Selasa, 8 Januari 2019 | 9:22am
PERSEPSI keluarga pendermaan organ boleh menyeksa mayat menyebabkan Malaysia negara terendah membuat pemindahan organ. Foto hiasan

Eksklusif: Malaysia negara terendah derma organ

KUALA LUMPUR: Persepsi keluarga bahawa pendermaan organ menyeksa mayat dan melambatkan proses pengebumian jenazah menjadikan Malaysia negara paling terendah daripada 68 negara lain di dunia menderma organ.

Stigma itu turut memberi harapan tipis kepada 21,018 pesakit yang masih menunggu penderma organ sesuai untuk terus hidup.

Akibatnya, senarai pesakit kronik semakin panjang sedangkan angka penderma tidak menunjukkan peningkatan saban tahun.

Timbalan Ketua Jabatan dan Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Diana Mohd Shah, berkata persepsi itu menjadi punca Malaysia negara paling rendah menderma organ.

Dalam Islam, hukum menderma dan pemindahan organ adalah harus seperti diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Pertama ketika bersidang pada 23 hingga 24 Jun 1970 yang membincangkan pemindahan jantung dan mata.

Jawatankuasa itu memutuskan pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup dibenarkan (harus) dalam Islam dan di atas kebenarannya.

Antara pertimbangan perlu diambil kira termasuk dalam keadaan terdesak dan nyawa penerima bergantung kepada organ dan pemindahan itu difikirkan berjaya.

“Angka penderma menurun 20 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan persepsi terbabit.

“Bukan semua pengikrar dapat merealisasikan impian itu kerana sesetengahnya mengalami jangkitan penyakit, kanser atau rosak ketika kemalangan,” katanya.

Semalam BH Online melaporkan 21,018 pesakit, terutama penghidap buah pinggang terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya 20 tahun, bagi menjalani pemindahan organ di hospital kerajaan disebabkan kekurangan penderma, sekali gus Malaysia negara paling lama dalam senarai menunggu, berbanding negara Eropah dan Asia lain.


MALAYSIA ada ramai pengikrar, tetapi hanya ada beberapa keluarga penderma membenarkannya.

Dr Diana berkata, walaupun kesedaran mengenai kepentingan menderma organ meningkat, terhalang disebabkan persepsi ahli keluarga.

Setakat ini, sebanyak 424,580 pengikrar untuk menderma organ membabitkan pelbagai kaum dan jantina.

Beliau menyarankan supaya individu yang berikrar menderma organ memberitahu niatnya kepada keluarga, selain memberi kad pengikrar supaya tiada masalah selepas kematian.

“Kita ada ramai pengikrar, tetapi hanya ada beberapa keluarga penderma membenarkannya.

“Selepas meninggal dunia, waris atau keluarga terkejut, takut dan tidak membenarkan organ yang mahu didermakan kepada penerima diberikan,” katanya.

Sejak 1999 kad Pengikrar Penderma Organ dilancarkan sebagai kad indikasi pendaftaran seseorang itu sebagai pengikrar penderma organ.

Beliau berkata, negara ini mengamalkan undang-undang ‘opt-in’ dan sebarang proses pendermaan serta pemindahan organ perlu meminta keizinan ahli keluarga terdekat.

Justeru, selepas kematian, ahli keluarga perlu memberitahu kakitangan hospital berkaitan hasrat pengikrar menderma organnya.

“Cabaran kami untuk mendapatkan kebenaran daripada keluarga terdekat. Tujuan menderma untuk menyelamatkan nyawa bukan untuk menyeksa mayat.

“Pahala menyelamatkan satu nyawa sama seperti menyelamat seluruh umat Islam.

“Proses pendermaan dan pemindahan organ antara 12 hingga 24 jam,” katanya.

Proses mengambil organ tidak dilakukan kasar umpama ‘melapah lembu’ seperti dimomokkan segelintir masyarakat, sebaliknya kumpulan pakar terlatih melakukannya.

“Ada beranggapan kornea mata diambil dibiarkan tanpa dijahit semula, jahitan pembedahan tidak kemas dan nampak serabut.

“Semua mitos ini menyebabkan tidak ramai merelakan mendermakan organ. Rasa takut ini akhirnya menyebabkan niat pengikrar berakhir begitu sahaja,” katanya.

386 dibaca
Berita Harian X