Selasa, 14 Mei 2019 | 9:00am

CEO MDEC tabah lawan kanser payudara

KUALA LUMPUR: Di sebalik kewibawaan dan personaliti hebat Surina Shukri melakar kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa, tersimpan cerita getir dilaluinya sebagai penghidap kanser payudara tahap dua.

Surina, 43, yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Pembangunan Digital Malaysia (MDEC), pada Januari lalu, akur ketentuan Ilahi apabila terpaksa membuang kedua-dua payudaranya melalui kaedah pembedahan mastektomi berganda.

Meskipun empat tahun berlalu, namun air mata Surina tidak dapat disekat apabila episod duka itu dibangkitkan ketika penulis bertanyakan mengenai pengalamannya melawan kanser payudara yang diagnosis pada 2015.

Malah kesedihannya juga semakin terasa tatkala menyentuh mengenai tiga anaknya yang ditinggalkan jauh di kota metropolitan, New York sejak empat bulan lalu untuk kembali ke tanah air bagi memulakan tugasnya sebagai CEO di MDEC.

Cepat-cepat penulis memohon maaf sekiranya soalan itu mengganggu perasaan wanita yang berpengalaman lebih 20 tahun bekerja di pelbagai syarikat multinasional terutamanya di JPMorgan Chase & Co dan syarikat pemula niaga dalam sektor kewangan, sumber alam, tenaga dan teknologi ini.

“Tidak... jangan risau. Ini adalah air mata kegembiraan,” katanya yang ditemui di BH, baru-baru ini.

Surina menggantikan Datuk Yasmin Mahmood yang meletak jawatan pada 7 Disember lalu dan menerajui MDEC untuk tempoh tiga tahun ini cuba tersenyum walaupun menahan sebak.

Ternyata anak kelahiran Kuala Lumpur ini insan yang amat positif kerana yakin banyak hikmah di sebalik apa yang menimpanya itu.

“Apabila berdepan sebarang ujian tidak terduga, jangan tanya kenapa ia terjadi ke atas diri kita. Sebaliknya, fikirlah mengapa ia terjadi untuk kita, pasti ada hikmahnya?

“Apabila berfikir secara positif, saya mula faham, mungkin selama ini saya alpa dengan kehidupan, terlalu mengejar kekayaan dunia sehingga lupa meluangkan masa untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.

Wanita tinggi lampai berambut lurus paras bahu ini, dikesan memiliki ketumbuhan sebesar satu setengah sentimeter (sm) di pada bawah ketiak dan dua sm di sebelah kanan pada 2015 yang disahkan kanser jenis HER2 positif.

Ketumbuhan itu dikesan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital terbaik di New York selepas setahun melahirkan anak bongsunya, Zac Rashid.

“Saya menjalani rawatan hampir setahun termasuk kemoterapi saja empat bulan dan radiasi dua bulan untuk menghapuskan sel barah.

“HER2 positif adalah sejenis barah yang diwarisi dalam keluarga tetapi bukan semua ahli keluarga saya mengalami.

“Selain saya, adik pun ada juga. Itulah sebabnya kami perlu menjalani pemeriksaan setahun sekali terutama mamogram,” katanya.

Keluarga terutama anak-anak memberikan kekuatan kepada Surina untuk terus menjalani rawatan supaya kembali sihat.


Suami Surina (dua dari kiri) mengambil alih tugas mengurus keluarga ketika beliau menjalani rawatan.

Surina (kanan) bersama suami, tiga anak di New York.

Beliau mengakui suaminya, Jasmin Rashid adalah ‘superman’ yang banyak berkorban dan memberikan sokongan untuk menjaga tiga anak mereka termasuk Zac yang ketika itu masih kecil.

Surina yang sebelum ini menetap di New York sejak 2001 mendapat galakan daripada suaminya juga mendorong beliau menerima perlantikan jawatan CEO itu untuk membantu memperkukuhkan ekonomi negara.

“Barah memberikan kekuatan kepada saya untuk melakukan apa saja tanpa rasa bimbang lagi kerana hidup ini terlalu singkat termasuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak.

“Ia juga menjadikan saya lebih peka dengan penjagaan kesihatan, rajin bersenam bermula dengan langkah kecil, menaiki tangga pejabat.

“Selain itu, saya menyertai larian lima kilometer (5km) dan sertai larian separa marathon sejauh 20km, pada bulan lalu,” katanya.

Berbanding sebelum ini, kini, Surina merasakan bersenam menjadikan dirinya lebih peka dan bertenaga.

Justeru, beliau menasihatkan wanita supaya menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai keutamaan kerana wanita juga perlu menjaga kesihatan selain menjaga keluarga dan anak-anak.

Surina juga aktif dalam memberikan kesedaran orang ramai terhadap barah payudara menerusi akaun twitter khas, ‘ChemoChicnyc’ yang didedikasi untuk memerangi penyakit berkenaan.


Surina (tengah) aktif berlari untuk kekalkan hidup cergas

Info

Nama anak: Ean Rashid, 10, Arianna Rashid, 9, Zac Rashid, 5

Asal: Kuala Lumpur

Fakta: Aktiviti memperkasakan wanita Amerika Syarikat

- 17 pengalaman tugas bersama agensi pelaburan dunia, Wall Street dan JP Morgan Chase&Co

- Pengasas SheNovation Ventures 2018 (Tawaran dana, nasihat kewangan dan pendidikan)

- Sertai pasukan Blockchain rangkaian perdagangan berasaskan teknologi digital

- Mengetahui Piraty Partners (Pangkalan data membantu syarikat melatih tenaga kerja menumpukan peranan wanita dalam kepemimpinan).

2571 dibaca
Surina menceritakan pengalamannya melawan barah payudara. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X