Isnin, 4 Februari 2019 | 11:56am

Eksklusif: Dihalau waris, jadi pengemis

KAJANG: “Tak tahan diherdik dan dimalukan di khalayak ramai, saya keluar rumah sehelai sepinggang dan terpaksa mengemis”.

Itu luahan Rahimah Abdullah, 50, (bukan nama sebenar) ketika menceritakan kisah kira-kira setahun lalu apabila dia dihalau keluar rumah anak saudaranya di ibu negara sehingga terpaksa hidup sebatang kara.

“Saya disamakan dengan binatang, ditengking sewenang-wenangnya hingga didengar penghuni flet tempat kami tinggal, malah dilarang membantu membuat kerja rumah kerana diejek pengotor dan berbau busuk,” katanya lagi dalam sebak.

Rahimah berasal dari Kuala Selangor dan tidak pernah berkahwin, mendakwa dihalau anak saudaranya yang juga ibu tunggal dan tiada pekerjaan tetap, selepas berbelas tahun dia menumpang kasih atas alasan kehadirannya membebankan.

“Entah kenapa, anak saudara mula memaki hamun saya. Katanya dia menyesal menjaga saya yang sudah tua dan menganggap kehadiran saya membebankan,” katanya yang tiada hala tuju selepas dihalau anak saudaranya itu.

Rahimah bagaimanapun bernasib baik apabila diselamatkan oleh pihak berkuasa dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum dibawa ke rumah kebajikan kendalian swasta, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di Kampung Sikamat, dekat sini.


Warga emas bergotong royong memasak di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. - Foto ihsan Pusat Jagaan Al-Fikrah

Nasib sama juga menimpa seorang saudara baharu berusia 62 tahun yang mendakwa dibuang anak dan isterinya selepas dia memeluk Islam, apatah lagi dengan statusnya sebagai bekas banduan selepas dipenjarakan atas jenayah merompak.

Lelaki berkenaan yang sudah lima tahun menghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, berkata keluarganya marah selepas mengetahui dia memeluk Islam ketika di dalam penjara dan menghalaunya dengan alasan mereka sudah berbeza agama.

Bagi seorang lagi penghuni, Yahaya Muhamamad, 67, (bukan nama sebenar), dia pernah merempat di jalanan di ibu negara dan Seremban selepas dihalau isteri dari rumah yang dibelinya hasil titik peluh bekerja sebagai kelasi.

“Tatkala usia semakin lanjut, saya dicerca bagai tiada maruah, ditimpa penyakit dan tidak berkeupayaan bekerja.

“Meskipun berada di rumah sendiri, saya dipulaukan, membuatkan tiada lagi persefahaman (dengan isteri), lalu saya membawa diri ke kampung,” katanya.

Bapa tiga cahaya mata ini yang menginap di pusat jagaan terbabit sejak lima tahun lalu, juga mendakwa hartanya hilang sekelip mata termasuk kediaman yang dinamakan atas nama bekas isteri, manakala kepulangan ke kampung juga tidak disenangi kerana dianggap sebagai beban, selain tiada lagi harta.

“Saya terpaksa tidur di jalanan beralaskan kotak, makan minum mengharapkan ihsan, anak pula tidak pernah mencari,” kata bapa tiga anak ini.

Di Seremban, penghuni sebuah rumah orang tua, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chew, 67, dan menghidap strok separuh badan, juga menghabiskan sisa hidup di rumah kebajikan kerana tidak mahu membebankan 11 adiknya ada keluarga masing-masing.

Bekas tukang jahit itu yang pernah berkahwin tetapi tiada anak, bersetuju jika kerajaan menggubal akta khusus bagi melindungi warga emas daripada pengabaian atau penderaan oleh waris atau anak kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka menjaga ibu bapa dengan baik.

Seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kong, 57, turut bersetuju dengan syor berkenaan kerana katanya, ketika ini ramai anak yang dilihat mengabaikan ibu bapa mereka.

Bapa dua anak itu berkata, warga emas yang bernasib baik mungkin dihantar ke rumah kebajikan, namun ada juga ditinggalkan terbiar termasuk di tepi jalan begitu sahaja oleh anak atau waris yang mementingkan diri.

3081 dibaca
Seorang warga emas, Rashimah Abdul Rashid 50, menceritakan kehidupan beliau ditempatkan di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X