Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:00am
NUR Wadihan.

Bangga miliki anak istimewa

KATA doktor, Nur Wadihan bayi ajaib kerana ‘hidup’ semula selepas diisytiharkan meninggal dunia secara klinikal sejurus selepas dilahirkan.

Anak kedua pasangan Wira Sudepja Rabu, 44, dan Nur Murni Dona Mohd Nordin, 45, itu dilahirkan tidak cukup bulan iaitu ketika lapan bulan dalam kandungan.

Ibunya, Nur Murni Dona pula mengalami komplikasi akibat gangguan uri (abruption placenta), iaitu uri tertanggal pada dinding bahagian dalam rahim sebelum Nur Wadihan dilahirkan dan terpaksa tinggal menjalani rawatan di wad rawatan rapi.

Gangguan uri itu menyebabkan bekalan oksigen kepada bayi berkurangan atau tersekat hingga menyebabkan ibu mengalami pendarahan serius.

Sepuluh minit selepas dilahirkan, Nur Wadihan tidak bernyawa tetapi doktor tidak berputus asa dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) yang akhirnya membuahkan hasil apabila jantungnya kembali berdenyut.

Bagaimanapun, Nur Wadihan terpaksa menggunakan alat bantuan nyawa untuk terus bertahan.

NUR Wadihan bersama ibunya, Nur Murni Dona.

Tindak balas positif

“Pada hari kedua, kata doktor, bayi kami itu seakan sudah kematian otak dan perlu bersedia dengan apa saja kemungkinan.

Saya perlu membuat keputusan sama ada mahu meneruskan penggunaan alat bantuan nyawa atau sebaliknya kerana Nur Wadihan tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” kata Wira.

Pasrah dengan ketentuan Ilahi, Wira dan Nur Murni Dona yang terpaksa keluar sebentar dari ICU, tetap terus membelai, membersihkan dan menyikat rambutnya sehinggalah selepas dua minggu, Nur Wadihan mula menunjukkan tindak balas positif malah sudah boleh menyusu.

Bagaimanapun, dunia mereka terasa gelap seketika apabila bayi dengan semangat juang tinggi itu mengalami Palsi Serebrum Quadriplegia (kedua tangan dan kedua kaki) iaitu gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang.

Tiga tahun pertama membesarkan Nur Wadihan cukup mencabar pasangan ini, apabila terpaksa berulang alik dan keluar masuk hospital.

Daya tahan Nur Wadihan rendah menyebabkan dia sering mengalami demam, selesema selain jangkitan paru-paru atau pneumonia dan tidak lagi dibawa keluar rumah demi kesihatannya.

Riadah satu jam seminggu

“Apabila usianya semakin meningkat, kami bawa Nur Wadihan keluar rumah sekejap bermula dengan sejam seminggu sehinggalah empat jam dengan bersiar-siar di tasik sekitar Putrajaya.

“Kami gembira apabila melihat Nur Wadihan ketawa setiap kali pengayuh basikal lain melintasinya dan bagi memberikan pengalaman lebih menyeronokkan, kami beli beca khas dari luar negara pada kos RM1,000 untuk disambung pada belakang basikal saya,” katanya.

Beca berkenaan diubah suai dan dilengkapi empat kipas menggunakan bank kuasa yang membuatkan Nur Wadihan selesa berada di dalamnya.

NUR Wadihan sekeluarga.

Hatinya sayu sehingga tanpa disedari menitik air mata apabila melihat anak syurganya itu berada di dalam kenderaan khas berkenaan selepas enam bulan berusaha mencarinya.

Wira dan Nur Murni Dona mula membawa Nur Wadihan menyertai aktiviti seperti KL Bebas Kenderaan sejak usianya tujuh tahun dan sejak itu, mereka aktif menyertai 100 acara berbasikal dan larian di seluruh negara.

Ogos 2018 mencatat kejayaan manis apabila bapa dan anak itu menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai ‘Gadis Cerebal Palsy Pertama’ mengambil bahagian dalam Acara Duathlon (menaiki wheel chair).

NUR Wadihan Wira Sudepja bersama ibu dan bapanya, Wira Sudepja Rabu dan Nur Murni Dona Mohd Nordin menyertai Acara Duathlon.

Berjaya tamatkan larian

Acara itu menyaksikan bapanya berlari sambil menolak Nur Wadihan sejauh lima kilometer (km), berbasikal sambil menyorong beca sejauh 32 km dengan berat keseluruhan 40 kilogram, berlari semula sejauh lima km dengan catatan masa tiga jam 34 minit.

“Kami berjaya menamatkan perlumbaan dan paling penting bukan pada kedudukan terakhir. Memang banyak cabaran ditempuhi termasuk terpaksa mendokong dan memujuk Nur Wadihan yang meragam selain berhenti seketika untuk menenangkannya.

“Selain kepuasan, saya bersyukur kerana menerusi aktiviti ini dapat menyampaikan maklumat kesedaran mengenai Palsi Serebrum kepada masyarakat terutama dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini,” katanya.

Bukan setakat kesedaran, Wira berjaya membuka mata ibu bapa lain untuk membawa anak mereka keluar bersama orang ramai menjalani pelbagai aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan kepada ibu bapa serta anak masing-masing.

NUR Wadihan dan bapanya menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai ‘Gadis Cerebal Palsy Pertama’ mengambil bahagian dalam acara Duathlon (menaiki kerusi roda).

Info

Apakah Palsi Serebrum:

- Gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan.

Punca:

- Disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang (semasa dalam kandungan).

Kadar penghidap:

- 1 sehingga 2 daripada 1,000 bayi

Risiko:

- Sering membabitkan bayi pramatang

- Bayi yang tidak cukup berat badan semasa lahir.

Rawatan:

- Tidak boleh disembuhkan

- Memerlukan terapi pemulihan

Berita Harian X