Isnin, 29 Julai 2019 | 11:33am
Penguncupan jumlah penduduk Malaysia dijangkakan berlaku pada 2072 dengan kira-kira 46.08 juta orang berbanding tahun sebelumnya 49.09. - Foto hiasan

Kejar kerjaya punca generasi muda lewat berkeluarga

KUALA LUMPUR: Biarpun generasi muda kini berhasrat mempunyai lebih daripada seorang anak, namun keinginan mereka itu tersekat atas pelbagai kekangan.

Ini berikutan masalah kewangan selain lambat berkahwin, isu kesuburan terjejas, mengejar kerjaya selain belum bertemu jodoh.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairil Fadzly Md Akir, antara cabaran generasi muda hari ini dalam usaha mereka membina keluarga yang semakin mencabar kini.

Beliau berkata, perkara itu seperti dilaporkan menerusi Kajian Penduduk dan Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014, kira-kira 65 peratus pasangan menginginkan empat anak berbanding kemampuan kewangan membolehkan dua hingga tiga anak.

Katanya, laporan mendapati lelaki cenderung mengakhiri status solo pada usia 29 tahun berbanding 27 tahun, manakala gadis pula daripada 24 tahun kepada 27 tahun jika dibandingkan antara 1980-an pada 2014.

“Apabila pasangan lewat berkahwin, mereka memilih usia penghujung 20-an untuk menamatkan zaman bujang berbanding sekitar 1980-an yang cenderung memulakan keluarga pada usia awal 20-an.

“Kelewatan ini memberi implikasi memendekkan tempoh kesuburan pasangan, selain menjejaskan keupayaan beranak ramai selain ramai tidak bersedia dari segi kewangan berikutan kos sara hidup tinggi di bandar.

“Faktor kesuburan mencatatkan kira-kira 37 peratus wanita di negara menghadapi masalah untuk hamil meskipun aktif mencuba sekurang-kurang sepanjang tempoh setahun,” katanya.

Populasi menguncup

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Cabaran Utama Kependudukan Di Malaysia dan Pelancaran Buku Analisis Situasi Kependudukan Dan Kekeluargaan Di Malaysia sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2019, di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hannah (tengah) hadir pada Seminar Cabaran Utama Kependudukan Di Malaysia dan Pelancaran Buku Analisis Situasi Kependudukan Dan Kekeluargaan Di Malaysia sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2019, di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hairil Fadzly mendedahkan perkara itu ketika membentangkan laporan Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan Malaysia hasil tiga siri terperinci Kajian Pelan Strategik Kependudukan antara tahun 1992, 2009 dan 2017.

Siri kajian berkenaan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Dasar 70 Juta Penduduk yang digubal pada 1984, bagaimanapun unjurannya menunjukkan negara hanya berupaya mencapai 46.09 juta orang pada 2071, sebelum menguncup kepada 46.08 juta orang pada 2072.

Memetik laporan itu, Malaysia penguncupan jumlah penduduk negara ini yang dijangkakan berlaku pada 2072 dengan kira-kira 46.08 juta orang berbanding tahun sebelumnya 49.09.

Ia memberikan kesan antaranya menyebabkan penurunan kesuburan yang mempercepatkan proses penuaan negara, penguncupan penduduk pada 2072 dan status negara tua 2030.

Laporan mendapati pendapatan perkapita negara tidak mencukupi, penguncupan tenaga buruh, selain memerlukan produktiviti tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi selepas 2027 dan intervensi menghentikan penurunan kadar kesuburan.

“Tujuh faktor ini disenaraikan sebagai cabaran utama kependudukan yang dikenal pasti dan strategi kerajaan dalam mengukuhkan kembali perancangan dan pelaksanaan program.

Kesuburan wanita menurun

Katanya, cabaran itu saling berkait rapat terutama apabila kadar kesuburan wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun pada 2016 iaitu dalam tempoh 36 tahun lalu menurun dua kali ganda daripada empat kepada dua anak (1.9 anak),

“Penurunan kadar kelahiran secara langsung memperlihatkan kira-kira 15 peratus daripada bilangan penduduk yang ada bakal mencapai umur 60 tahun dan ke atas pada tahun 2030 nanti,” katanya.

Katanya, keadaan itu jika tidak diatasi pastinya memberi kesan kepada institusi kekeluargaan di antaranya menjejaskan kemampuan memiliki ramai anak, harga kediaman tinggi, peningkatan bilangan keluarga komuter, sumber sokongan sosial terhad dan pengangguran kalangan remaja.

Sebelum ini, Hannah berkata, negara akan mengalami penguncupan pada 2072, biarpun pada 2017 merekodkan jumlah penduduk 46.09 juta kepada 46.08 juta orang.

Berdasarkan Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan di Malaysia, keadaan itu berlaku jika kadar kesuburan terus menurun berbanding kadar semasa iaitu sehingga 1.7 anak untuk dekad akan datang dan tiada intervensi diambil bagi menangani keadaan itu.

Katanya, situasi itu akan menyumbang kepada kekurangan sumber tenaga kerja yang semakin serius pada generasi akan datang sehingga menjejaskan pembangunan negara.

Berita Harian X