Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:02am
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Aini Ideris (empat kanan) dan Presiden Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA), Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman (empat kiri) menandatangani surat Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan disaksikan Penaung RDA, Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah (tengah) di Royal Selangor Polo Club, Ampang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Aini Ideris di majlis menandatangani surat Perjanjian Persefahaman (MOU) diantara Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) dan University Putra Malaysia (UPM) di Royal Selangor Polo Club, Ampang. - Foto Zunnur Al Shafiq

UPM tawar khidmat terapi berkuda pulih anak istimewa

KUALA LUMPUR: Sekumpulan sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) sedia menyalurkan khidmat kepada Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA), bertujuan membantu anak berkeperluan khas menjalani proses pemulihan.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris, berkata usaha murni itu diterjemahkan menerusi Kelab Ekuestrian Putra UPM disertai 15 hingga 20 ahlinya.

Beliau berkata, pihaknya sedia menyumbangkan kemahiran dengan bertindak sebagai pengemudi kuda, pembantu pengemudi dan khidmat kejurulatihan kepada persatuan berkenaan.

Katanya, terapi berkuda yang diterapkan kepada orang kurang upaya (OKU) memberi perkembangan positif kepada proses pertumbuhan anak istimewa sebagai sebahagian terapi menyembuhkan pelbagai penyakit.

“Saya percaya sukarelawan ini pasti dapat berkongsi kepakaran selain menambah baik elemen penyelidikan universiti dan memperkasakan kemahiran insaniah penuntut menyumbang dalam pembangunan komuniti.

“Terapi berkuda di negara ini dimulakan RDA sejak 1984 dengan keseluruhan anggota dalam kalangan sukarelawan.

“Justeru sebagai universiti penyelidikan, kita berharap usaha ini membantu lebih ramai kanak-kanak palsi serebrum, autisme, sindrom down dan lambat perkembangan dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Presiden RDA, Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman dengan disaksikan penaung RDA, Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah di Royal Selangor Polo Club, di Ampang, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo dan Setiausaha Kehormat RDA, Johari Lee.

Aini berkata, cadangan membangunkan program UPM-RDA dalam memperkasakan aktiviti terapi berkuda itu adalah hasil inisiatif awal pensyarah Fakulti Perubatan Veterinarnya, Dr Nurul Hayah Khairuddin.

“Kita berharap jalinan kerjasama ini memberi peluang kepada pelajar UPM menyumbang kepakaran dan pengetahuan dengan mempelajari teknik terapi berkuda seterusnya menjadi kumpulan sokongan kepada insan istimewa pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kita melihat kerjasama berkenaan membuka ruang penyelidikan mengenai terapi berkuda di negara ini dan memartabatkan terapi alternatif khusus kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini,” katanya.

194 dibaca
Berita Harian X