Jumaat, 26 April 2019 | 10:55am
Shahreen Hazaline Othman, 40 (kiri) bersama suami, Muhamad Shukor Jab, 43 ketika hadir pada pelancaran program MenCare di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Owee Ah Chun

Kanser tidak ragut kebahagiaan rumah tangga

SHAH ALAM: Susah senang hidup bersama, janji keramat itu masih terngiang-ngiang di telinga Shahreen Hazaline Othman, 40, walaupun disahkan menghidap kanser payudara, namun suaminya, masih sanggup melayari bahtera rumah tangga tanpa merubah sedikit pun kasih cinta mereka.

Kisah lima tahun lalu itu masih dalam ingatannya apabila ujian saringan awal mendapati ketulan pada payudara kirinya kemudiannya disahkan kanser tahap dua.

Paling meruntun jiwa, pasangan suami isteri yang bertugas sebagai ejen insurans ini mendapat khabar berita itu ketika Shahreen Hazaline sedang hamil 12 minggu, manakala anak ketiga yang berusia dua tahun masih lagi menyusu badan.

Kesedihan tidak dapat digambarkan, malah Shahreen Hazeline hampir putus asa. Namun, sokongan moral diiringi kata-kata positif setiap hari dari suaminya, Muhamad Shukor Jab, 43, membangkitkan beliau terus kuat dan tidak cepat mengalah.

“Suami adalah sumber kekuatan saya. Tanpa sokongan dia tidak mungkin saya bertahan hingga sekarang. Tiada siapa pernah menjangka dijangkiti penyakit yang paling digeruni wanita, tambahan pula tidak ada sejarah atau latar
belakang keluarga yang mempunyai kanser

“Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Kadang-kadang saya pernah tertanya-tanya mengapa ia terjadi kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program MEN CARE di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Shahreen Hazeline berkata pada awalnya, rasa biji pada atas payudara kirinya disangka ketulan susu yang keras kerana masih menyusukan anak.

Atas nasihat pakar sakit puan, beliau menjalani ujian biopsi, iaitu prosedur perubatan ringkas di mana sampel tisu payudara diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian.

“Pada mulanya doktor sukar menjelaskan mengenai penyakit berkenaan selepas mendapat keputusan ujian. Mungkin kerana doktor mahu menjaga hati dan tidak mahu saya terlalu sedih kerana sedang mengandung.

“Bagaimanapun sejurus mengetahuinya saya menangis di hospital hingga tidak menghiraukan langsung orang sekeliling,” katanya yang menjalani pembedahan membuang ketulan kanser ketika usia kandungannya sudah masuk 16 minggu.

Sebagai ibu yang baru melahirkan bayi, jiwa Shahreen Hazeline meronta kerana tidak dapat menyusukan anak. Kasihan anak tidak mendapat susu badan, tetapi, dengan sokongan suami beliau reda atas ketentuan Ilahi.

“Suami yang menemani saya memujuk dan menenangkan hati saya. Dia jugalah insan yang berjaya mententeramkan setiap kali saya bersedih,” katanya.

Pantau emosi isteri

Beliau yang kini masih menjalani rawatan susulan begitu menyanjung suaminya kerana sentiasa menemani ketika rawatan kemoterapi dan radioterapi. Selepas didiagnos barah payudara, tahap prihatin suami meningkat.

“Saya bersyukur suami boleh memasak, membasuh dan melakukan beberapa kerja rumah semata-mata meringankan beban dan kesedihan yang saya tanggung,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Shukor berkata, mana-mana suami yang dikurniakan isteri yang menghidap barah tidak seharusnya patah semangat sebaliknya perlu bersama-sama berjuang melawannya walaupun kesakitan itu tidak dirasai.

Katanya, hati suami mana yang tidak sedih sebaik dimaklumkan penyakit yang dihidap isteri tambah pula mereka bakal menyambut kelahiran anak ke-empat.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Perberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud (tujuh kanan) bergambar bersama 'Canser Surviver ' dan suami masing masing pada pelancaran program MenCare di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Owee Ah Chun

Lebih 10 tahun mendirikan rumah tangga, beliau sering menganggap isterinya akan sentiasa sihat dan tidak menyangka mendapat kanser.

“Saya benar-benar tidak sangka isteri diberi ujian berat ini. Isteri adalah segala-galanya kerana dia sanggup terima saya seadanya.

“Jadi, saya bangkit memberi sokongan padu, malah tidak henti-henti mengungkap kata-kata semangat kepada isteri setiap hari,” katanya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Harap cepat sembuh

Muhamad Shukor berkata, beliau perlu kuat dan perlu memastikan keadaan serta kesihatannya juga dalam keadaan baik.

“Sudah tentu emosinya sering terganggu. Justeru, saya juga perlu menjaga emosi dan perasaannya. Saya tidak mahu isteri putus asa sebaliknya berusaha penyakit yang dihidapi demi keluarga tercinta,” katanya.

Muhamad Shukor berkata, berita mengenai tahap kesihatan isteri hanya dikongsi dengan kedua-dua ibu bapa dan keluarga terdekat sahaja.

Beliau berkongsi mengenainya kepada rakan dan saudara mara, kerana tidak mahu menerima terlalu banyak maklumat bercanggah, pelbagai pendapat serta saranan termasuk cerita lebih buruk mengenai barah berkenaan.

“Saya lebih selesa mendapat rujukan mengenai rawatan dan kesihatan isteri daripada pakar saja. Alhamdulillah, berkat sokongan yang saya berikan kepada isteri, kini dia semakin kuat dan lebih positif,” katanya.

Bagi beliau, kanser payudara tahap dua tidak seharusnya dipandang remeh, jika tidak dirawat dan mengambil tindakan drastik ia mungkin mereka sehingga tahap lebih kronik.

“Saya berdoa supaya isteri sembuh sepenuhnya dan menjalani kehidupan lebih sihat dan sempurna,” katanya.

Berita Harian X