Khamis, 3 Januari 2019 | 12:50pm

Sektor runcit janjikan pendapatan lumayan untuk keluarga

PUTRAJAYA: Wanita yang bercadang memulakan perniagaan digalak menyertai sektor peruncitan memandangkan aktiviti berkenaan menjanjikan pendapatan lumayan.

Menyedari perlunya kemahiran penerokaan pasaran berdaya saing ini, wakil penjual rangkaian makanan ringan, Wanys Snacks, Mariatonhana Marbun, berkata sektor ini mudah dikendalikan terutama bagi mereka yang mula berjinak-jinak berniaga.

Katanya, dia melakukan kajian pemasaran bagi melancarkan operasi selain meninjau lokasi untuk melihat sendiri pola penduduk bagi mengenal pasti saingan pasaran.

“Walaupoun sektor ini mungkin berhadapan saingan, namun penerokaan secara serius membuka peluang lebih luas terutama di kios minyak dan rangkaian kedai serbaneka.

“Kami menawarkan peluang perniagaan dengan modal minimum kurang RM100. Permulaan tidak membebankan peserta memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih baharu dalam perniagaan runcit yang hendak diceburi ini.

“Saya secara peribadi tidak menyangka usaha yang diterokai tiga tahun lalu menjadi ejen produk kacang kini mengubah dimensi kehidupan.

“Kini usaha berkenaan sudah menampakkan hasil dengan perolehan sehingga lima angka sebulan. Saya juga sedang mengumpulkan lebih ramai usahawan wanita menceburi bidang ini kerana peluang untuk meraih keuntungan terbuka luas,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor Mariatonhana berkata, beliau pernah diperlekehkan pengusaha kedai dan beberapa rangkaian stesen minyak kerana mempromosikan produk berasaskan kacang.

Sebagai pengedar jenama kacang Wanys Snacks kawasan Selangor dan Putrajaya, beliau berkata pengalaman dipersendakan menyuntik semangatnya untuk terus maju memperluaskan jaringan pasaran.

“Paling mencabar dalam perniagaan adalah mendapatkan kepercayaan daripada pemilik gedung perniagaan, namun menerusi teknik pemasaran strategik pastinya perniagaan boleh dikembangkan.

“Kesungguhan memperkenalkan produk diusahakan juga penting bagi mendapatkan keyakinan pelanggan sekali gus bersaing dengan produk lain dalam pasaran semasa,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Kini syarikat makanan ringan dengan pelbagai pilihan kacang diasaskan Mawarni Namli juga pemilik jenama kacang berkenaan sudah menembusi pasaran restoran, kedai serbaneka serta di stesen minyak di seluruh negara.

Mariatonhana berkata, permintaan berlipat kali ganda dan kini lebih 7,000 balang kacang sampai ke rumahnya setiap dua minggu sejak dilantik menjadi pengedar setahun lalu.

462 dibaca
Berita Harian X