Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:36am
Pesakit perlu tekad melakukan rawatan yang sepatutnya sebelum sel kanser terus merebak. - Foto hiasan

Usah hirau jika suami ugut cerai jika isteri teruskan rawatan kanser

KUALA LUMPUR: Wanita yang didiagnosis barah payudara tidak perlu takut dengan ugutan suami yang ingin menceraikan mereka sekiranya dihalang melakukan rawatan pembedahan membuang bahagian terjejas.

Sebaliknya, pesakit perlu tekad melakukan rawatan yang sepatutnya sebelum sel kanser terus merebak hingga menyebabkan payudara menjadi lebih teruk hingga bernanah dan menjadi busuk.

Penaung Pink Ribbon Wellness (L) Foundation (PRWF), Puan Sri Maniseh Adam, berkata masih ada penghidap barah payudara bukan sahaja dari kawasan pedalaman, malah wanita yang menetap di bandar berdepan dilema melakukan rawatan membuang payudara berikutan bimbang ugutan suami.

Katanya, ada suami pesakit tidak mengizinkan isteri mereka membuat rawatan pembedahan terutama membuang tumor di bahagian payudara mereka.

Hal ini tidak seharusnya berlaku sebaliknya pesakit perlu kuat dan berjuang demi menjaga kesihatan diri serta masa depan mereka.


Puan Sri Maniseh Adam.

“Sekiranya mereka tidak melakukan rawatan tepat iaitu dengan buang tumor berkenaan kesannya menjadi lebih teruk. Payudara boleh menjadi busuk, berulat, malah bernanah berbulan-bulan. Keadaan seperti itu menyusahkan keluarga malah suami juga tidak mahu mendekati isteri.

“Lebih baik pesakit membuat rawatan terbaik dengan membuangnya. Selepas bersih daripada tumor itu. InsyaAllah mereka akan sihat dan boleh menjalani kehidupan tanpa perlu bersedih,” katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan jenama kecantikan baharu dari Jerman, Babor, di sini baru-baru ini.

Maniseh yang menghidap kanser payudara pada usia 68 berkata, sekiranya tumor tidak dibuang akan menyebabkan sel merebak sehingga mengakibatkan pesakit menderita.

Pesakit perlu merujuk pakar selain berkongsi pengalaman dengan pesakit lain yang sudah sembuh untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Usaha terima pandangan individu yang tidak pernah mengalaminya. Pengambilan ubat tidak tepat perlu elakkan kerana sistem badan setiap individu berbeza.

“Saya yang sudah berpengalaman melawan kanser sejak lapan tahun lalu, jangan sesekali mengambil ubat yang didakwa mengandungi khasiat semula jadi antaranya spirulina dan gingko kerana dikhuatiri menyebabkan kanser menjadi lebih parah.

“Pesakit perlu menjaga pemakanan dan mendapatkan rawatan tepat sebelum menular ke bahagian paru-paru dan hati sebelum memberi kesan lebih teruk ke bahagian otak,” katanya.

Beliau menasihatkan wanita yang didiagnosis kanser payudara bangkit dan kuat semangat menjalani kehidupan normal seperti orang lain malah jangan sekali-kali mengabaikan aspek penjagaan dan penampilan diri.

“Wanita perlu sentiasa tampil menarik dan bergaya kerana secara psikologi meningkatkan keyakinan diri dan mengelak kemurungan.

“Jauhi individu negatif kerana keadaan itu boleh melemahkan semangat pesakit,” katanya.

Bagi membantu memperkasakan wanita terutama dalam kalangan pesakit barah payudara menjalani kehidupan lebih baik, Maniseh berkata, pihak pengurusan produk penjagaan kulit jenama Babor mengambil inisiatif menganjurkan kutipan amal bagi membantu mereka memerlukan.

Beliau berkata, program ‘Beauty for a Cause’ dijadual berlangsung di Lot 10 pada 27 Julai ini, bertujuan memberi sokongan membangunkan PRWF.

“Acara berkenaan akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records bertujuan bagi mengumpul dana membantu PRWF menganjurkan pelbagai program berteraskan pendidikan dan kesedaran, kecantikan dan penampilan serta keyakinan diri membabitkan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Luxor Beauty World Sdn Bhd, Jeffrey Wong, berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai wanita menyokong usaha kebajikan berkenaan sekali gus membantu pesakit kanser menjalani kehidupan lebih produktif dan bermakna.

“Kecantikan sinonim dengan wanita. Pesakit juga berhak mendapat kehidupan normal seperti orang lain. Justeru, mereka perlu menjaga kecantikan dan penampilan diri supaya lebih yakin dengan diri sendiri.

“Wanita merangsang keyakinan serta keperibadian sempurna, justeru, kami menggalakkan mereka bercita-cita tinggi, lebih tegas dan berani dalam menjalani kehidupan seharian termasuk penjagaan kulit wajah,” katanya yang menyasarkan kutipan minimum RM20,000 untuk disumbangkan kepada yayasan itu.

664 dibaca
Berita Harian X