Rabu, 17 April 2019 | 11:20am
Penghuni bergilir menjaga bayi di pusat kanak-kanak di Penjara Wanita Kajang. - NSTP/Azhar Ramli

'Rahsiakan anak saya dibesarkan di penjara'

KAJANG: “Jangan ada sesiapa pun yang berani pecahkan rahsia anak saya sebagai anak banduan dan membesar di penjara,” kata Ling, 33, (bukan nama sebenar) yang kini menjalani hukuman di Penjara Wanita, Kajang.

Ling, yang dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah kes pengedaran dadah mengakui, memang sukar membesarkan anak di dalam penjara, tetapi hanya itu pilihan yang ada sementara menunggu dibebaskan.

Ibu kepada empat anak berusia enam bulan hingga 18 tahun itu begitu mengharapkan rahsia anak bongsunya membesar di dalam penjara bersamanya kekal sampai bila-bila.

Banduan yang berasal dari Kuala Lumpur ini bimbang pendedahan itu nanti memberikan kesan negatif kepada anak lelakinya itu.

“Saya tak rela serahkan anak kepada keluarga, biarlah dia membesar di sini bersama saya. Memang hidup di sini tak sama seperti hidup di luar penjara, tetapi sekurang-kurangnya dia membesar di depan mata saya,” katanya kepada BH.

Lebih memeritkan, suaminya juga bergelar banduan dan ditahan juga di Penjara Kajang, atas kesalahan sama mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketika ini, tiga lagi anak perempuan Ling berusia 19, 16 dan 13 tahun dijaga ibu mentuanya, sementara menunggu dibebaskan pada akhir tahun ini.

Ling akur, sejak enam bulan selepas melahirkan anak, Aaron (bukan nama sebenar) tidak pernah bertemu dengan semua tiga kakaknya.

“Memang tak normal. Secara lumrahnya, anak perempuan mesti memanjakan adiknya. Inikan pula, Aaron anak lelaki tunggal dalam keluarga. Apa boleh buat, mereka di sana, kami di sini (penjara),” katanya.

Hakikat sama diakui seorang lagi banduan mempunyai anak berusia dua bulan, Sara, 23, (bukan nama sebenar) dihukum penjara kerana didapati bersalah kerana bersubahat dalam kes mendera anak oleh teman lelakinya.


Ling menceritakan kepada wartawan pengalaman menjaga anak di Penjara Wanita Kajang. - NSTP/Azhar Ramli

Sara mempunyai lima anak juga dihukum penjara dua tahun dan ketika dijatuhkan hukuman, dia sedang mengandung dua bulan (anak bongsu) daripada lima beradik itu.

“Ramai yang menuduh saya kejam kerana mendera anak. Mereka tak faham, saya cuma disabitkan kesalahan kerana bersubahat, kerana lambat membuat laporan polis.

“Biarkan perkara ini berlalu, inilah detik terbaik saya menebus kesalahan dan membetulkan keadaan.

“Lahirnya Seri (anak bongsu) ini sebenarnya memberi rahmat kepada saya. Memang tak sama membesarkan anak di dalam penjara jika dibandingkan di luar sana, tetapi di sini, kami dilayan baik dan mendapat semua keperluan untuk anak dan ibu bersalin,” katanya yang dijangka dibebaskan dua bulan lagi.

Sepanjang tempoh selepas Seri dilahirkan, anaknya yang lain di bawah jagaan nenek hanya membuat panggilan telefon bertanyakan Seri dan kini Sara tidak sabar mahu melihat reaksi apabila mereka bertemu adik bongsu.

“Pada peringkat awal, memang saya rasa agak sukar kerana ini kali pertama membesarkan anak di penjara.

“Rasa cukup pelik, tetapi ramai rakan saya yang membantu dan mereka cukup memahami. Seri tidur dengan saya setiap malam, sekurang-kurangnya terubat sedikit rindu pada anak lain.

“Saya tak sanggup orang gelar anak saya sebagai anak banduan. Dia tak bersalah. Saya mahu dia membesar sebagai anak yang normal,” katanya.

Teman lelaki Sara yang didapati bersalah mendera anak tirinya pada dua tahun lalu kini merengkuk di Penjara Kajang selepas dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.


Sara mahu anaknya membesar sebagai anak yang normal. - NSTP/Azhar Ramli

Di pusat kanak-kanak Penjara Wanita Kajang, kini terdapat tiga kanak-kanak (berusia 12 bulan hingga 3 tahun) dan tujuh bayi berusia 10 hari hingga tujuh bulan.

Seorang daripada kanak-kanak itu ialah Ajlal, 3, (bukan nama sebenar) yang tinggal bersama ibunya, berasal dari India.

Dia kini fasih berbahasa Melayu dan cukup petah berbual. Namun, pergerakannya hanya terbatas di situ dan diberikan ruang bermain di padang rumput selama sejam di sebelah pagi serta sejam petang.

Disebabkan hanya ada dua lagi rakannya yang hampir sebaya, tetapi tinggal di blok berasingan, Ajlal rapat dengan banduan wanita lain dan menjadi penghibur mereka dengan keletahnya.

Ketika wartawan mendukung Seri, Ajlal secara spontan berkata; “Cikgu boleh pinjam dia dua minit saja. Dia kawan saya,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Wardar Penjara, Koperal Zarina Yusuff yang mengawal selia pusat penjagaan kanak-kanak menjelaskan, 10 banduan ditugaskan di pusat penjagaan itu setiap hari dan dipantau pegawai bertugas.


Wardar Penjara, Koperal Zarina Yusuff. - NSTP/Azhar Ramli

“Mereka akan bergilir-gilir bertugas kerana banduan di sini perlu bekerja di bengkel atau mengikuti kelas pemulihan.

“Kita menyediakan semua kelengkapan serta keperluan untuk memudahkan urusan penjagaan kanak-kanak.

“Mereka diberi pilihan sama ada mahu membesarkan anak sendiri di sini atau menyerahkan kepada waris atau keluarga. Mereka boleh memohon dan mahkamah akan membuat keputusan.

“Tetapi, setakat ini, ramai yang mahu bersama anak mereka di sini,” katanya.

Bahkan, pusat penjagaan kanak-kanak itu juga terletak bersebelahan klinik di Penjara Wanita, sekali gus memudahkan wardar membawa mereka mendapatkan rawatan doktor jika berlaku sebarang kecemasan.

Setakat ini, banyak pihak yang tampil menghulurkan sumbangan seperti lampin pakai buang, bedak, losyen, susu dan makanan bayi.

Sumbangan itu termasuk daripada Jabatan Imigresen, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Persatuan Khatolik Kajang serta ahli politik yang datang melawat pusat berkenaan.

4396 dibaca
Berita Harian X