Isnin, 24 Disember 2018 | 8:04pm
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir pada Program Raikan Bersama Anak-Anak Kita Pendekar Saddiq Berkhatan. - Ihsan Md Taib Suhut
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir pada Program Raikan Bersama Anak-Anak Kita Pendekar Saddiq Berkhatan. - Ihsan Md Taib Suhut

Kanak-kanak diarak bak sang pendekar

• Program berkhatan secara percuma

• Peserta membabitkan 22 kanak-kanak yang disarungkan pakaian ala hulu balang, menaiki rakit, digendong meniti buluh

• Tema untuk mengenang nostalgia silam penggunaan sungai bagi mengangkut barang dan hasil bumi ke darat


Peserta Program Raikan Bersama Anak-Anak Kita Pendekar Saddiq Berkhatan, di Sungai Pulai, Muar. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

MUAR: “Tanak nasi di pohon jejawi, tiup api di tepi akar, adat lelaki masuk berjawi, diarak dikendong laksana pendekar.”

Itu antara bait pantun menerangkan pengalaman mungkin tidak dapat dilupakan oleh sekumpulan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun yang mengikuti Program Raikan Bersama Anak-Anak Kita Pendekar Saddiq Berkhatan, di Sungai Pulai, Muar, Johor, baru-baru ini.

Pada program itu, seramai 22 kanak-kanak berkenaan disarungkan pakaian ala pendekar dengan bertanjak, sebelum diarak di beberapa kawasan kampung, diturunkan ke atas rakit buluh dan kemudian menyusuri Sungai Pulai ke jeti diperbuat daripada buluh.

Lebih istimewa, ‘pendekar muda’ itu kemudian disambut oleh bapa masing-masing yang juga berpakaian ala hulu balang yang kemudiannya mengendong anak dengan meniti buluh, sebelum dibawa di tempat khas untuk dimandikan dengan pancuran air yang disediakan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Muar.

Pengarah program berkenaan, Md Taib Suhut, berkata program berkhatan ini kali kedua diadakan iaitu rentetan program 2016 yang pada waktu itu menggunakan tema dikandar dan dikendong sebelum peserta dikhatankan.


Pengarah program, Md Taib Suhut. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta berkhatan disarungkan pakaian ala pendekar dengan bertanjak. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta berkhatan disarungkan pakaian ala pendekar dengan bertanjak. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Katanya, program berkhatan secara percuma kepada kanak-kanak itu turut disertai golongan kurang berkemampuan, selain mengenang nostalgia kehidupan orang lama di kampung ini pada zaman dulu.

"Untuk menjayakan program ini, saya bersama rakan di Kampung Sungai Pulai bersama-sama bekerjasama untuk mencipta program berkhatan dengan cara lebih istimewa bagi meraikan kanak-kanak ini.

"Kita mahu mengajak semua penduduk di sini bermuafakat dan bersama-sama menjayakan program ini, hidupkan aktiviti bergotong-royong dengan rakan bagi mencari buluh, membuat rakit dan titi buluh ini,” katanya ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun ia sukar, namun berkat muafakat ini dapat menyiapkan semua ini, sebagaimana dirancang dan berpuas hati kerana dapat memberikan sesuatu yang istimewa kepada orang kampung di sini.

Ditanya mengenai idea mencipta kelainan program berkhatan kali ini, Md Taib berkata, ia timbul selepas mengamati persekitaran kampung ini yang juga mempunyai sungai dan apabila mengetahui penduduk di sini tidak pernah berakit sebelum ini.

"Kalau diikutkan, berakit ini adalah tradisi orang dahulu kala kerana pada masa itu mereka menggunakan sungai untuk mengangkut barang dan hasil bumi ke darat untuk diniagakan.

Begitu juga dengan titi buluh ia memberi kemudahan orang zaman itu menyeberang ke satu kawasan ke kawasan lain.


