Khamis, 31 Oktober 2019 | 5:22pm
Abd Shukur (tengah) dan Pengerusi Focus On The Family Malaysia (FOTFM), Lee Wee Min (dua dari kiri) memegang pelekat kempen Love Your Family! Drive Safer. Text Later.

LPPKN laksana kajian waktu berkualiti bersama keluarga

KUALA LUMPUR: Sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2019 bertemakan ‘Kitakan Keluarga’, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan tinjauan pendapat berkaitan hubungan kekeluargaan dan pembabitan mereka dalam komuniti.

Responden adalah warga negara berumur 18 tahun dan ke atas dijemput menjawab soalan secara dalam talian menerusi pautan disediakan pada laman sesawang LPPKN.

Soalan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu A: Sambutan bulan keluarga untuk mengetahui kesedaran orang ramai mengenai kewujudannya.

Bahagian B pula mengenai hubungan kekeluargaan, berkaitan anggaran jam setiap individu meluangkan masa bersama ahli keluarga masing-masing.

Soalan berkaitan lain iaitu aktiviti utama gemar dilakukan bersama keluarga pada masa lapang, ini untuk melihat sama ada responden merasakan adakah waktu diluangkan bersama keluarga mencukupi.


Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah (tengah) bergambar bersama kakitangan LPPKN dan jawatankuasa Focus On The Family Malaysia selepas melancarkan kempen.

Antaranya adakah mereka sekeluarga makan bersama sekurang-kurangnya sekali seminggu, meraikan hari istimewa bersama seperti ulang tahun kelahiran selain berbincang membuat sesuatu keputusan berkaitan keluarga.

Bahagian C pula responden ditanya mengenai keluarga dan pembabitan mereka dalam komuniti. Adakah mereka menyertai aktiviti dianjurkan di kawasan kejiranan dalam tempoh tiga bulan lalu.

Responden juga boleh menyatakan maklum balas mengenai tahap hubungan sesama ahli komuniti di kawasan tempat tinggal. Segala maklumat adalah sulit dan hanya dianalisis secara keseluruhan bagi tujuan penyediaan laporan saja.

Berita Harian X