Khamis, 9 Mei 2019 | 9:43pm
Gangguan perasaan jejas produktiviti. - Foto hiasan

Fikir di luar kemampuan undang risiko tekanan

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah individu memikirkan sesuatu di luar keupayaan diri menyebabkan mereka berhadapan risiko tekanan yang mengganggu kesihatan mental dan fizikal, sekali gus menjejaskan produktiviti di rumah dan tempat kerja.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Suzaily Wahab, berkata tekanan boleh dielak dengan memikirkan sesuatu secara rasional mengikut kemampuan.

Beliau berkata, tekanan disebabkan gangguan perasaan, apabila seseorang menilai situasi tertentu akan berlaku melebihi daripada keupayaan mereka untuk melaksanakannya.

Keadaan sedemikian katanya, menyumbang kepada perubahan fizikal dalam sistem badan terutama meningkatkan degupan jantung dan pernafasan. Kesan segera menyebabkan individu berhadapan situasi tidak stabil.

“Kesan fizikal disebabkan tekanan membawa kepada sakit kepala dan gugup hingga boleh melemahkan sistem imun badan. Gangguan sampingan termasuk individu mudah marah, hilang sabar, cemas dan takut tanpa sebab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kesihatan Korporat; Mewujudkan Budaya Kesihatan anjuran Columbia Asia, di ibu negara baru-baru ini.

Sukar buat keputusan Dr Suzaily membentangkan topik berkaitan ‘Kesihatan Mental dan Kesannya terhadap Kesihatan & Kesejahteraan’.


Pakar Perunding Psikiatri UKM, Prof Madya Dr Suzaily Wahab. - NSTP/Aziah Azmee

Persidangan dihadiri panel antaranya Ketua Sektor Kesihatan Pekerjaan & Alam Sekitar, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Priya Ragunath; Ketua Pegawai Perubatan Columbia Asia Setapak; Dr Shahril Kamal Shafie dan Penyelaras Perkhidmatan Kecemasan Serantau Columbia Asia, Dr Sharonpal Singh.

Katanya, individu tertekan sukar membuat keputusan, gagal memberi perhatian, tabiat makan berubah selain risiko pengambilan alkohol dan merokok berlebihan.

Kesihatan mental yang sempurna, kata beliau, menyumbang kepada produktiviti kerja, meningkatkan kebahagiaan, kepuasan dan kesihatan fizikal serta rohani.

“Persekitaran tidak sihat di tempat kerja menjejaskan kesihatan kakitangan, produktiviti individu dan organisasi terjejas. Antara punca tekanan sedemikian antaranya bebanan tugas dan kaedah pengurusan yang menekan,” katanya.

Fakta:

• Secara purata individu bekerja memperuntukkan 40 hingga 50 jam, malah ada kalanya boleh mencapai 60 jam seminggu bekerja.

• Banyak masa dihabiskan di tempat kerja hingga menyebabkan individu terlupa mengambil berat mengenai kesihatan kecergasan diri.

Info

Kesan kemurungan:

• Kehilangan atau kenaikan berat badan secara ketara

• Sukar tidur

• Gangguan psikomotor

• Keletihan

• Memikirkan tindakan hendak membunuh diri

• Ketidakupayaan menumpukan perhatian

• Sedih keterlaluan

Cara atasi tekanan

• Bersenam dengan kerap

• Amal gaya hidup sihat

• Latih merehatkan diri

• Keseimbangan kehidupan kerja

• Memberi keutamaan mengikut kepentingan

• Tetapkan masa untuk beriadah secara berterusan

288 dibaca
Berita Harian X