Selasa, 23 Julai 2019 | 4:10pm
Dr Ruztini bersama kanak-kanak pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

Tangisan bayi ubati rindu anak di tanah air

KUALA LUMPUR: Ucapan terima kasih daripada ibu Rohingya bersama ahli keluarga ketika discaj selepas melahirkan, menyuntik semangat Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Lt Kol (Dr) Ruztini Jenal, terus menyumbang bakti di kem pelarian Cox Bazaar, Bangladesh.

Tangisan bayi yang dilahirkan dan senyuman kegembiraan ibu selamat melahirkan menjadi pengubat rindu kepada dua anaknya di tanah air.

Dr Ruztini, 36, mula bertugas di Cox Bazaar pada Jun lalu di bawah Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera bersama seorang jururawat kebidanan dan seorang lagi jururawat masyarakat selama tiga bulan.

“Ini kali pertama saya berjauhan dengan anak-anak untuk tempoh lama. Anak sulung memang rapat dengan saya dan anak bongsu pula berusia 18 bulan ketika itu masih menyusu badan.

“Tugas saya kali ini memberi kesan pada anak-anak yang pastinya sedih menjalani hari tanpa ketiadaan ibu mereka.

“Sokongan suami dan keluarga menguatkan semangat untuk merebut peluang menabur bakti dan menyumbang kepakaran kepada bangsa Rohingya,” katanya.

Dr Ruztini berkata, beliau akan memastikan membuat panggilan video setiap hari bila saja ada kesempatan untuk melepaskan rindu pada anak-anak dan suami.

Beliau dijangka berada di kem berkenaan selama tiga bulan dan ini bermakna hari raya korban tahun ini disambut tanpa keluarga di sisi.

Bagaimanapun, bagi doktor muda ini, bertugas di kem berkenaan itu sendiri membawa erti pengorbanan sebenar.

Dr Ruztini menyambut kelahiran bayi di Kem Cox Bazaar, Bangladesh.

Sebelum ini beliau pernah bertugas untuk Misi Minurso, Sahara Barat di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selama enam bulan pada tahun 2009.

Bezanya, ketika itu beliau memberikan perkhidmatan kesihatan am bagi petugas dan tentera pemerhati yang berkhidmat dengan PBB.

Ketika menjejakkan kaki ke kem berkenaan, hatinya sayu melihat keadaan di hospital bersalin yang serba kekurangan dan ketinggalan.

“Di sini, saya perlu sentiasa bersiap sedia menerima kes kecemasan obstetrik seperti eklampsia atau Impending Eclampsia (Tekanan darah tinggi ketika mengandung), halangan semasa bersalin atau obstructed labour dan fetal distress.

“Bakal ibu di sini tidak mendapat pemeriksaan rapi dan berkala untuk kesihatan ibu dan bayi yang dikandung. Kebanyakan budaya mereka adalah melahirkan bayi di rumah. Sekiranya ada kompilasi, baru dirujuk ke klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Beliau bersyukur sepanjang bertugas selama sebulan, tiada kes kematian membabitkan ibu bersalin walaupun terdapat dua kes kematian di hospital berkenaan.

Katanya, di sini tiada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan ibu berjadual seperti yang diamalkan di Malaysia bagi memantau masalah ibu atau bayi dikandung dan seterusnya mengurangkan risiko termasuk kematian dalam kalangan ibu dan bayi.

Dr Ruztini menekankan kaedah perancang keluarga dalam kalangan wanita di sana bagi mengawal kadar kelahiran dan membantu kualiti kesihatan ibu serta anak untuk masa depan mereka.

“Masalah sini cuma kesukaran berkomunikasi, justeru, saya terpaksa mempelajari bahasa mereka dengan dibantu pengantara bahasa atau penterjemah.

“Dalam tempoh sebulan saya berjaya menuturkan perkataan atau arahan mudah seperti baring, duduk, teran, rehat, jangan lari, anak lelaki atau perempuan dan bilangan,” katanya.

Dalam tempoh seminggu beliau perlu bertugas selama lima hari dan dua kali panggilan aktif (Oncall) untuk seminggu selain hanya bercuti rehat selepas ‘oncall’.

Beliau berdoa supaya krisis dihadapi rakyat Rohingya menemui penyelesaiannya dan mereka mendapat hak serta bebas menikmati kehidupan lebih sempurna.

Kehadirannya di situ dianggap sebagai rahmat dan bersyukur diberikan peluang oleh Kementerian Pertahanan dan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera menyertai misi kemanusiaan ini.

Berita Harian X