipasang perlu menghadap ke belakang.

“Bagi kumpulan ini, berat kanak-kanak sekurang-kurangnya sembilan kilogram (kg), namun digalakkan sehingga 13kg pada ketinggian 83 sentimeter (sm).

“CRS tidak boleh diletakkan pada kerusi penumpang hadapan yang mempunyai beg udara aktif kerana beg berkenaan tidak boleh dimatikan fungsinya menggunakan suis.

“Bagaimanapun, keadaan dibolehkan jika tiada beg udara aktif atau boleh dimatikan suisnya. Pada kerusi ini mesti menggunakan tiga atau lima point harnes (tali pinggang keselamatan),” katanya.

Beliau berkata, CSR yang dipasang menghadap hadapan, beliau berkata kerusi keselamatan ini untuk kumpulan satu hingga tiga yang berusia 15 bulan hingga empat tahun ke atas dengan berat kanak-kanak sembilan hingga 18 kg serta ketinggian 71 sm.

“Bagi Kumpulan dua pula, kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun dengan berat dianggarkan 15 hingga 25 kg dan ketinggian 100 sm. Pemasangannya perlu pada tempat duduk yang mempunyai sokongan (booster).

“Sementara itu, Kumpulan tiga membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun ke atas pula disyorkan dengan berat sekitar 25 hingga 36kg, ketinggian 135cm dan perlu tempat duduk mempunyai sokongan (booster).

“Pemasangannya digalakkan pada kerusi penumpang belakang, jika diletakkan pada kerusi penumpang hadapan, hendaklah diselaraskan ke belakang iaitu kedudukan jauh daripada beg udara. Kerusi perlu menggunakan lima point harnes (tali pinggang keselamatan),” katanya.

Berita Harian X