Peserta program dikendong bapa masing-masing dengan meniti buluh, sebelum dibawa di tempat khas untuk dimandikan dengan pancuran air yang disediakan anggota bomba. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta program dikendong bapa masing-masing. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Ia secara tidak langsung dapat membangkitkan nostalgia zaman dahulu dan mengenang kembali kehidupan susah zaman dahulu. Pada masa sama, kita mahu memberi contoh kepada orang muda untuk sentiasa bersikap kreatif dan setiap perkara harus dilakukan bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata, melihat sambutan dan kemeriahan dirasai penduduk, pihaknya berharap akan dapat meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.

"Saya terfikir mungkin boleh menggunakan belon udara panas untuk program akan datang atau menggunakan kaedah seperti ‘flying fox’, namun semua itu bergantung keadaan semasa dan bajet.

"Namun, kita akan menjemput semua agensi kerajaan dilaksanakan hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Daerah Muar, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kita juga menyertakan sekali program taklimat dan juga pameran.

"Cuma kita mungkin akan tambah aktiviti lain seperti sukan rakyat pada penganjuran program akan datang seperti tarik upih kelapa, kejar itik dan sebagainya. Penduduk khususnya ibu bapa dapat bergembira bersama-sama sementara menantikan anak mereka selesai dikhatankan," katanya.

Mohd Zaki Dawod, 35, beliau yakin anak lelakinya yang berusia lima tahun mendapat pengalaman manis apabila menyertai program berkhatan dilaksanakan secara penuh tradisi dan unik.


Mohd Zaki Dawod. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta berkhatan bersiap sedia dan disarungkan pakaian ala pendekar dengan bertanjak, sebelum diarak di beberapa kawasan kampung. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Anak saya baharu berusia lima tahun tetapi dia dah minta untuk dikhatankan. Alhamdulillah, program ini menarik kerana peserta dibawa dengan menaiki rakit dan kemudian dikendong oleh bapa masing-masing. Ia sesuatu program yang bagus kerana mengelakkan anak-anak daripada berasa takut.

"Saya berasal dari sini dan sudah tiga hingga empat hari bergotong-royong bersama-sama rakan sekampung lain menyiapkan semua kelengkapan bagi menjayakan program ini," katanya.

Bagi Mohd Radzi Abdul Jabar, 39, berkata beliau mendapat tahu mengenai program ini selepas dimaklumkan sepupu isterinya dan anak pula mahu berkhatan menyebabkannya bersetuju menyertai program ini.

"Mula-mula ingat nak bawa anak berkhatan di klinik berdekatan, namun selepas tahu program ini, saya terus menyerahkan borang kepada pengurusan program. Lagipun, sejak awal tahun lagi anak saya mengingatkan saya untuk mengkhatankan dia.

"Berkhatan ini dapat mengeratkan silaturahim dan untuk menjadikan anak dapat melangkah ke alam dewasa. Bagi saya program ini patut diadakan setiap tahun kerana ia unik dan meriah," katanya.

Peserta, Ahmad Muiz Mat Amin, 9, berkata beliau seronok kerana dapat pengalaman berharga daripada program itu terutama ia adalah perkara yang dituntut oleh agama.


Peserta, Ahmad Muiz Mat Amin. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta program diturunkan ke atas rakit buluh dan kemudian menyusuri Sungai Pulai ke jeti diperbuat daripada buluh. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Peserta program menaiki rakit buluh untuk menyelusuri sungai untuk ke titian buluh sebelum dikhatankan di Sungai Pulai. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Walaupun gementar berkhatan tetapi saya seronok kerana dapat naik rakit dan dikendong seumpama ini," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Harraz Taqiuddin Md Yusuff, 11, yang turut teruja apabila diraikan sebegitu menjadi kenangan manis apabila bakal beralih ke alam dewasa.


Peserta, Harraz Taqiuddin Md Yusuff. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Hati berdebar dan tetapi seronok serta gembira dapat menaiki rakit dan dikendong menaiki titi berkenaan," katanya.

Muhammad Irfan Mohd Radzi, 9, berkata dia bersyukur kerana dapat menunaikan antara ibadat yang sangat dituntut oleh agama ini dan pada masa sama dapat berkhatan dalam suasana yang menyeronokan.

"Saya gembira kerana sebagai orang Islam, dapat berkhatan dan melalui pengalaman menaiki rakit dan didukung oleh ayah serta diraikan oleh orang lain," katanya.

Berita Harian X