Rabu, 10 April 2019 | 10:26am
Terseksa ketika masih hidup bersama, terus merana ditinggalkan. - Illustrasi hiasan

Derita isteri jadi mangsa 'digantung tak bertali'

KUALA LUMPUR: Keluar dari rumah sewa, jual barang kemas selain kesulitan menyara lima anak dengan gaji RM800 antara derita isteri yang menjadi mangsa ‘gantung tak bertali’.

Lebih memeritkan, ada ibu tunggal terpaksa menempuhi tempoh panjang sehingga lebih 10 tahun untuk menunggu proses tuntutan cerai di mahkamah berikutan bekas suami berdolak-dalik untuk melepaskannya.

Hanya mahu dikenali sebagai Amirah, 50, beliau mengimbas kisah hidupnya apabila diceraikan suami dua tahun lalu kerana tidak tertanggung lagi dengan sikap pemalas, kedekut dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, bermula tempoh itulah hidupnya terumbang-ambing sehingga sekarang tanpa nafkah zahir dan batin apabila bekas suami, yang bekerja sebagai kakitangan awam, mengabaikan tanggungjawab sebagai ayah kepada lima anaknya.

Malah, beliau terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu lagi membayar bulanan berjumlah RM500 sebulan di sebuah flat di Cheras dan tinggal menumpang di rumah ahli keluarga di Segambut.

Hari ini, Amirah dan lima anaknya yang berusia 11 hingga 17 tahun hanya bergantung kepada pendapatan bulanan bekerja sebagai pekerja di sebuah kilang di Segambut untuk membesarkan anak-anaknya dengan gaji sekitar RM1,100.

“Ada kalanya kami terpaksa mengikat perut bagi menjimatkan kos perbelanjaan harian. Suami memang tak ambil peduli soal duit belanja, anak sakit dan urusan rumah tangga.

“Suami bekerja dan mempunyai pendapatan tetap namun enggan memberi nafkah keluarga dengan pelbagai alasan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mengumumkan penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang mempunyai kuasa menyita harta lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Inisiatif penubuhan mahkamah khas yang dijangka pada Mei ini bagi mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah selain membantu mengurangkan kes isteri tergantung tidak bertali.

Penat naik turun mahkamah tuntut hak

Amirah yang tinggal di Segambut, berkata kali terakhir ke mahkamah tiga tahun lalu, dan bosan apabila hakim hanya memintanya bersabar sebelum sah bercerai pada 2017.

“Saya lega bercerai, walaupun kini bekas suami tak beri nafkah. Saya serik turun naik mahkamah lagi kerana tahu ia tidak akan berhasil,” katanya.

Sementara itu seorang lagi wanita yang digantung tidak bertali yang hanya mahu dikenali sebagai Fiza, 41, berkata beliau sudah lebih dua tahun memohon fasakh daripada suami, tetapi sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Katanya, proses perceraian tertunda kerana suami tidak hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan dijalankan.

“Suami kakitangan kerajaan, pendapatannya bersama elaun mencecah lebih RM3,000 sebulan. Difahamkan ada orang ketiga dan tidak bertanggung jawab tetapi enggan menceraikan saya. Mengikut mahkamah, jika tuan punya badan (suami) tidak hadir, proses cerai lebih sukar.

“Ada suatu ketika, suami tidak pernah balik selama setahun setengah dan saya tidak tahu ke mana dia menghilang tanpa khabar berita mahupun nafkah,” katanya yang tinggal di Cheras.

Pada masa sama, juga dia pernah merujuk masalah berkenaan ke tempat suaminya bertugas di Putrajaya, namun diminta membuat rujukan lanjut di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Buntu berdepan situasi tidak menentu, saya nekad mengemukakan permohonan fasakh kerana tertekan terpaksa membesarkan dua anak yang kini berusia 12 tahun dan 15 tahun dengan hasil bekerja kilang dengan gaji tidak sampai RM1,000 ketika itu,” katanya yang memulakan kehidupan baharu bersama seorang lelaki tidak lama lagi.

Bagi Zainah, 39, pula pengalaman digantung tak bertali sejak lima tahun lalu benar-benar meninggalkan pengalaman hitam dalam dirinya.

Sehingga kini, beliau masih memegang status itu dan suami pula berada di pusat pemulihan dadah.

Suami culas tanggungjawab

“Sejak awal perkahwinan lagi suami mula culas tanggungjawab. Jangankan nak memberi, cincin perkahwinan yang dihadiahkan ibunya kepada saya juga dijualnya, langsung tidak ada rasa belas kasihan atas penderitaan saya dan anak.

“Bukan mudah nak tuntut cerai kerana semua membabitkan kos. Saya pula hanya berniaga nasi lemak dan kuih dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan,” katanya yang menyara dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun.

Beliau berkata, walaupun sudah mendesak suaminya untuk bercerai, permintaannya sering ditolak atas pelbagai alasan, termasuk faktor kesiankan anak-anak.

“Saya harap ada jalan keluar untuk masalah ini. Saya rela membesarkan anak sendirian daripada terus berada dalam kemelut seperti ini,” katanya.

1245 dibaca
Berita Harian X