Isnin, 11 Februari 2019 | 10:25am
PERBINCANGAN terbuka antara anak gadis dan ibu mengenai haid mampu atasi rasa malu remaja. - Foto Hiasan

Haid pertama ganggu emosi anak gadis, jadi bahan ejekan

KUALA LUMPUR: Isu ‘datang bulan’ pertama bagi anak gadis perlu dibincangkan secara terbuka bagi mengelak persepsi negatif yang menganggap sebagai sesuatu yang menjijikkan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Profesor Dr Harlina Halizah Siraj, berkata tanggapan itu menyebabkan remaja perempuan yang mengalaminya rasa tidak selesa.

Beliau berkata, kesannya mereka berada dalam keadaan takut, tidak yakin pada diri sendiri selain remaja lelaki mengambil kesempatan menjadikannya sebagai bahan ejekan.

Justeru, katanya, ibu bapa berperanan memperbetulkan tanggapan berkenaan dengan mendidik anak baik perempuan mahupun lelaki bahawa haid adalah fenomena tubuh badan wanita yang normal.

“Anak perempuan yang berhadapan situasi ini sudah tentu mengalami pelbagai perasan seperti bimbang, takut dan rendah diri. Justeru ibu bapa termasuk guru seharusnya memberi sokongan memberi penerangan mengenai proses berkenaan.

“Sebaik mengetahui anak perempuan mendapat haid, ibu bapa seharusnya bersyukur dan melihatnya sebagai nikmat dari sudut kesihatan proses tumbesaran anak gadis yang sudah baligh.


DR Harlina Halizah Siraj. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

“Dari sudut perubatan pula, proses itu sebahagian struktur anatomi badan secara normal. Ini membuktikan sistem produktif anak berfungsi dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata demikian mengulas kempen hasgtag #periodemoji, yang diumumkan baru-baru ini.

Organisasi kemanusiaan Plan International United Kingdom (UK) dijadual melancarkan emoji ‘datang bulan' menggunakan kempen hashtag #PeriodEmoji.

Emoji berbentuk titisan darah akan ditambah pada papan kekunci telefon pintar bermula Mac tahun ini.

Kempen atas inisiatif kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita itu, bertujuan membantu mengatasi rasa malu yang dihadapi anak gadis ketika berbicara mengenai haid mereka.

Pengumuman pengenalan emoji baharu itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen seluruh dunia.

Dr Harlina Siraj berkata, beliau bersetuju kempen berkenaan kerana emoji itu antara cara terbaik membincangkan mengenai kesihatan tubuh wanita.

“Saya tidak menganggap emoji sebagai isu berat sebaliknya, pendekatan itu cara mudah membincangkan kedatangan haid menerusi laman sosial dan platform digital.

“Emoji bersesuaian menggantikan ikon atau perkataan yang pernah digunakan sebelum ini bagi menggambarkan kedatangan haid seperti ‘bendera Jepun’ atau ‘namnuk’ (dikecualikan dari solat dan puasa),” katanya.

Beliau berkata, pada era tahun 1990-an dan sebelumnya, masyarakat malu membincangkan haid secara terbuka.

Malah katanya, antara senario mudah dilihat zaman itu termasuk kotak tuala wanita dibalut kertas apabila membelinya di kedai runcit.

“Kita perlu keluar dari kepompong malu ketika membicarakan hal kesihatan itu secara terbuka. Antara cara awal dengan memberi pendedahan awal proses haid kepada anak di rumah.

“Menerusi pengenalan emoji itu juga, menunjukkan masyarakat terbuka berbincang mengenainya dengan melihat perkara itu dari sudut kesihatan. Haid juga disebut di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah, Ayat 222,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman mengenai datang bulan bersama bagi anak gadis, seorang ibu, Saleha Kasmuri, berkata ada masa menjadi sukar baginya berbincang secara terbuka apabila berhadapan situasi berkenaan.

Beliau berkata, perubahan itu tidak dibincangkan secara terbuka dalam kalangan ahli keluarga terdahulu walaupun di antara ibu dan anak perempuan.

Katanya, dia hanya mampu menjelaskan secara umum perubahan biologi apabila sudah baligh, namun mereka digalak bertemu individu lebih berilmu antaranya guru mahupun ustazah.

“Ini bertujuan mendapatkan penjelasan dari sudut agama, kebersihan dan kesihatan dalam suasana lebih selesa,:” katanya ketika dihubungi.

Saleha berkata, beliau masih berpegang kuat pada amalan masyarakat terdahulu, urusan peribadi anak perempuan terutama berkaitan haid, mandi hadas dan emosi dikongsi bersama mereka yang arif.

“Tidak bermakna saya melepaskan tanggungjawab, sebaliknya mencontohi amalan didikan generasi sebelum ini, menghormati individu lebih berilmu dalam masyarakat sebagai rujukan.

“Pada masa sama, saya akan berkomunikasi semula dengan guru mahupun ustazah yang dirujuk anak tadi untuk mendapatkan maklum balas,” katanya.

INFO:

Hasil kajian Plan International United Kingdom (UK)

* Membabitkan 20,000 orang responden seluruh UK

* 48 peratus anak gadis berusia antara 14 dan 21 tahun malu berbincang mengenai datang bulan.

* Hampir 70 peratus remaja perempuan di sekolah di UK tidak dibenarkan ke tandas sepanjang waktu belajar sedangkan ketika itu mereka perlu kerap ke bilik air atas faktor kebersihan.

* 40 peratus remaja di sana terpaksa menggunakan tisu tandas kerana tidak mampu membeli tuala wanita

317 dibaca
Berita Harian X