Sabtu, 13 April 2019 | 12:50pm
Amalan memberi susu ibu seawal usia bayi terbukti mencantikkan struktur gigi.

Hisap susu ibu, rangsang pembentukan sempurna gigi, gusi secara semula jadi

AMALAN memberi susu ibu seawal usia bayi terbukti mencantikkan struktur gigi dan menguatkan gusi kanak-kanak berbanding jika diberi susu formula menggunakan botol.

Secara semula jadi ketika kanak-kanak menghisap susu ibu, proses sedemikian merangsang pembentukan gusi yang lebih sihat, cantik dan rata.

Pengarah Akademi Pergigian Malaysia, Dr Bala Saravanan, berkata proses pembentukan gigi yang sihat bermula sejak awal usia dengan memberikan mereka susu sehingga berusia dua tahun.

Beliau berkata, memberi susu ibu juga memberikan ketenangan kepada bayi dan emosi yang stabil.

“Bayi menyusu ibu membantu proses pembentukan gigi dan gusi yang sihat. Ia juga adalah kaedah awal pemakanan yang seimbang,” katanya pada taklimat penjagaan gigi seawal usia, di Subang Jaya, baru-baru ini.


Pengarah Akademi Pergigian Malaysia, Dr Bala Saravanan. - NSTP/Rohanis Shukri

Pada Program Hari Kesihatan Oral Sedunia anjuran Philips Malaysia, berlangsung di Subang Jaya, baru-baru ini, Dr Bala berkata proses penjagaan gigi dan gusi perlu dilakukan seawal usia. Bawa anak kecil berjumpa doktor gigi dua kali setahun.

Pendedahan awal ini katanya, membolehkan anak selesa mendapatkan rawatan berkenaan lebih awal selain menghilangkan rasa takut mereka.

Mengulas lanjut isu berkaitan Dr Bala berkata, amalan memberi puting plastik bertujuan mententeramkan kanak-kanak lazim dilakukan ibu bapa perlu dielakkan.

Katanya, apabila menyumbat puting getah proses menghisap tadi menyebabkan berlaku tekanan pada gusi lembut bayi terbabit. Bayangkan tempoh lama puting berada di dalam mulut bayi sudah pasti merosakkan atau mengganggu pembentukan tekstur gigi.

Puting punca gigi terjungkit

Katanya, tidak hairan apabila ibu salah memilih puting sepadan, menyebabkan gusi bayi terjungkit rongak atau terkeluar (jongang). Keadaan ini sukar dipulihkan dan masalah berterusan hingga mereka meningkat dewasa.

“Ini dikhuatiri boleh menjejaskan proses pembentukan gusi dan gigi kanak-kanak untuk tumbuh secara sihat dan tersusun. Kesannya gusi terkeluar dan struktur gigi juga tidak kemas.

“Keadaan itu juga boleh memberi kesan psikologi ke atas kanak-kanak apabila penampilan mereka tidak menarik apabila dewasa Timbul rasa rendah diri disebabkan struktur gigi tumbuh tidak sekata,” kataya.

Mengulas masalah gigi reput dalam kalangan kanak-kanak Dr Bala berkata, gigi turut membabitkan kanak-kanak yang dilihat sebagai karies pada awal usia atau ECC, berpunca daripada tabiat mengambil makanan manis.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia lima tahun atau lebih muda terlalu kerap mengambil makanan bergula, termasuk makanan bayi yang mengandungi sukrosa, terutama ketika diberikan pada waktu malam.

“Ibu bapa sering terlupa penjagaan kesihatan mulut yang baik sepatutnya bermula sejak bayi baru lahir lagi.

“Sebagai contoh, ibu yang menyusu pada waktu malam perlu memastikan bayi meminum air kosong bagi menghilangkan sisa sukrosa yang ditinggalkan ketika menyusu.

“Kemudian membersihkan gusi dan gigi bayi dengan menggunakan kain lembab yang bersih,” katanya.

Tangani karies, elak gigi reput

Semakin awal isu ECC ditangani, semakin kurang ekstensif dan invasif rawatan kesihatan mulut diperlukan.


Proses menghisap puting memperkemaskan pembentuk gusi seawal usia.

Dr Bala berkata, senyuman sempurna memaparkan barisan gigi yang cantik dan bersih mengekalkan kesihatan secara keseluruhan dan meningkatkan keyakinan diri.

“Kehilangan atau kereputan gigi mempengaruhi penampilan dan hubungan sosial seseorang. Mungkin ada rakan yang mentertawakan apabila melihat gigi rongak ketika tersenyum.

“Ibu bapa perlu memberikan penjelasan kepada anak supaya memahami kehilangan gigi susu adalah sebahagian daripada proses tumbesaran dan menggalakkan mereka mengamalkan penjagaan kesihatan mulut dengan sempurna.

“Begitu juga untuk orang dewasa, belum terlewat mengamalkan penjagaan kesihatan mulut. Mereka perlu membuat pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali dan tidak perlu takut bertanya soalan mengenai tahap kesihatan gigi, gusi dan mulut.

Berus gigi dua minit

Mengulas mengenai Hari Kesihatan Mulut Sedunia tahun ini, Philips Malaysia menggalakkan semua rakyat pelbagai peringkat usia mengekalkan amalan penjagaan mulut yang baik.

Pengurus Negara, Ketua Kesihatan Peribadi dan Sistem Kesihatan Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel, berkata pihaknya mahu seisi keluarga menjaga kesihatan mulut bagi mengelak penyakit mulut atau kerosakan lebih serius.

“Amalan baik seperti memberus gigi dua kali sehari selama dua minit, penting untuk mengekalkan kebersihan sehingga 60 hingga 90 peratus.

“Kami menggalakkan penggunaan inovasi Sonicare bagi membantu menjaga kesihatan mulut untuk lebih sihat dan sejahtera dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Info

• 3.9 bilion - Penduduk dunia menghidap penyakit mulut

• 44 peratus - Mengalami kesan akibat gigi reput yang tidak dirawat.

• 27.8 peratus - Penduduk Malaysia mengunjungi doktor gigi di dalam tempoh setahun.

• 37 peratus - Rakyat Malaysia tidak pernah menerima penjagaan kesihatan mulut.

157 dibaca
Berita Harian X