Rabu, 15 Mei 2019 | 12:55pm
Muhammad Daniel Mohd Idham, 18 hanya makan bubur sejak dari kecil yang dimasak ibunya Shuhaila Saidon di rumah mereka di Taman Juta, Kuala Kubu Bharu. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Muhammad Daniel Mohd Idham, 18 menunjukkan pingat sukan yang dimenanginya dirumahnya di Taman Juta, Kuala Kubu Bharu. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Muhammad Daniel Mohd Idham, 18 hanya makan bubur sejak dari kecil yang dimasak ibunya Shuhaila Saidon di rumah mereka di Taman Juta, Kuala Kubu Bharu. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Seumur hidup Muhammad Daniel tak pernah makan nasi

KUALA KUBU BAHRU: Sejak bayi sehingga kini sudah berusia 17 tahun,

pelajar Sekolah Menengah Ampang Pecah, dekat sini, Muhammad Daniel Mohd Idham tidak pernah makan nasi dan makanan pejal.

Muhammad Daniel hanya minum susu dan makan bubur nasi cair.

Setiap kali disuapkan bubur lembut makanan itu seakan tersekat pada kerongkong saja dan akan dimuntahkan sehingga menyebabkan sakit perut.

Ibunya, Shuhaila Saidon, 45, berkata sebagai ibu, hatinya runsing memikirkan nasib dan masa depannya yang seumur hidup tidak pernah makan nasi atau makanan pejal.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan bersama suami, Mohd Idham Atan, 45, termasuk memasak hidangan enak dan membawa anak mereka ke restoran yang biasanya digemari kanak-kanak, tetapi tidak berkesan.

“Hati ibu bapa mana tidak resah melihat keadaan anaknya yang tidak mahu makan kerana bimbang keadaan kesihatannya pada masa depan. Selepas bertahun, setakat ini Muhammad Daniel hanya boleh makan bubur nasi cair.

“Kalau dipaksa makan, dia akan muntah menyebabkan kita pun jadi tertekan kerana terlalu memikirkan masalah sebenarnya.

“Saya berharap ada pakar atau pihak berkaitan tampil membantu anak sulungnya yang mengalami masalah langsung tidak boleh menelan makanan pejal,” katanya.

Berdasarkan rekod perubatan, Muhammad Daniel disahkan mengalami masalah pemakanan dan ketika usianya tujuh tahun, baru dikenal pasti mengalami disleksia, selain Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) ringan.

Sebelum ini, beliau pernah mendapatkan sesi kaunseling dari Pakar Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak bagi menangani tabiat berkenaan.

Shuhaila berkata, lazimnya beliau menyediakan bubur nasi cair bercampur sedikit lobak lembut menjadi satu-satunya hidangan untuk sarapan, makan tengah hari, petang dan malam untuk anaknya tanpa rasa jemu.

Setiap suapan diselang-selikan dengan meneguk air kosong yang tersedia di dalam bekas besar bagi membolehkan bubur berkenaan melalui kerongkongnya.

Bagi menambah tenaganya, Shuhaila memberikan anaknya itu susu khas yang dibelinya.

Secara luaran, Muhammad Daniel kelihatan seperti remaja lain, tetapi tubuhnya kurus dengan ketinggian melebihi 160 sentimeter dan berat sekitar 48 kilogram.

Bagaimanapun, pelajar kelas khas, Sekolah Menengah Ampang Pecah itu tetap aktif dalam bersukan, malah kerap memenangi acara olahraga sehingga mewakili daerah Hulu Selangor dalam larian 4 x 100 meter.

Sementara itu, Muhammad Daniel berkata, di sekolah beliau hanya minum air suam atau jus saja kerana tidak pernah timbul keinginan untuk makan makanan yang dijual di kantin sekolah.

“Saya tidak terfikir atau terliur pun melihat makanan yang sering menjadi kegemaran remaja lain seperti burger, aiskrim atau mi segera sekalipun. Semuanya tidak boleh masuk.

“Kalau lapar, saya makan bubur nasi cair saja atau kalau jamuan di sekolah, saya pilih makanan lembut dan cair seperti sup cendawan,” katanya.

Muhammad Daniel yang ramah bercerita, berkata beliau mahu menjadi seorang atlet, suatu hari nanti.

Sepanjang berpuasa pada Ramadan ini, Muhammad Daniel perlu minum susu khas yang dibeli ibunya untuk mengelakkan daripada gastrik.

Anak sulung daripada dua beradik itu menganggap keadaan menimpa dirinya itu takdir yang sudah ditentukan oleh-Nya.

3409 dibaca
Berita Harian X