Isnin, 24 Jun 2019 | 11:15am
Norish (empat dari kanan) bersama Abu Bakar Yusof serta barisan pereka fesyen dan peragawati pada majlis sidang media majlis pertunjukan fesyen Norish Kareem Fashion Week (NKFW) di MATRADE, baru-baru ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Salah seorang peragawati menggayakan salah satu sentuhan koleksi rekaan Norish Kareem di hadapan butik NKL di London.

Norish Kareem terokai pasaran fesyen global

KUALA LUMPUR: Pereka tempatan terutama wanita perlu yakin dan berani membuat keputusan mempamerkan kreativiti masing-masing sebagai persediaan menembusi pasaran global.

Pelopor fesyen tempatan yang terkenal dengan jenama Norish Kareem Couture, Norish Kareem, galakan itu dinyatakan berikutan peluang untuk pereka tempatan lebih luas memandangkan rekaan mereka mula diterima masyarakat antarabangsa.


Mimi Waheeda memberi penjelasan mengenai rekaan yang akan ditampilkan pada NKFW, September ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pihaknya menyediakan platform dengan menganjurkan pertunjukan fesyen khas untuk pereka tempatan sempena pertunjukan fesyen berprestij London Fesyen Week (LFW) yang dijadual berlangsung September ini.

“Pada masa sama sempena acara itu juga kami menganjurkan Norish Kareem Fesyen Week (NKFW) yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) United Kingdom (UK) dan Eropah.


Antara koleksi Lila Majnun yang akan membawa elemen batik dan songket dalam rekaan pada acara NKFW nanti.

“Penganjuran bertujuan memperkenalkan lebih banyak produk tempatan selain menjadi landasan terbaik kepada pereka fesyen memperluaskan jenama ke arena global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media NKFW di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Gaya Hidup dan Sains Hayat MATRADE, Abu Bakar Yusof.


Norish Kareem bersama model yang memperagakan koleksinya pada acara Fashion Sustainability Summit United Kingdom (UK) meyakinkannya menganjurkan majlis NKFW di London, September ini.

Ketengah jenama tempatan

Norish Kareem yang berpangkalan di London, berkata NKFW adalah batu loncatan buat pereka mengetengahkan jenama sekali gus mengembangkan perniagaan berasakan produk gaya hidup dengan mengambil kira keunikan warisan tempatan, seperti batik dan songket.

Acara sebegini kata beliau, membuka mata pelabur dan pembeli berpotensi di sekitar pasaran Eropah dan UK.

Ia berdasarkan maklumat MATRADE yang sudah mengenal pasti produk sesuai untuk pasaran di sana.


Salah satu rekaan Norish Kareem yang ditonjolkan pada Fashion Sustainability Summit di UK.

LFW berlangsung seminggu, iaitu pada 13 hingga 17 September, NKFW pula dianjurkan pada 14 September di sebuah lokasi di tengah kota London. Acara itu sekali gus merancakkan festival fesyen LFW anjuran British Fashion Council.

Beliau yang juga pengasas jenama Norish Kareem Cosmetics (NKC) dan Norish Kareem London (NKL), kini memiliki butik di kota London, berkata bukan mudah sesebuah jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa kerana dia pernah melalui kesukaran dan cabaran sebelum memulakan operasi di kota kosmopolitan itu.

“Membawa jenama fesyen tempatan ke Eropah adalah impian saya. Oleh itu, NKFW mahu menyumbang kepada dunia fesyen tempatan melangkah lebih jauh dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

“Memberi keutamaan kepada pereka Malaysia yakin terhadap jenama mereka dan ingin pergi ke peringkat global selain memperkenalkan produk tempatan ke pasaran dunia,” katanya.\

Norish berkata, setakat ini hanya lima pereka fesyen sudah mengesahkan penyertaan mereka antaranya Fana Couture, Lila Majnun, Angie Jewels & Co, Ummiriaz International, Liza Zulkarnain serta beberapa pereka lain dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya membuka peluang kepada lebih ramai pereka yang ingin turut serta mengembangkan jenama masing-masing sebelum tarikh tutup pada hujung Julai ini, dengan yuran penyertaan berpatutan.

“Kita memilih antara 10 hingga 20 pereka fesyen lagi untuk menyertai NKFW. Penyertaan tidak terhad hanya pada pakaian malah produk berkaitan kosmetik dan aksesori dialu-alukan.

“Yuran penyertaan paling murah ,iaitu antara RM14, 727 (£2,800) hingga RM18,409 (£3,500) berbanding yuran kebanyakan acara fesyen sehingga RM31,558 (£ 6,000)

“Kos termasuk model, solekan, gambar dan video serta liputan beberapa majalah terkenal di UK. Pereka fesyen hanya membawa baju atau produk yang hendak ditonjolkan pada pertunjukan fesyen berkenaan, manakala penerbangan pergi balik dan tempat tinggal pula atas tanggungan pereka sendiri,” katanya.

Katanya, beliau tidak mengenakan caj tinggi kerana inisiatif itu bertujuan membantu pereka menaikkan jenama Malaysia, selain menyediakan ruang mempamerkan koleksi mereka di butik NKL.

Norish berkata, NKFW juga bergabung bersama kerajaan Qatar dan dijangka mengadakan pertunjukan fesyen sama di Doha pada November ini.

Rekaan kontemporari pasaran Eropah

“Kita berharap NKFW menjadi penganjur acara pertunjukan fesyen antarabangsa yang mengadakan acara berkenaan di beberapa negara serata dunia seperti New York, Paris dan Dubai,” katanya.

Sementara itu, pereka fesyen yang juga model veteran, Mimi Wahedah Yusof, berkata beliau teruja menyertai NKFW kerana ingin memperkenalkan busana unik berkonsep modest, iaitu cape dan jubah menarik dengan rekaan moden untuk pasaran Eropah.

“Saya bukan pereka fesyen, tetapi gemar mencurahkan idea dengan menata rias bagi menambah baik gaya supaya tampil lebih menarik dan unik menerusi koleksi saya.

“Pembabitan wanita dalam dunia fesyen hari ini lebih baik berbanding 30 tahun lalu ketika saya aktif dalam bidang peragaan.

Wanita hari ini semakin berani melangkah jauh dalam perniagaan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa kerana fesyen juga menjadi bidang perusahaan paling diminati kebanyakan wanita.

“Oleh kerana minat dalam menata rias gaya wanita dan peluang yang ada di depan mata, saya menjangkakan penduduk Eropah terbuka menerima rekaan saya,” katanya.

Berita Harian X