Isnin, 24 Disember 2018 | 10:19am

Belanja berhemat urus sekolah anak

KUALA LUMPUR: Wanita berperanan membantu ketua keluarga merancang perbelanjaan berhemat termasuk membuat persiapan membeli pelbagai kelengkapan sekolah bagi mengurangkan membebankan suami.

Golongan isteri lebih bijak merancang perbelanjaan dengan membuat perbandingan harga, selain membuat simpanan awal untuk persiapan keperluan pada hujung tahun.

Pengurus sebuah pusat beli-belah, Nor Azam Mohamad Nor, berkata sepakat antara suami isteri membantu melancarkan perbelanjaan.

“Pembeli biasanya sudah buat keputusan memilih barangan harga berbaloi tetapi berkualiti untuk keselesaan anak.

“Setiap musim sekolah, selalunya saya lihat isteri membantu suami membuat keputusan,” katanya.

Bapa enam anak ini berkata, anak ramai perlu bijak mengurus, berbanding jika anak seorang yang tidak begitu kisah dari segi harga cukup sekadar RM200 untuk dua pasang baju sekolah kebangsaan dan agama, kasut, beg dan stokin.


IBU bapa telah mula membeli barangan kelengkapan sekolah ketika tinjauan persiapan kelengkapan sekolah di Jalan Tunku Abdul Rahman. - NSTP/Saddam Yusoff

“Saya dan isteri, sepakat beli baju sekolah harga murah kerana pentingkan kuantiti baju. Ini kerana bajet persekolahan anak dua kali setahun disebabkan baju sudah mengecil atau rosak.

“Mahal atau berjenama sekali pun ia mesti lusuh dan perlu tukar yang baharu,” katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Bentong, Pahang, Sa’edah Daud, berkata beliau membuat perancangan bajet kelengkapan sekolah anak bermula sejak awal tahun dengan membuat simpanan setiap bulan.

Kata ibu kepada anak berusia lima hingga 18 tahun ini, berkata beliau membuat potongan gaji yang diasingkan ke dalam akaun bank khas untuk persiapan belanja anak sekolah.

“Seorang anak diperlukan RM300 untuk membeli dua pasang baju, satu kasut dan beg sekolah. Ini belum termasuk duit buku dan beberapa belanja lain.


MUHAMMAD Amir Nasuha Abdullah, 13 mencuba pakaian sekolah ketika tinjauan persiapan kelengkapan sekolah di Jalan Tunku Abdul Rahman. - NSTP/Saddam Yusoff

“Saya beli pakaian atau kasut berjenama kerana lebih tahan lasak dan boleh guna sepanjang tahun. Jadi hanya perlu keluar belanja sekali setahun,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Ahmad Sani Mohd Zain, berkata perkongsian perbelanjaan suami isteri melancarkan bajet keluarga dan mengurangkan tekanan menghadapi kos sara hidup.

“Saya mempunyai tiga anak masih bersekolah berumur lapan sehingga 14 tahun. Kami ada pelan strategik setiap kali mahu berbelanja.

“Kami pergi banyak kedai buat perbandingan harga. Tahun ini, saya beli sedikit di Kuantan dan di ibu kota. Kami selidik dulu harga dan berbincang sebelum membeli. Saya peruntukkan RM150 untuk setiap anak .

Beliau yakin perbelanjaan dirancang lebih memberi kesan positif kepada hala tuju perbelanjaan apabila ada sikap toleransi antara suami sebagai ketua keluarga dan wanita sebagai isteri dan ibu.

IBU bapa telah mula membeli barangan kelengkapan sekolah ketika tinjauan persiapan kelengkapan sekolah di Jalan Tunku Abdul Rahman. - NSTP/Saddam Yusoff
Berita Harian X