Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:28am
Pengarah Pusat Pengembangan Gender, Anak dan Keluarga Universiti Andalas Indonesia, Dr Jendrius memberi syarahan bertajuk Perubahan Pola Relasi Gender dalam Keluarga Minangkabau dalam segmen Bicara Wanita Cemerlang di Universiti Kebangsaan Malaysia. - NSTP/Supian Ahmad

Adat Pepatih didik wanita tidak bergantung kepada suami

BANGI: Adat Perpatih yang diamalkan masyarakat Minangkabau memberi tumpuan kepada usaha membela nasib wanita, khususnya dalam soal pembahagian harta pusaka.

Berbanding lelaki, bahagian harta pusaka yang diterima wanita lebih banyak, bagi memastikan kebajikan kaum hawa terpelihara dan tidak bergantung harap kepada orang lain, termasuk suami.

Memegang falsafah ‘Harta pusaka turun temurun kepada anak. Tiada anak waris ikrab. Tiada waris ikrab waris bersanak. Tiada waris bersanak terpulang kepada suku’, menjadi pegangan dalam soal pembahagian harta.

Profesor Dr Norasmah Osman dari Fakulti Pendidikan Bidang Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia. - NSTP/Supian Ahmad

Pensyarah Fakulti Pendidikan Bidang Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Norasmah Othman, berkata pembahagian harta mengikut adat berkenaan, lebih menguntungkan wanita.

Katanya, bagi harta sepencarian suami isteri semasa hidup bersama pula, apabila berlaku perceraian harta berkenaan akan dibahagi sama rata.

Harta memihak kepada wanita

“Ini jelas memberi kesaksamaan, begitu juga waris yang berhak mendapat pembahagian harta pusaka lebih memihak kepada wanita.

“Sebagai contoh, jika anak perempuan si mati hanya seorang, maka semua harta pusaka akan dimiliki olehnya,” katanya kepada BH

Beliau ditemui pada Bicara Wanita Cemerlang, Perubahan Pola Relasi Gender Dalam Keluarga Minangkabau oleh Direktur Pusat Pemgembangan Gender, Anak & Keluarga, Universitas Andalas, Indonesia, Dr Jendrius M Si yang dianjurkan Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim UKM, Prof Madya Dr Khadijah Alavi.

Prof Dr Norasmah berkata, adat berkenaan masih relevan. Bagaimanapun pada masa kini, ramai memilih mewariskan harta pusaka menerusi konsep hibah.

“Adat ini ada manfaatnya terutama kepada wanita dan sekurang-kurangnya tanah adat tidak terjual kepada bangsa lain.

Warisi rumah gadang

“Saya sendiri mewarisi rumah gadang (rumah utama) kini terbiar kosong kerana tidak boleh dijual. Malah banyak rumah di tanah adat terbiar kerana pewaris sudah keluar dari kampung dan diduduki warga asing,” katanya yang berasal dari suku Paya Kumboh.

Beliau berkata, hakikatnya penguatkuasaan atau amalan adat semakin diabaikan. Contohnya, pada majlis nikah kahwin, tiada lagi amalan bermula dengan adat merisik, bertunang dan perkahwinan.

Semua urusan dimudahkan, malah perkahwinan sesama suku yang ditegah dalam adat Perpatih tidak lagi ditanya kepada waris pasangan. Ada pasangan bernikah sama suku tetapi masih menduduki tanah adat.

“Amalan ini tidak dibenarkan sama sekali sebelum ini, malah pasangan akan diusir keluar daerah dan jauh sekali membuat rumah di tanah adat.

“Bagaimanapun, dari aspek pembahagian harta contohnya harta pusaka adat yang diwarisi turun temurun daripada ibu kepada anak perempuan atau saudara perempuan terdekat si mati masih diamalkan,” katanya.

Perkukuh Lembaga Adat

Katanya, sekiranya adat ini diteruskan, banyak penambahbaikan perlu dilakukan pihak Lembaga Adat yang perlu diperkukuhkan.

Peranan mereka perlu diperkemaskan dan penguatkuasaan terhadap adat perlu dibuat. Apa yang boleh dan tidak boleh perlu dikuatkuasakan tanpa mengira siapa. Malah pandangan serong masyarakat luar terhadap adat pepatih perlu dipulihkan dengan memberi pendedahan kepada masyarakat.

Dr Jendrius M Si, berkata peranan wanita besar dalam keluarga Minangkabau sehingga ke hari ini bukan saja ibu tetapi termasuk ibu saudara.

“Wanita tidak tunduk pada suami tetapi suami juga tidak tunduk pada isteri. Selepas bernikah, lelaki akan tinggal di rumah isteri atau bina rumah untuk isteri.

“Di Sumatera Barat, dominasi ibu masih belum kurang sehingga ke hari ini, malah menjadi pembuat keputusan dalam semua urusan terutama dalam hal anak dan cucu. Suara mereka diwakilkan kepada lelaki yang menjadi penghulu dan bertanggung jawab menjaga anak buahnya,” katanya.

Katanya apa yang menarik, dalam masyarakat yang mengamalkan adat ini adalah tiada wanita teraniaya oleh suami termasuk kes keganasan rumah tangga.

Berita Harian X