Isnin, 15 Julai 2019 | 8:52am
Mrs Malaysia International World 2019, Sharon Jasmin mahu mencapai misi membasmi isu buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja secara lebih serius. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Ratu cantik sasar misi banteras kes buli

KUALA LUMPUR: Mrs Malaysia International World 2019, Sharon Jasmin mahu mencapai misi membasmi isu buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja secara lebih serius.

Sharon, 45, dinobatkan sebagai pemenang bagi dua kategori lain iaitu Mrs Malaysia Advocacy Queen dan Mrs Supermodel atas pakej kecantikan luaran dan dalaman dimiliki selain usaha keras dan inisiatif membasmi kegiatan buli yang semakin meruncing.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia 10 hingga 13 tahun ini melihat dua anugerah dicapai menerusi acara kecantikan itu, platform terbaik untuk beliau terus berbakti dalam mengurangkan kes buli di negara ini dan menyebarkan nilai kasih sayang sesama manusia.

“Saya mempunyai dua anak perempuan. Sebagai ibu, sudah tentu saya tidak mahu anak bergelar pembuli atau membuli orang lain. Saya nampak isu buli semakin kritikal di negara ini membabitkan pelajar sekolah terutamanya.

“Saya fokus untuk memperjuangkan isu buli ini secara berterusan dengan memberi pendidikan kepada kanak-kanak kesan mengenai risiko buli ini kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sejak tahun lalu, beliau aktif menyertai badan bukan kerajaan (NGO), Buddy Not Bully di bawah Junior Chamber International (JCI), Bandar Klang, Selangor yang turut disertai 20 anak muda lain bagi memerangi gejala buli di sekolah kerajaan di sekitar Selangor.

Sepanjang pembabitannya, lebih 25 ceramah membabitkan buli sudah dijalankan untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar sekolah kesan buli kepada nilai manusia sejagat.

“Saya ditugaskan sebagai pengarah media dan jurucakap bagi JCI menerusi ceramah yang kami jalankan dengan kerjasama pihak sekolah. Ia dijalankan secara bergilir-gilir dalam menyampaikan ceramah kepada pelajar.

“Bagi tahun ini, kami mengorak langkah untuk melebarkan khidmat komuniti ini kepada pelajar kolej dan universiti supaya isu buli ini dapat dikurangkan sekali gus melahirkan masyarakat sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, buli adalah pelakuan yang perlu diberi perhatian serius kerana ia merosakkan institusi kemasyarakatan dan kesannya cukup besar kepada perkembangan kanak-kanak.

“Di sini, guru dan ibu-bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi isu ini secara holistik. Saya melihat buli sepatutnya dikekang di peringkat rumah lagi. Apabila lihat anak buli adik beradik, ibu bapa boleh menjadi role model mendidik dan menggunakan pendekatan berhemah supaya anak faham ia kelakuan tidak baik untuk diteruskan,” katanya.

Sementara itu, beliau kini dalam persiapan untuk mewakili negara dalam acara akhir Mrs International Global 2019, yang akan diadakan di Melaka, 28 Julai ini membabitkan penyertaan dari peserta ratu cantik dari 30 negara seluruh dunia.

Pertandingan itu, cetusan inspirasi penganjur sejak 2014 lalu, bagi mewujudkan platform untuk wanita yang sudah berkahwin dan menginjak usia mengekal dna membina keyakinan diri, pemikiran, kecantikan dan menzahirkan kecantikan dalaman mereka dengan sentuhan glamor.

Antara peserta yang mengambil bahagian terdiri dari negara Jepun, India, China, Mynmar dan Filipina.

“Persediaan saya lebih kepada bagaimana membentangkan kepada juri pandangan dan arah tuju saya membabitkan isu buli ini secara serius.

“Persediaan dari segi fizikal lebih kepada penjagaan kesihatan dan mengamalkan pemakanan seimbang dan ia sememangnya rutin harian sejak puluhan tahun dulu,” katanya.

Finalis akhir ratu cantik Malaysia 1993, ini berkata, wanita dan ibu, sokongan suami lebih menguatkan misi beliau menjadikan pertandingan kecantikan itu sebagai platform menggerakkan hasratnya mengurangkan pelakuan buli dalam kalangan pelajar sekolah, kolej dan universiti di negara ini lantas melahirkan masyarakat penyayang.

164 dibaca
Berita Harian X