Ahad, 14 April 2019 | 11:40am
Dari kiri, Mohd Kori, Musa dan moderator, Syafinaz Yunus pada Program Wacana Rahmah: Bahagia Seketika, Derita Akhirnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Salhani Ibrahim

70 peratus nikah sindiket tidak patuh syariah

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggarkan kira-kira 70 peratus pernikahan menggunakan khidmat sindiket atau nikah ekspres tidak sah syariah, paling banyak kesalahan berkaitan wali.

Pengarah Bahagian Penyelarasan, Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Kori Jusoh, berkata pasangan terlepas pandang dengan beranggapan pernikahan luar kawasan melebihi dua marhalah, dibolehkan menggunakan wali hakim.

Beliau berkata, tanpa disedari wali sah seperti bapa, saudara lelaki (adik-beradik seibu sebapa atau sebapa), datuk (bapa ayah) dan bapa saudara (adik-beradik sebelah bapa) masih hidup.

Semua kategori wali ini katanya, perlu dicari sehingga dapat, bukannya mengambil jalan mudah menggunakan wali hakim.

“Dalam hal ini, wali hakim adalah dilantik Sultan bagi jabatan agama negeri, manakala Yang di-Pertuan Agung bagi Wilayah Persekutuan.

Tak boleh ambil jalan mudah

“Pasangan mengambil jalan mudah menggunakan wali tidak sah dan jurunikah tidak bertauliah atau sudah dibatalkan tauliah yang dipilih ejen sindiket.

“Bagi ejen, ini semua tidak penting kerana nikah ekspres satu perniagaan menguntungkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada program Program Wacana Rahmah: Bahagia Seketika, Derita Akhirnya di Kompleks Darul Hidayah, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ajib Ismail, Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Munir Md Salleh dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Mohd Kori berkata, pihaknya berusaha menangani isu kekeluargaan termasuk nikah tanpa kebenaran, tidak mengikut peraturan bagi melaksanakan pernikahan tanpa tauliah.

Laporan JAWI sebelum ini, menunjukkan statistik 2018 menunjukkan 1,500 kes membabitkan kesalahan perkahwinan di bawah Akta 303, termasuk pernikahan tidak mendapat kebenaran, berpoligami dan nikah sindiket.

Pastikan pernikahan tepati syarak

Beliau berkata, walaupun diwujudkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, khusus bagi pengurusan perkahwinan, perceraian dan rujuk, namun masih terdapat masyarakat bersikap enggan mengambil berat mengenainya.

“Masyarakat juga tidak mengetahui mereka wajib mendapatkan kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk jabatan agama negeri dengan mengisi borang khas sebelum pernikahan dilangsungkan.

“Ini bertujuan supaya pernikahan menepati syarak dan didaftarkan mengikut peraturan serta undang-undang negara,” katanya.

Mohd Kori berkata, kebanyakan ejen pernikahan adalah rakyat tempatan, malah antaranya pernah menjadi pegawai jabatan agama dan mengetahui prosedur perundangan enakmen keluarga Islam sedia ada.

“Ejen ini sukar dikenakan tindakan kerana menggunakan banyak nama dan licik dalam penyamaran. Malah, maklumat yang diberikan kepada bakal pasangan juga mengelirukan, namun ada yang sudah dikenakan tindakan,” katanya.

Boleh kena banyak pertuduhan

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, berkata ejen nikah sindiket begitu berani mengiklankan perniagaan mereka secara terbuka di media sosial, melantik orang tengah dan mempromosikannya daripada mulut ke mulut.

Beliau berkata, pasangan dikenakan bayaran mengikut pakej tertentu semua urusan termasuk penyediaan wali hakim, jurunikah dan saksi dilakukan ejen.

“Kebanyakan menggunakan ejen kerana terdesak, sudah terlanjur, wali enggan menerima pasangan walaupun suka sama suka dan berpoligami.

“Bagaimanapun, keengganan memohon daripada Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk jabatan agama Islam mereka tidak boleh mendaftarkan perkahwinan berkenaan.

“Akhirnya pasangan berhadapan masalah mengenai kesahihan status pernikahan, pendaftaran kelahiran anak, nasab anak dan tuntutan isteri sekiranya berlaku perceraian,” katanya.

Beliau berkata, hukuman rendah iaitu denda RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap ejen, sindiket, pasangan pengantin dan mereka yang bersubahat nyata tidak menggerunkan mereka.

“Sebenarnya mereka silap, setiap pasangan boleh dikenakan tiga atau empat pertuduhan, antaranya bernikah tanpa kebenaran, menggunakan jurunikah tidak bertauliah, wali tidak sah dan gagal mendaftarkan perkahwinan. Pasti hukuman lebih berat menanti mereka,” katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ajib berkata, usaha mengekalkan kerukunan rumah tangga adalah tanggungjawab kedua-dua pihak dengan mengamalkan sifat saling faham memahami dan kasih sayang.

Enam konsep terbaik

Beliau berkata, JAWI memperkenalkan enam konsep terbaik iaitu sayang menyayangi (keep loving), menghantar mesej terbaik (keep sending) memanggil dengan panggilan terbaik (keep calling).

Katanya, mengambil berat perihal pasangan (keep caring), ingat mengingati (keep remembering) dan memaafkan pasangan (keep forgiving).

“Jangan malu mengucapkan sayang kepada pasangan, paling terbaik ketika hendak keluar rumah dan balik kerja. Jangan teragak-agak menghantar mesej terbaik kerana pasangan mahu dihargai.

“Amalan hidup berlandaskan sunah Rasulullah SAW memanggil isterinya dengan panggilan terbaik, sudah kurang diamalkan. Saling ingat-mengingati tarikh lahir pasangan, anak dan ulang tahun perkahwinan, walaupun nampak ‘kecil’, namun pada pasangan ingatan itu sangat penting,” katanya.

660 dibaca
Berita Harian X