Ahad, 10 Februari 2019 | 10:00am
Seorang warga emas yang menderita angin ahmar ditemani anak lelakinya di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kajang. - NSTP/Aizuddin Saad

'Saya bukan anak derhaka'

KAJANG: Keabadian kasih untuk insan bergelar ayah, membuatkan anak sanggup membayarkan upah kepada pusat jagaan bagi memantau keperluan bapanya yang menghidap penyakit angin ahmar hampir dua tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Shah, 25, berkata keputusan menempatkan bapanya di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kampung Sungai Sekamat, Jalan Cheras dianggap keputusan terbaik untuk memastikan penjagaan lebih sempurna selepas ibu bapanya bercerai beberapa tahun lalu.

Justeru, Shah yang tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, menjadikan rutin menjenguk bapanya di pusat itu pada setiap minggu sama ada beliau sendiri atau adik-beradik yang lain tidak pernah culas.

“Bapa saya berusia 56 tahun dan mula menderita angin ahmar ini sejak 2004. Keadaannya semakin buruk sekitar 2014, memaksanya hanya terlantar sakit hingga tidak boleh mengurus keperluan diri secara sendirian.

“Berikutan itu, kami tidak boleh menguruskan ayah sepenuhnya di rumah kerana terikat dengan kerja dan tuntutan pengajian di universiti, selain ibu dan ayah tidak lagi bersama hingga tercetus idea untuk mencari pusat jagaan untuknya,” katanya yang kebetulan melawat bapa di pusat jagaan terbabit, baru-baru ini.

Shah berkata, keluarganya langsung tidak mengabaikan bapanya kerana kerana saban minggu akan menziarahi orang tuanya itu sambil membawakan makanan yang turut dikongsikan seluruh kamar di pusat jagaan itu.

“Selalunya orang akan berfikiran jika anak menghantar ibu bapa di pusat jagaan mereka dicop anak derhaka berikutan tidak mampu menjaga kebajikan orang tua sewajarnya.

“Ini stigma yang wajar diubah. Kerana kasih sayang kami sekeluarga mahu ayah yang mesra disapa Pak Cik Abdullah, dalam kalangan penghuni pusat jagaan ini sentiasa terpelihara.

“Kini keadaan ayah semakin bagi daripada derita angin ahmar. Malah kami tidak pernah berhenti berikhtiar mengubatinya dengan harapan ayah pulih sepenuhnya,” katanya.

Shah berkata, mereka sekeluarga tidak mengabaikan kebajikan bapanya kerana kebiasaan pusat jagaan terbabit akan menghubungi mereka misalnya bapanya demam atau kurang sihat.

“Kami sendiri akan membawanya ke klinik dan membeli ubat-ubatan kerana itu tanggungjawab kami. Cuma kami yang tidak berkemampuan menjaga sendiri ayah di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, ibunya juga akan bersama-sama berkunjung ke pusat berkenaan walaupun sudah berpisah dengan ayahnya, bagi memberikan sokongan untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan biasa.

Ibu beliau banyak membantu memberikan tunjuk ajar cara penjagaan kerana ibunya dahulu banyak menguruskan bapanya ketika mereka masih di alam persekolahan dan duduk bersama.

“Saya gembira meskipun kedua-dua orang tua kami sudah berpisah, ibu mengetepikan semua itu hanya mahu melihat ayah kembali pulih dan mampu menjalani hidup seperti biasa,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan supaya kerajaan menggubal akta khusus untuk menjaga dan melindungi warga emas secara lebih menyeluruh, Shah menyifatkan ia amat wajar agar golongan itu mengambil berat terhadap penjagaan ibu bapa masing-masing.

"Menjaga kebajikan ibu bapa adalah kewajipan anak meskipun ada antara mereka yang menderita penyakit tertentu seperti nyanyuk. Dalam keadaan itu anak perlu melayan mereka walaupun ada kala seperti kanak-kanak berikutan faktor usia.

“Kita jangan ambil ringan tanggungjawab itu. Anak atau waris jangan lepas tangan membiarkan ibu dan bapa khususnya yang sudah tua, berpenyakit dan kurang upaya tanpa perhatian atau pengawasan sempurna,” katanya.

Baru-baru ini, BH melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berunding dengan pelbagai pihak bagi membincangkan syor menggubal akta khusus untuk menjaga dan melindungi warga emas secara menyeluruh.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, dilaporkan rundingan dengan kumpulan sasar seperti wakil warga emas, keluarga, komuniti, ahli akademik dan serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan akan diadakan tidak lama lagi.

Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), negara dijangka mencapai status negara tua pada 2030, dengan populasi penduduk akan mencapai 38.1 juta orang dengan 15.3 peratus atau 5.8 juta adalah warga emas.

1748 dibaca
Berita Harian X